Hubungan Istimewa Liverpool dan Southampton

Pada jendela perpindahan musim panas yang lalu, bukan lagi rahsia bahawa Liverpool berusaha keras untuk membeli pertahanan Southampton, iaitu Virgil van Dijk. Van Dijk merupakan seorang pertahanan tengah yang cukup elegan dan konsisten.

Pembelian tersebut dilihat mampu menyelesaikan masalah kelemahan pertahanan Liverpool. Walau bagaimanapun, usaha Liverpool membawa beliau ke Anfield menemui jalan buntu apabila Southampton berkeras bahawa mereka tidak akan menjual van Dijk ke Liverpool musim ini, walaupun van Dijk sendiri telah membuat transfer request agar dilepaskan ke Liverpool.

Menariknya, sekiranya perpindahan tersebut menjadi kenyataan, van Dijk akan menjadi pemain Southampton ke-8 yang berhijrah ke Liverpool sejak era Premier League diperkenalkan.

Liverpool dilihat gemar membeli pemain Southampton sehingga Southampton digelar Liverpool B. Setakat ini, Liverpool telah membelanjakan hampir £100juta untuk mendapatkan pemain Southampton.

Dalam artikel ini, kita akan melihat pemain-pemain yang telah berpindah dari Southampton ke Liverpool dalam era Premier League. Senarai ini disusun mengikut tahun perpindahan tersebut berlaku.

1. Paul Jones

Paul Jones merupakan pemain pertama yang berhijrah dari Southampton ke Liverpool. Perpindahan tersebut berlaku pada Januari 2004 oleh pengurus Liverpool pada ketika itu, iaitu Gerard Houllier.

Jones ditandatangani oleh Liverpool secara pinjaman selama sebulan sahaja. Hal ini kerana kedua-dua penjaga gol senior Liverpool ketika itu, iaitu Jerzy Dudek dan Chris Kirkland mengalami kecederaan.

Apa yang menarik, Jones merupakan peminat Liverpool. Beliau menganggap perpindahan tersebut sebagai mimpi menjadi nyata kerana dapat bermain dengan kelab pujaannya.

Paul Jones pemain perintis hubungan istimewa Soton-Liverpool. Imej : Irish Mirror

Sampaikan dia pernah kata, kalau dapat main 1 atau 2 perlawanan dengan Liverpool pun dia dah cukup puas hati, asalkan dapat bagi sumbangan pada Liverpool.

Dan akhirnya Jones menamatkan tempoh pinjaman tersebut dengan melakukan 2 penampilan dalam perlawanan menentang Aston Villa dan Tottenham Hotspur. Pada hujung Januari 2004, Jones meninggalkan Liverpool untuk menandatangani kontrak dengan Wolverhampton Wanderers.

Walaupun tidak banyak memori bersama Liverpool, Paul Jones tetap akan diingati kerana pernah berkata:

“Setiap kali menentang Liverpool, saya tidak pernah menyentuh papan tanda This Is Anfield kerana saya berpandangan tradisi tersebut hanya layak dilakukan oleh pemain Liverpool. Jadi peluang untuk menyentuhnya sebagai pemain Liverpool adalah amat bermakna bagi saya.”

2. Peter Crouch

Peter Crouch berhijrah dari Southampton ke Liverpool pada tahun 2005 dengan nilai perpindahan £7juta. Dengan ketinggian lebih 2 meter, pertarungan bola di udara menentang Crouch amat tidak digemari pertahanan lawan.

Sebagai bukti, Crouch merupakan pemain pertama yang menjaringkan 50 gol melalui tandukan dalam Premier League. Sehingga artikel ini ditulis, Crouch telah menjaringkan 105 gol. Ini bermakna separuh daripada gol yang beliau hasilkan adalah melalui tandukan.

Walau bagaimanapun, permulaan kareer Crouch di Liverpool tidaklah seperti yang diharapkan. Beliau gagal menjaringkan sebarang gol dalam 19 perlawanan pertamanya, atau dalam jangka masa lebih kurang 4 bulan. Kemarau golnya berakhir pada 3 Disember 2005 apabila beliau menjaringkan 2 gol dalam perlawanan menentang Wigan Athletics.

Imej : Metro.co.uk

Crouch bukanlah seorang pemain yang mempunyai larian deras mahupun kebolehan teknikal yang luar biasa. Walau bagaimanapun, beliau tetap dianggap hero oleh penyokong Liverpool. Ini kerana beliau telah menjaringkan beberapa gol penting untuk Liverpool.

Antaranya ialah gol kemenangan Liverpool terhadap musuh ketat mereka, iaitu Manchester United dalam perlawanan pusingan ke-5 FA Cup pada 18 Februari 2006. Kemenangan tersebut adalah kemenangan pertama Liverpool ke atas Manchester United dalam FA Cup dalam 85 tahun.

