Hazard Sah Sertai Borussia Dortmund

Pasukan gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund hari ini mengesahkan pembelian pemain sayap Borussia Monchengladbach, Thorgan Hazard dengan pemain tersebut menandantangani kontrak selama 5 tahun.

Hazard yang kini berusia 26 tahun, dibawa masuk bagi menggantikan tempat Christian Pulisic yang menyertai Chelsea musim hadapan.

Hazard sah berpindah ke Signal Iduna Park untuk menggantikan tempat Pulisic

Adik kepada Eden Hazard itu mengambil keputusan untuk meninggalkan Gladbach selepas 5 tahun dan menjadi pembelian musim panas ke-2 Dortmund.

Terdahulu, Dortmund turut mengesahkan mereka telah berjaya membawa masuk pemain antarabangsa Jerman yang beraksi sebagai bek kiri, Nico Schulz dari Hoffenheim pada hari Selasa kelmarin.

“Kami amat gembira Thorgan membuat keputusan untuk menyertai Borussia Dortmund.” Ujar Direktor Sukan Dortmund, Michael Zorc dalam satu kenyataan rasmi.

“Beliau merupakan pemain Bundesliga berpengalaman dan juga pemain antarabangsa Belgium dan akan membantu kami dengan kepantasan dan kualiti penyudah yang dimiliki beliau.”

Kelajuan Hazard bakal menjadi aset berharga Dortmund dalam kancah Eropah musim hadapan.

Kedua-dua kelab berkenaan tidak mendedahkan angka rasmi mengenai yuran perpindahan Hazard tetapi ia dipercayai dalam lingkungan  €25 –  €40 juta bergantung kepada persembahan di atas padang.

Hazard sebenarnya sudah lama bersetuju untuk menyertai Dortmund tetapi atas sebab-sebab tertentu, ia terpaksa ditangguhkan sehingga musim panas ini.

Hazard meninggalkan Gladbach selepas melakukan 182 penampilan dalam semua pertandingan untuk kelab tersebut, dan berjaya menjaringkan 46 gol selain 44 assists.

Hazard meninggalkan Gladbach dalam keadaan terbaik selepas membantu kelab tersebut menduduki tangga ke-5 Bundesliga untuk meraih slot automatik ke Europa League. Musim ini beliau terbabit dalam 22 gol dan kehilangan beliau sudah tentu akan dirasai Gladbach.

“Saya bersyukur atas 5 tahun berharga bersama Borussia Monchengladbach dan atas memori yang cukup indah.” Ujar Hazard.

“Ini merupakan waktu terbaik untuk saya mengambil langkah seterusnya dalam karier saya. Saya sangat berbangga kerana dapat beraksi untuk Borussia Dortmund – kelab hebat yang memiliki peminat yang menakjubkan.”

Sabar sat. Tak lama lagi turn abang long pulak berhijrah

Hazard dijangka bakal bermain di sebelah sayap kiri dengan pemain muda England, Jadon Sancho di sebelah sayap kana. Beliau akan bekerjamasa dengan Paco Alcacer, Marco Reus dan Mario Gotze dalam jentera serangan Dortmund musim hadapan.

Hazard bukanlah satu-satunya Hazard yang akan berpindah musim panas ini. Abang beliau yang beraksi untuk Chelsea, Eden Hazard juga dilaporkan semakin hampir menyertai Real Madrid menjelang kempen 2019/2020 yang akan bermula Ogos nanti.

BACA:  DFB Pokal Final: Borussia Dortmund 4-1 RB Leipzig