Hoki Piala Dunia Remaja 2021: Afrika Selatan 3-4 Malaysia

Malaysia memulakan saingan Hoki Piala Dunia Remaja 2021 dengan langkah kanan dengan menewaskan juara Pan Amerikan Chile dengan jaringan 2-1 yang menjadi tonik untuk perlawanan seterusnya.

Naib juara Hoki Piala Dunia Remaja 2016, Belgium menanti namun kejutan hampir dilakukan oleh Malaysia namun Belgium bangkit mengikat ketika perlawanan berbaki 11 minit.

Perlawanan penentuan dan terakhir Pool A, Malaysia turun menentang Afrika Selatan untuk mencari kemenangan walaupun keputusan seri sudah cukup untuk layak ke suku akhir.

Malaysia memulakan perlawanan dengan baik dan mempamerkan aksi menyerang untuk mencari gol awal dan Afrika Selatan hanya tenang bertahan menyerap asakan sambil menunggu peluang melakukan serangan balas.

Pada pertengahan suku pertama Malaysia tepaksa bermain 10 orang selepas dikenakan kad hijau dimana pemain diarahkan untuk berada dalam bangku pegawai teknikal di luar padang untuk selama 2 minit permainan.

Awal suku kedua, Malaysia hampir saja menghasilkan gol padang yang pertama dalam kejohanan ini namun diselamatkan dan mendapat pukulan sudut penalti.

Gol berjaya dihasilkan namun pengadil terlebih dahulu meniup wisel untuk satu lagi pukulan sudut penalti.

Tiga pukulan sudut penalti secara berturut-turut gagal membuahkan hasil.

Selepas lebih 20 minit permainan barulah Afrika Selatan mendapat pukulan sudut penalti pertama dan hampir saja menghasilkan gol.

Mujur penjaga gol Malaysia Shahrul Saupi cemerlang menghadang.

Amirul Hamizan mengalami kecederaan selepas bola hantaran deras terkena kepala. Headshot terus rebah ke tanah tetapi masih mampu meneruskan perlawanan.

Penghujung separuh masa pertama akhirnya Malaysia memecahkan kebuntuan melalui pukulan sudut penalti yang ketujuh dari Muhammad Fahmi Khalid.

Sekali lagi Malaysia menerima kad hijau ketika separuh masa pertama berbaki kurang seminit.

Guy Morgan menyamakan kembali kedudukan buat Afrika Selatan juga melalui pukulan sudut penalti dan kemudian pemain Afrika pula dilayangkan kad hijau.

Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin menjaringkan gol kedua Malaysia dalam situasi kelam kabut pada minit ke-41 di suku yang ketiga.

Pada suku terakhir Afrika Selatan sekali lagi mengikat kedudukan lantaran kealpaan barisan pertahanan melalui jaringan padang Jared Campbell.

Namun Malaysia segera membalas untuk berada di depan kembali melalui jaringan padang Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul. Ini merupakan jaringan padang pertama Malaysia dalam kejohanan ini.

Kelekaan barisan pertahana Malaysia terus dihukum dengan jaringan ketiga Afrika Selatan juga melalui Jared Campbell. Tiga kali ketinggalan tiga kali bangkit mengejar.

https://twitter.com/sports_odisha/status/1464554284960280577

Berbaki lima minit permainan, Malaysia mendapat pukulan sudut penalti ke-11 dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook menjaringkan gol keempat yang terus membunuh semangat kebangkitan Afrika Selatan.

Clearance yang cuba dilakukan Guy Morgan terus ke dalam gol sendiri. Dalam hoki tiada istilah gol sendiri dan gol itu Mohamad Akhimullah Anuar Esook yang punya.

Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan. Malaysia akan bertemu Perancis disuku akhir yang akan kembali bersambung pada 1 disember nanti.

FT Afrika Selatan 3-4 Malaysia

29β€² PC Muhammad Fahmi Khalid
34β€² PC Guy Morgan
41β€² PC Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin
48β€² FG Jared Campbell
49β€² FG Mohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul
54β€² FG Jared Campbell
56β€² PC Mohamad Akhimullah Anuar Esook

*PC – Penalty Corner (Pukulan Sudut Penalti)
**FG – Field Goal (Gol Padang)

Hoki Piala Dunia Remaja 2021: Malaysia 1-1 Belgium

Pasukan hoki remaja Malaysia meneruskan saingan di kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2021 apabila turun untuk perlawanan kedua Pool A menentang Belgium.

Satu tugas sukar dan berat kerana inilah ujian sebenar buat skuad Malaysia menentang Belgium yang merupakan naib juara Hoki Piala Dunia Remaja 2016.

Di atas kertas dan skrin telefon pintar, Belgium semuanya lebih baik berbanding Malaysia dari segi ranking dan kualiti pemain.

Walau sehebat mana Belgium, misinya jelas, Malaysia tetapi mahukan kemenangan atau sekurang-kurangnya mencuri satu mata berharga.

Kemenangan ke atas Chile pada perlawanan pertama nyata menjadi pemangkin dan peniup semangat anak buah bimbingan Wallace Tan ini untuk bertemu Belgium.

Pengurus pasukan Vikneswaran positif dengan pasukan Malaysia dan yakin mampu memberi sesuatu ini kerana permainan di peringkat Junior tidak sekonsisten seperti tahap senior.

Malaysia terlebih dahulu mengejutkan Belgium dengan gol pendahuluan apabila Muhammad Amirul Hamizan Azahar menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-29.

Gol dari Muhammad Amirul Hamizan Azahar ini terhasil melalui pukulan sudut penalti yang kemas dan menarik.

Situasi ini memaksa Belgium menyerang berhabis-habisan selepas permainan kembali bersambung untuk rehat separuh masa pertama.