Selain itu, beliau turut menjaringkan gol kemenangan 2-1 Liverpool ke atas Chelsea dalam perlawanan Community Shield pada permulaan musim 2006/2007. Beliau berjaya mencatat hatrik pertamanya pada 31 Mac 2007 dalam kemenangan 4-1 ke atas Arsenal.

Oh ya, dan satu lagi sebab mengapa penyokong Liverpool sayang pada Crouch, adalah kerana beliau berkahwin dengan Abbey Clancy, seorang Scouser!!!

3. Rickie Lambert

Penyerang bertubuh sasa ini dilahirkan di Liverpool dan seperti juga Paul Jones, beliau merupakan penyokong tegar Liverpool. Beliau dilepaskan oleh Liverpool selepas 5 tahun berada dalam skuad remaja Liverpool.

Majoriti kareer beliau adalah bersama kelab-kelab liga bawahan seperti Blackpool, Macclesfield Town, Stockport County, Rochdale, dan Bristol Rovers sebelum menyertai Southampton.

Rekod jaringannya yang hebat bersama Southampton menarik minat Liverpool. Beliau kembali ke Liverpool pada tahun 2014 dengan nilai perpindahan £4juta.

Imej : Irish Mirror

Walau bagaimanapun, jodoh Lambert bersama Liverpool tidak panjang. Beliau hanya bertahan selama semusim, dengan rekod jaringan 3 gol dalam 36 perlawanan. Majoriti penampilan beliau adalah sebagai pemain gentian.

Beliau terpaksa bersaing tempat dalam kesebelasan utama dengan gandingan hebat Liverpool pada ketika itu, iaitu Luis Suarez dan Daniel Sturridge. Beliau berhijrah ke West Bromwich Albion pada 2015.

Apa yang dikesalkan oleh Lambert ialah beliau gagal menjaringkan gol untuk Liverpool di Anfield. Ketiga-tiga gol beliau dijaringkan di tempat lawan. Selain itu, Lambert juga merupakan pemain yang agresif dan gemarkan pertarungan fizikal dengan pertahanan lawan.

Sehinggakan ‘orang besi’ Manchester United, Nemanja Vidic menggelar Lambert sebagai pemain paling kotor yang pernah dihadapinya. Lambert pernah menyiku muka Vidic sehingga berdarah dalam satu perlawanan pada tahun 2014.

Baru-baru ini Lambert telah mengumumkan persaraan beliau daripada bola sepak setelah gagal menyertai mana-mana kelab.

4. Adam Lallana

Adam Lallana merupakan pemain yang terhasil daripada akademi Southampton yang produktif. Beliau merupakan kapten Southampton sebelum perpindahannya ke Liverpool. Selepas berjaya mendapatkan Rickie Lambert, Liverpool berjaya memujuk Southampton untuk melepaskan Lallana dengan nilai perpindahan £25juta pada tahun 2014.

Lallana merupakan seorang pemain yang mempunyai kemahiran teknikal yang baik, serta boleh menggunakan kaki kanan dan kiri dengan baik. Beliau boleh bermain sebagai attacking midfielder atau center midfielder.

Imej : Irish Mirror

Cuma, beliau sering dikritik kerana kurang menjaringkan gol serta kerap cedera. Walau bagaimanapun, ketibaan Jurgen Klopp ke Liverpool mengubah corak permainan Lallana. Permainan beliau lebih konsisten dan menjadi nadi penting dalam taktikal Klopp. Sehingga kini beliau masih bermain untuk Liverpool.

Trivia…..Apa persamaan Lallana dengan legenda Liverpool seperti Ian Rush, Robbie Fowler, Steve Mcmanaman, Michael Owen, dan Jamie Carragher?

Jawapannya, mereka semua adalah penyokong kuat musuh Merseyside Liverpool, iaitu Everton!!!

5. Dejan Lovren

Jika ditanya penyokong Liverpool pemain manakah yang paling mereka tak mahu lihat bermain dalam kesebelasan utama, mungkin majoriti akan memberikan jawapan Dejan Lovren.

Ini kerana sejak menyertai Liverpool dari Southampton pada tahun 2014, pemain yang menelan belanja £20juta ini agak konsisten dalam melakukan kesilapan-kesilapan mudah di benteng pertahanan Liverpool.

Terbaru, Lovren menunjukkan antara persembahan terburuk dalam kariernya dalam perlawanan menentang Tottenham Hotspur pada 22 Oktober 2017 yang lalu.

Tidak konsisten.

Lovren tiba di Anfield ketika Liverpool sakan memborong pemain Southampton pada tahun 2014. Beliau hadir selepas Liverpool mendapatkan Rickie Lambert dan Adam Lallana. Apa yang menarik, ketika bersama Southampton, beliau bermain dengan sangat cemerlang dan konsisten sehingga menarik minat kelab-kelab besar.

