Havertz Anggap Arsenal Seperti Keluarga Walaupun Ketika Masih Bersama Chelsea

Arsenal sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan persahabatan pertama pra musim menentang kelab divisyen 2 Bundesliga Jerman, Nurnberg pada pertengahan minggu ini.

Walaupun bukan debut seperti yang diharapkan Kai Havertz tetap positif dan yakin perpindahan ke Emirates daripada Chelsea adalah keputusan tepat.

“Ia amat jelas selepas musim lalu saya perlukan sesuatu untuk terus ke depan,” kata Havertz yang beraksi pada babak kedua dalam perlawanan itu.

“Ini adalah kelab terbaik untuk mengembalikan prestasi saya ke tahap terbaik. Saya berharap di sini saya mampu untuk menampilkan sesuatu yang positif dan bersedia untuk musim akan datang.

“Dia [Mikel Arteta] berkongsi dengan saya mengenai bola sepak dari sudut pandangannya. Ada banyak strategi dalam pemikirannya dan itu membuatkan saya kagum.

“Manakala dari luaran Arsenal sentiasa terasa seperti sebuah keluarga pada saya, walaupun ketika saya masih bermain menentang mereka [bersama Chelsea]. Untuk merasa aura sebegitu daripada rakan sepasukan dan penyokong adalah perasaan yang hebat.”

Havertz menyertai Arsenal dan dilihat bakal mengisi kekosongan di sebelah kiri bahagian tengah selepas Granit Xhaka berpindah ke Bayer Leverkusen.

Xhaka menyerlah di posisi tersebut musim lalu, menjaringkan 9 gol dan menghasilkan 7 assist di semua pertandingan.

Walaupun demikian Arteta berkata Havertz dan Xhaka adalah dua pemain yang berbeza.

“Dia [Havertz] bukan datang sebagai pengganti,” kata Arteta.

“Dia adalah pemain yang tidak sama atau pun mirip kerana apa yang Granit sumbangkan kepada pasukan adalah berbeza.

“Walaupun demikian Kai mempunyai kualiti tersendiri yang sesuai dengan cara kami bermain.

“Ini adalah kerana bakat, kualiti dan fizikal yang dimilikinya, selain kemampuan melakukan ancaman untuk menghasilkan jaringan seperti yang dilakukannya sejak beberapa musim lalu.

“Saya berpendapat ia penting untuk kita melihat bagaimana dia menyesuaikan diri untuk menjadi versi diri yang terbaik.

“Sudah tentu dia perlu membina hubungan di dalam padang [permainan] bersama rakan sepasukan. Setakat ini dia melakukannya dengan baik sekali dan kami semua gembira untuknya,” jelas Arteta.

Walaupun Arteta tidak menganggap Havertz sebagai pengganti Xhaka secara terus, pemain dari Jerman itu semakin jelas akan peranan dan posisinya bersama Arsenal berbanding ketika dia bersama Chelsea.

“Saya agak fleksibel dan telah beraksi banyak posisi sejak beberapa tahun lalu,” tambah Havertz.

“Tahun lalu saya menjadi No.9 tetapi saya lebih selesa bermain di bahagian tengah kerana itulah posisi saya sejak mula bermain bola sepak pada usia yang sangat muda. Kini tiba masanya untuk mengembalikan sentuhan tersebut dan saya berharap ia akan membuahkan hasil.

“Mungkin selepas posisi ditetapkan ia akan menjadi lebih baik untuk saya. Sekarang saya gembira kembali beraksi dengan rakan-rakan baharu.

“Anda boleh melihat bakat yang mereka miliki dan strategi yang ditampilkan pengurus, itu semua membuatkan saya teruja untuk bermain.”

Sebuah kelab yang stabil seperti Arsenal juga boleh menjadi faktor untuk Havertz terus berjaya.

Selama tiga tahun di Chelsea Havertz telah bermain di bawah tiga pengurus berjawatan tetap, dan dua lagi lantikan interim. Arsenal pula dibimbing oleh Arteta sejak Disember 2019.

“Untuk seorang pemain muda perkara sedemikian amat penting. Saya bermain di bawah ramai pengurus sejak beberapa tahun lalu dan apabila anda perlu bermain dengan cara yang berbeza, ia boleh menyukarkan.

“Jadi sekarang saya amat gembira dengan pengurus [di Arsenal] dan saya melihat ada banyak ruang untuk saya memperbaiki kemampuan diri.

“Dia sudah membuktikan kepada saya dan sudah tentu saya berharap dia mampu membantu saya mencari potensi sebenar diri.”

Arteta juga menganggap Havertz sebagai pemain muda dengan karakter menarik dan seorang pemain yang sentiasa merendahkan diri.

Setiap pemain di Arsenal juga mahu membantu pemain itu menyesuaikan diri secepat mungkin.

“Dia mahu bermain bersama kami, menang bersama kami. Maka saya amat gembira dia berada di dalam pasukan ini,” kata Arteta lagi.

BACA:  Unai Emery Dilantik Menjadi Pengurus Arsenal Yang Baru