Helang Merah Dan Gergasi Merah Mara Ke Final

Helang Merah dan Gergasi Merah mara ke final bakal bertarung dalam penentuan terakhir untuk menentukan juara mutlak TM Piala Malaysia 2015.

Kedah Mahu Piala Malaysia Kembali Ke Utara

Kedah mahu Piala Malaysia kembali ke utara dan semakin hampir mencipta sejarah membawa pulang kembali Piala Malaysia ke negeri itu apabila mara ke final selepas mengenepikan cabaran FELDA United di separuh akhir dengan agregat 4-3, sebentar tadi.

Kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman mengesahkan kemaraan Kedah selepas terikat 2-2 pada separuh akhir pertama di Selayang, Rabu lalu dengan kali terakhir skuad dari utara itu muncul juara pada 2008 selepas menewaskan Selangor 3-2 di final.

Bagi FELDA United, keputusan itu meleburkan impian mereka untuk layak buat kali pertama ke pentas akhir piala paling berprestij itu. FELDA United bagaimanapun terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-40 selepas pemain itu membuat larian solo sebelum merembat masuk gol pertama pelawat.

Kegembiraan anak didik Irfan Bakti tidak bertahan lama apabila Chidi Edeh menyamakan kedudukan empat minit kemudian selepas menyudahkan hantaran lintang Baddrol Bakhtiar.

Bersambung babak kedua, Kedah hanya memerlukan lima minit untuk berada di depan selepas sepakan percuma Sandro Da Silva pada minit ke-51 gagal diselamatkan penjaga gol, Faizal Harun.

Selangor Hanya Selangkah Untuk Selesaikan Misi 33


Selangor hanya selangkah untuk selesaikan Misi 33 dan Misi 33 Selangor semakin menjadi kenyataan apabila skuad kendalian Mehmet Durakovic melangkah ke final Piala Malaysia selepas menewaskan Pahang 2-0 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebelum ini, Selangor bangkit lebih garang untuk memastikan misi memburu kejuaraan ke-33 tidak lagi terbantut.

Pahang yang menguasai sebahagian besar babak pertama perlawanan terpaksa akur dengan rembatan padu Guilherme De Paula, yang meletakkan Selangor di depan pada minit ke-10.

Selangor menambah jaringan pada minit ke-54 menerusi Nazmi Faiz Mansor, yang memulakan gerakan ke arah kubu Pahang sebelum dijatuhkan tetapi kembali mendapat bola dan disudahkan dengan sempurna.

Menjelang 10 minit terakhir permainan, Selangor yang selesa dengan dua gol di depan terus menggandakan asakan, manakala Pahang seakan hilang punca untuk menembusi benteng tuan rumah yang cukup berdisiplin.

Sumber : Bharian.com.my

Baca Juga

Baca Juga