Heineken Memperoleh Durian Runtuh Selepas Pogba Mencari Gaduh Dengan Produk Mereka

Isu pemain mencari gaduh dengan botol minuman penaja menjadi topik perbualan paling hangat sejak kebelakangan ini.

Bermula dengan insiden Cristiano Ronaldo mencari gaduh dengan botol Coca-Cola, Pogba pula mencipta sensasi di internet dengan mengalihkan botol Heineken dari mejanya.

Tidak habis setakat itu, bintang Itali, Locatelli turut melakukan hal yang sama seperti Cristiano Ronaldo, ketika sesi sidang medianya.

Cristiano Ronaldo merupakan pemain pertama yang mencetuskan kontroversi selepas beliau dengan tenang mengalihkan dua botol Coca-Cola di hadapannya ketika sesi sidang media sebelum perlawanan bertemu Hungary.

Insiden tersebut tular di media sosial dengan kebanyakkan peminat memuji keberanian Ronaldo yang menolak produk penaja dengan alasan beliau tidak mahu menyarankan sesiapa meminum minuman tidak sihat.

Tindakan berani Cristiano Ronaldo itu dilaporkan menyebabkan Coca-Cola menanggung rugi teruk dengan mencatatkan kerugian bernilai RM16.5 billion.

Media Sepanyol, Marca, telah melapor dan membandingkan nilai saham syarikat minuman gergasi dunia tersebut sebelum dan selepas tindakan Ronaldo, dan akibatnya, nilai saham Coca Cola susut berbillion ringgit!

Menurut Marca, nilai pasaran Coca Cola telah menjunam daripada $242 billion kepada $238 billion – kejatuhan sebanyak 1.6% dan ia merupakan penurunan yang sangat tidak baik untuk mereka.

Hanya kerana satu detik tindakan Ronaldo, syarikat gergasi seperti Coca-Cola mampu hilang $4 billion (RM16.5 billion), dan kerana itulah beliau dianggap sebagai atlet paling berpengaruh di dunia.

Sebaliknya pula berlaku pada Paul Pogba yang mencari gaduh dengan Heineken, beliau sebenarnya secara tak sengaja telah membantu menaikkan saham syarikat minuman keras itu.

Peminat pada awalnya merasakan yang Heineken mungkin akan menerima nasib yang sama seperti Coca-Cola, namun sebaliknya yang berlaku.

Selepas insiden tersebut, saham Heineken naik 1.65% yang mana secara keseluruhannya, mereka memperoleh keuntungan bernilai $1.1 billion.

Mungkin Heineken mendapat promosi percuma dari Pogba dan hal tersebut telah menaikkan saham mereka seterusnya memberikan pulangan yang lumayan.

UEFA walau bagaimanapun telah menegaskan bahawa mereka akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pemain yang mencari gaduh dengan botol minuman penaja selepas ini.

Menurut laporan daripada BBC, UEFA ternyata tidak menyenangi tindakan pemain mengalihkan botol minuman penaja yang diletakkan di atas meja semasa sidang media.

Pasukan negara bertanding di EURO akan menerima denda jika ada pemain pasukan yang melakukan tindakan tersebut selepas ini.

“Uefa telah mengingatkan pasukan yang bertanding bahawa perkongsian (penajaan) tidak dapat dipisahkan dalam penganjuran kejohanan dan ini bagi memastikan perkembangan bola sepak di seluruh Eropah, termasuklah untuk pasukan remaja dan wanita,”

Ujar penganjur kejohanan pada hari Khamis.

Pengarah kejohanan UEFA EURO 2020, Martin Kallen mengingatkan bawah pemain diwajibkan secara kontrak “melalui negara untuk patuh peraturan kejohanan” dan kerana itu disarankan tidak mengalihkan botol minuman penaja.

Pasukan telah diingatkan tentang peraturan kontrak mereka dan Kallen mengatakan tindakan disiplin adalah satu “kemungkinan”.

UEFA tidak berhasrat untuk mengambil tindakan dan mendenda pemain secara langsung dan sebarang hukuman adalah mengikut budi bicara persatuan bola sepak negara bertanding.

“Kami dari pihak UEFA tidak pernah mendenda pemain secara langsung, kami akan mengenakan tindakan melalui persatuan bola sepak negara bertanding dan kemudian mereka akan menilai apakah mereka akan mengambil tindakan ke atas pemain itu, tetapi kami tidak akan langsung menghukum pemain itu,” Tambah Kallen memberi penjelasan.

UEFA tidak akan terus mengenakan tindakan ke atas pemain dan hanya memaklumkan kepada pesatuan jika ada perlanggaran kontrak yang terjadi ini kerana kontrak kejohanan dimaterai oleh UEFA dengan pasukan bertanding.

Gareth Southgate turut memberikan pendapat peribadinya berkait isu ini dan beliau jelas tidak menyokong perbuatan Cristiano Ronaldo dan Paul Pogba mengalihkan produk penaja dari meja ketika sesi sidang media.

Pengurus England itu menjelaskan kepada media yang pihak penaja telah mengeluarkan dana yang besar untuk membantu sukan ini sejak dari akar umbi lagi.

Beliau turut menegaskan yang pengambilan minuman tersebut secara terkawal sebenarnya tidak akan mendatangkan sebarang masalah.

“Jadi, saya rasa memang banyak penaja dalam dunia sukan dan impak dari duit yang mereka keluarkan telah banyak membantu sukan menjadi lebih berfungsi di pelbagai peringkat.”

“Terutama sekali di peringkat akar umbi dunia sukan di negara kita memerlukan dana pelaburan yang banyak dan tanpa sesetengah syarikat seperti itu sudi untuk melabur, ia akan menyukarkan kita untuk mendapatkan kemudahan yang kita perlukan.”

“Dan saya rasa dalam semua hal di negara kita, sudah tentu kita harus lebih berhati-hati, seperti masalah obesiti dan kesihatan. Tapi semuanya boleh dilakukan dengan lebih terkawal dan saya rasa segalanya yang kamu ambil jika kamu kawal, jarang akan timbulkan masalah.”

Southgate kemudian menambah lagi dengan menyatakan:

“Saya faham keprihatinan yang orang ada dan jelas sekali kedua-dua mereka ada alasan berbeza tentang kenapa mereka lakukan itu, tapi masih ada gambaran besar yang harus difikirkan tentang hal ini.”

Dua orang yang Southgate maksudkan tentunya Ronaldo dan Paul Pogba. Semua orang tahu bintang Perancis itu merupakan seorang pemain yang beragama Islam, jadi agak wajar untuk melihat beliau mengalihkan botol arak dari atas mejanya.

Untuk Cristiano Ronaldo juga, semua peminat tahu dan sedar yang beliau sememangnya seseorang yang mementingkan kesihatan, dan apa yang beliau lakukan itu mungkin spontan dalam mempromosikan aspek kesihatan kepada penonton.

Ketua pasukan England, Harry Kane yang duduk di sebelah Southgate ketika sidang media itu turut menyokong kenyataan dari pengurusnya dengan menyatakan:

“Dari sudut pandangan saya sendiri, saya sangat bersetuju dengan pengurus saya. Saya rasa jelas sekali pihak penaja berhak untuk lakukan apa yang mereka mahu kerana mereka bayar untuk melakukan itu.”

BACA:  Juventus Sudah Hantar Surat Dan Kini Pertimbang Saman Pogba