Kehadiran beliau mampu mengukuhkan pertahanan Liverpool dan dianggap sebagai pengganti Jamie Carragher. Namun, malangnya beliau gagal mengulangi konsistensi yang ditunjukkannya bersama Southampton.

Antara sumbangan terbesar Lovren adalah dalam perlawanan suku akhir Liga Europa pada April 2016 menentang Borussia Dortmund di Anfield. Ketinggalan 2-0 dan 3-1, Liverpool menjaringkan 3 gol dalam 25 minit terakhir permainan. Lovren menjaringkan gol kemenangan Liverpool dengan tandukan pada masa kecederaan dan melayakkan Liverpool ke separuh akhir.

6. Nathaniel Clyne

Setahun selepas mendapatkan Rickie Lambert, Adam Lallana dan Dejan Lovren, Liverpool kembali memburu pemain Southampton. Giliran Nathaniel Clyne pula meninggalkan Southampton untuk bersama Liverpool, dengan bayaran perpindahan £12juta pada musim panas 2015.

Posisi bek kanan Liverpool pada ketika itu agak kritikal kerana Glen Johnson menyertai Stoke City, manakala Javier Manquillo pula dilihat tidak dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan di Liga Perdana Inggeris.

Imej : Irish Mirror

Clyne merupakan seorang full back moden yang tipikal, yang mana beliau cukup gemar melakukan overlap dan membantu serangan serta membuat hantaran lintang dari sebelah kanan. Clyne turut mendapat tempat sebagai bek kanan utama pasukan kebangsaan England sejak melakukan debut pada November 2014.

Walau bagaimanapun, kelibat Clyne belum dapat dilihat bagi musim ini kerana beliau sedang mengalami kecederaan belakang. Terpaksalah Liverpool mengharapkan Joe Gomez atau Trent Alexander Arnold mengisi tempat Clyne buat sementara waktu.

7. Sadio Mane

Pemain yang dianggap sebagai darling penyokong Liverpool pada ketika ini, mengambil alih tempat Coutinho sebagai pujaan penyokong Liverpool. Majoriti pemain Southampton yang berpindah ke Liverpool mengalami sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri di kelab baru mereka, tetapi tidak bagi Mane.

Beliau terus ‘hit the ground running’ bak kata orang putih.

Ketika di Southampton, Mane memecahkan rekod hatrik terpantas dalam era Premier League, dengan menjaringkan hatrik dalam masa 2 minit 56 saat dalam perlawanan menentang Aston Villa. Rekod tersebut sebelumnya milik pemain Liverpool, iaitu Robbie Fowler yang menjaringkan hatrik dalam tempoh 4 minit 33 saat dalam perlawanan menentang Arsenal.

Bangga Mane ke Liverpool.

Dalam musim 2015/2016, Mane mengalami kemarau jaringan. Beliau gagal menjaringkan sebarang gol untuk Southampton selama 4 bulan. Kemarau tersebut berakhir dengan dramatik, apabila beliau menjaringkan 2 gol dalam kemenangan 3-2 setelah ketinggalan 2-0.

Menentang siapa? Ya betul, Liverpool!!! Beliau mengakhiri musim tersebut sebagai penjaring terbanyak Southampton. Di akhir musim, beliau menyertai Liverpool.

Mane tiba ke Liverpool pada permulaan musim 2016/2017 dengan nilai perpindahan £35juta, yang merupakan perpindahan termahal pemain Afrika pada ketika itu sebelum dipecahkan oleh Mo Salah baru-baru ini. Nilai tersebut dilihat amat berbaloi dengan sumbangan yang diberikan oleh Mane terhadap Liverpool setakat ini.

Antara ketujuh-tujuh pemain tersebut, 4 pemain masih bermain untuk Liverpool pada musim ini, iaitu Lallana, Lovren, Clyne, dan juga Mane. Liverpool juga turut mempunyai Alex-Oxlade Chamberlain, seorang lagi produk akademi Southampton yang menyertai Liverpool melalui Arsenal.

Van Dijk dijangka akan meneruskan tradisi pertalian Liverpool-Southampton pada musim hadapan.

Oh ya, disebabkan kekerapan Liverpool membeli pemain Southampton, legenda tersohor Southampton, iaitu Matthew Le Tissier, telah menyindir Liverpool di Twitter. Ketika mengulas mengenai perpindahan Mario Lemina dari Juventus ke Southampton pada Ogos 2017 yang lalu, Le Tissier telah tweet

“Welcome to @SouthamptonFC @LeminaM_13 and good luck on your next move to Liverpool next year.”

Memang style laa……….

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Wan Mohd Hafifi Bin Wan Ismail untuk diterbitkan di TheSukan.com

Sekiranya anda mempunyai artikel untuk dikongsikan. Hantar di sini.

Baca Juga

Baca Juga