Herrera: Khidmat Saya Mungkin Tidak Diperlukan Lagi Jika Mourinho Bawa Masuk Pemain Tengah Baru

Pemain tengah Manchester United, Ander Herrera berharap akan terus kekal di Old Trafford musim hadapan kecuali jika pihak kelab mengambil keputusan untuk melepaskan khidmatnya.

Bekas pemain Athletic Bilbao itu beberapa kali dipinggirkan dari berada dalam kesebelasan utama pasukan musim ini tetapi mahu terus kekal bermain untuk Manchester United musim hadapan.

Herrera gembira untuk terus bersama kelab yang disertainya 4 tahun lepas

Herrera kini memasuki musim ke-4 beliau sebagai pemain United dan kontraknya hanya berbaki 12 bulan sahaja lagi. Setakat ini, tiada lagi desas-desus mengenai perbincangan untuk menyambung kontraknya di Old Trafford dan beliau akan dibenarkan bercakap dengan kelab luar yang berminat dalam masa 6 bulan sahaja lagi.

Herrera berpeluang mengakhiri musim ini dengan memenangi satu piala apabila Manchester United turun menentang Chelsea dalam aksi final Piala FA hujung minggu ini di Stadium Wembley.

Walaubagaimanapun, United gagal dalam misi utama mereka untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris dan ditinggalkan 19 mata di belakang juara liga musim ini, Manchester City.

Wira United ketika menewaskan Spurs dalam aksi separuh akhir Piala FA

Menyedari hakikat tersebut, Herrera mengakui Jose Mourinho mungkin akan berbelanja besar untuk memperkuatkan pasukannya musim panas ini dan besar kemungkinan pemain tengah yang baru akan dibawa masuk.

Herrera menyertai United pada tahun 2014 dan dianggap sebagai salah seorang pemain tengah utama pasukan sebelum ketibaan Nemanja Matic dari Chelsea tahun lalu. Musim ini menyaksikan beliau sering berada di bangku simpanan dan hanya berada dalam kesebelasan utama sebanyak 13 kali bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris.

“Masa depan saya adalah final Piala FA. Saya mahu berada di sini musim hadapan kecuali jika kelab mahu memecat saya. Saya akan berada di sini bagi pra-musim dan berjuang untuk bermain dengan lebih kerap.”

“Dalam bolasepak, jika hari ini adalah hitam, esok mungkin putih. Manchester United mungkin akan menandatangani 4 pemain tengah baru dan khidmat saya mungkin tidak akan diperlukan lagi. Itu salah satu senario yang boleh berlaku musim panas nanti.”

Herrera berada dalam skuad United yang berangkat ke London untuk aksi final

“Bagi saya, satu-satunya perkara yang mampu saya lakukan adalah menjalani latihan dengan baik. Itu sahaja yang mampu saya katakan sekarang. Jika pihak kelab mahu melanjutkan kontrak saya yang bakal tamat Jun 2019, saya akan pertimbangkan tawaran mereka kerana saya gembira di sini.”

Pemain berusia 28 tahun itu mengakui beliau sudah biasa dipinggirkan Jose Mourinho dalam beberapa perlawanan dan mampu menangani perasaan kecewa tidak bermain.

“Saya tidak rasa apabila anda tidak mengambil peluang yang diberikan dengan baik, musim anda bakal berakhir. Saya tidak jadi gila apabila saya tidak beraksi dengan baik.”

“Jika saya bermain dengan baik, saya tidak akan terlalu gembira dan sekiranya saya tidak bermain dengan baik, saya tidak akan berasa terlalu sedih. Umur dan pengalaman yang dikutip selama ini membolehkan saya mengimbangi perkara tersebut.”

BACA:  Manchester United Terus Cemerlang di Dalam Jelajah Pra-Musim