Hazard Redha Dan Pasrah Di Gugurkan Dari Kesebelasan Utama Chelsea

LONDON: Eden Hazard tidak mampu memberi jawapan mengapa dia bergelut bersama Chelsea sepanjang musim ini dan menyifatkan jurulatih, Jose Mourinho melakukan perkara yang betul dengan menggugurkannya daripada kesebelasan utama.

Bintang Belgium itu muncul pemain terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dengan prestasi cemerlangnya membantu The Blues menjulang trofi kejuaraan Inggeris.

Begitupun, apa yang ditampilkan ketika ini dianggap ‘terburuk sepanjang hidupnya’ hingga memaksa Mourinho melakukan tindakan drastik menggugurkannya daripada kesebelasan utama bertemu Porto pada Liga Juara-Juara, 29 September lalu.

Tiada jaringan mampu diledakkan Hazard dalam 11 penampilan setakat ini yang menyaksikan Chelsea turut terjerumus di kedudukan ke-16 liga.

“Ini adalah yang pertama dalam karier saya yang saya berdepan kesukaran seperti ini,” kata Hazard.

“Saya benar-benar tidak boleh menjelaskannya. Apa yang saya tahu ialah saya perlu bekerja keras untuk bangkit kembali.

“Di Chelsea, kami mempunyai kerisauan mengenai pasukan dan individu,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Dalam pada itu, Hazard turut mengakui prestasi semasanya menjadikannya bukan lagi pemain yang tidak boleh ‘diusik’ dalam kesebelasan Mourinho.

“Saya ditinggalkan di bangku simpanan ketika menentang Porto dalam Liga Juara-Juara dan saya bukan lagi imun untuk tidak ditinggalkan. Kamu tidak boleh diusik apabila kamu bermain dengan baik dan itulah kes yang terjadi kepada saya.

“Saya fikir pengurus mahu memberi saya mesej dengan meletakkan saya sebagai pemain gantian. Saya tidak membaca apa yang dikatakannya namun dia menjelaskan segala-galanya kepada saya.

“Saya tidak begitu bimbang mengenainya, Mourinho adalah pengurus terbaik di dunia apabila berdepan dengan tekanan. Saya seorang yang optimis, dan saya tahu banyak yang boleh saya pelajari apabila berada dalam keadaan sukar seperti ini.” – REUTERS

Baca Juga

Baca Juga