Malaysia bermain dengan compact sekali dengan memadatkan bahagian tengah sekaligus menyukarkan Belgium masuk ke kawasan D untuk membuat percubaan.

Dua percubaan Belgium pada minit ke-48 telah berjaya diselamatkan dengan cemerlang oleh penjaga gol Malaysia, Shahrul Saupi.

Akhirnya Belgium berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-49 melalui Thibeau Stockbroekx yang juga berpunca dari pukulan sudut penalti.

Sangat sukar untuk diselamatkan kerana bola menuju ke bucu gawang. Bola yang deras itu pula berada pada paras lutut, hampir mustahil untukj diselamatkan Shahrul Saupi.

Malaysia dan Belgium saling berbalas serangan namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan sehingga tamat permainan.

FT Malaysia 1-1 Belgium

29β€² PC Muhammad Amirul Hamizan Azahar
49β€² PC Thibeau Stockbroekx

Penjaga gol Malaysia, Shahrul Saupi telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan dan berikrar akan terus memberikan yang terbaik dalam perlawanan menentang Afrika Selatan.

Malaysia akan turun untuk perlawanan terakhir kumpulan A dalam tempoh 24 jam, Malaysia hanya perlukan seri untuk mara ke suku akhir namun kemenangan juga yang dicari.

Hoki Piala Dunia Remaja 2021: Malaysia 2-1 Chile

Skuad hoki remaja Malaysia bermula dengan langkah kanan di kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Odisha 2021 selepas menewaskan Chile 2-1 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India.

Kedua-dua gol Malaysia dihasilkan dari pukulan sudut penalti yang cemerlang dan genius pada suku ketiga membantu Malaysia mengatasi cabaran hebat daripada juara Pan Amerika Chile.

International Hockey Federation (FIH) Men’s Hockey Junior World Cup 2021 atau Hoki Piala Dunia Remaja Odisha 2021 menyaksikan negara India menjadi tuan rumah kejohanan yang bermula dari 24 November sehingga 5 Disember ini.

Stadium Kalinga, Bhubaneswar akan menjadi satu-satu gelanggang perlawanan di mana kesemua perlawanan akan dilangsungkan disini dan diadakan secara tertutup tanpa penonton kerana situasi semasa kini.

Odisha merupakan sebuah negeri di India yang dikenali sebagai bandar sukan ini pernah menganjurkan Piala Dunia Hoki 2018. FIH World League 2017 dam Champions Trophy 2014.

Sebanyak 16 pasukan yang dibahagikan kepada 4 pool atau kumpulan akan berentap untuk merebut gelaran juara Hoki Piala Dunia Remaja Odisha 2021.

Malaysia diletakkan di Pool A bersama Chile, Belgium dan Afrika Selatan.

Pool A: Belgium, Chile, Malaysia and South Africa

Pool B: India, Canada, France and Poland

Pool C: Korea, Netherlands, Spain and United States

Pool D: Argentina, Egypt, Germany and Pakistan

Malaysia mempamerkan aksi permainan menyerang dari awal permainan lagi dan berjaya mendapatkan beberapa pukulan sudut penalti namun gagal menghasilkan gol.

Selepas beberapa percubaan akhirnya pukulan sudut penalti dilaksanakan dengan sempurna, dengan Muhammad Kamarulzaman Kamaruddin menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-34 melalui satu pukulan leret yang kencang.

Pada minit ke-43 Malaysia terus menggandakan kedudukan melalui tolakan Syarman Mat Tee yang juga berpunca dari sepakan sudut penalti yang penuh berhelah dengan beberapa kali dummy dilakukan.

Chile cuba bangkit apabila merapatkan kedudukan pada minit ke-59 melalui satu pukulan kilas cantik Sebastian Wolansky namun sudah terlewat apabila masa mencemburui.

Tiga mata pertama yang sangat penting untuk Malaysia. Kemenangan penyuntik semangat.

Pemain Malaysia, Amirul Azahar telah dipilih selaku pemain terbaik perlawanan berkata beliau sangat gembira dengan kemenangan ini akan membuat persiapan untuk perlawanan menentang Belgium.

Belgium merupakan naib juara Hoki Piala Dunia 2016 dan sudah pasti menjadi cabaran terhebat Malaysia di kumpulan A untuk mara ke pusingan seterusnya.

β€œPertama, kami sangat gembira kerana kami memenangi perlawanan itu.” Ujar Amirul Azahar

β€œKami mempunyai dua perlawanan di hadapan, jadi kami mesti pulih dahulu dan kemudian akan mempunyai sesi video untuk membuat persediaan menghadapi perlawanan seterusnya [menentang Belgium].”

β€œKami amat menghormati Belgium kerana mereka adalah naib juara Piala Dunia Remaja yang lalu. Kami mesti mengkaji permainan mereka dengan teliti.”

Malaysia akan turun menentang Belgium pada hari jumaat ini jam 10 malam. Belgium dengan penuh bergaya telah berjaya membelasah Afrika Selatan 5-1 dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal

Dalam saingan kumpulan B, Perancis melakar kejutan awal apabila telah menewaskan juara bertahan Hoki Piala Dunia Remaja 2016, India yang juga merupakan tuan rumah kejohanan edisi kali ini.

Sembilan gol telah berjaya dihasilkan dengan kemenangan 5-4 berpihak kepada Perancis yang gagal untuk layak ke kejohanan untuk edisi 2016.

Timothee Clement mempamerkan aksi cemerlang dan menjadi nadi pasukan Perancis telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Cubaan untuk India bangkit mengejar disaat akhir tidak kesampaian walaupun berjaya menjaringkan dua gol pada minit-minit terakhir perlawanan.

BACA:Β  Hoki Piala Dunia Remaja 2021: Malaysia 2-1 Chile