Hazwan Bakri Dipilih Sebagai Pemain Terbaik Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri, dipilih sebagai Pemain Terbaik Asia Tenggara minggu ini oleh laman web bola sepak antarabangsa, Goal.com.

Kejayaan itu berdasarkan persembahan menakjubkan penyerang kebangsaan berkenaan ketika meledak dua gol buat Selangor menewaskan Kedah pada aksi akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Menerusi pemilihan ini, Hazwan menewaskan dua calon lain iaitu penjaga gol Saraburi FC, Pisan Dokmaikaew dan juga penjaga gol Semen Padang, Jandia Eka Putra.

Menurut kenyataan daripada Goal.com, walaupun persembahan Hazwan dilihat tidak menonjol musim ini, dia membuktikan betapa kudratnya diperlukan pada aksi penting.

“Dia membuktikan sentuhan penyudah berbisanya Sabtu lalu dengan jaringan dua gol untuk memberi tekanan kepada pasukan Kedah.

“Itu adalah sumbangan terbesarnya buat pasukan, sekali gus membantu Selangor menjuarai Piala Malaysia dan menamatkan kemarau kejuaraan itu selama 10 tahun,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/105315?m=1

Baca Juga

Baca Juga