Hubungan Mourinho & Pogba Semakin ‘Dingin’ Selepas Dikeluarkan Ketika Perlawanan Bournemouth

Paul Pogba dan Jose Mourinho terlibat dalam satu insiden ‘dingin’ di bangku simpanan ketika pertemuan Manchester United menentang Bournemouth apabila pemain tersebut dikeluarkan 10 minit sebelum perlawanan berakhir.

Sebelum ini, beberapa akhbar UK melaporkan Mourinho dan pemain termahal dalam sejarah United tidak mempunyai hubungan yang baik dimana Mourinho secara terang-terangan menunjukkan rasa kecewanya terhadap aksi tidak konsisten Pogba musim ini.

Mourinho mahu aksi yang konsisten dari bintang United, bukan yo-yo

Pengurus berasal dari Portugal itu pernah berkata beliau mahu pemain bintang seperti Pogba dan Alexis Sanchez mempamerkan prestasi yang baik bagi membolehkan United bersaing dengan Manchester City. Tetapi malangnya pemain-pemain ini gagal berbuat demikian.

Walaubagaimanapun, Pogba berjaya membuktikan kepada Mourinho yang beliau mampu menjadi penyelamat kepada United dengan menjaringkan dua gol ketika mereka menang 3-2 ke atas Manchester City tempoh hari.

Tetapi lain pula yang berlaku minggu lepas apabila United tewas mengejut di tangan pasukan tercorot, West Brom di gelanggang sendiri. Pogba antara pemain yang gagal beraksi baik dalam perlawanan tersebut dan telah dikeluarkan sebelum perlawanan berakhir.

Tepukan tidak berapa ikhlas dari Mourinho. Kelihatan Pogba hanya bersalam dengan Rui Faria dan Michael Carrick sahaja

Kekalahan tersebut juga mengesahkan masalah utama Manchester United musim ini iaitu konsistensi dari segi persembahan pasukan mahupun prestasi pemain.

Dalam perlawanan yang berlangsung awal pagi tadi, United bangkit dari kekalahan untuk mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Bournemouth hasil jaringan Chris Smalling dan Romelu Lukaku.

Pogba diberikan kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama dan beliau mengambil peluang tersebut dengan baik apabila mempamerkan persembahan yang baik untuk pasukannya.

Kecewa gagal bermain 90 minit, Pogba meluru ke bilik persalinan sebagai tanda protes

Pogba dikeluarkan oleh Mourinho 10 minit sebelum tamat perlawanan dan tempatnya digantikan oleh Daley Blind. Ketika menuju ke bangku simpanan, Pogba sempat bersalam dengan Michael Carrick dan Rui Faria, tetapi langsung tidak memandang Mourinho yang berada berdekatan.

Mourinho pula tidak menghulurkan tangannya kepada Pogba, cuma ‘tepukan tidak ikhlas’ sebagai tanda penghargaan beliau kepada Pogba.

Tiada sebarang ‘eye contact’ dapat dilihat antara Pogba dan pengurusnya. Sejurus bersalam dengan Carrick, Pogba terus menuju ke bilik persalinan sebagai tanda protes dikeluarkan dari perlawanan tetapi kembali di bangku simpanan tidak lama kemudian selepas dipanggil oleh Carrick.

Ia merupakan insiden panas terbaru melibatkan pasangan ini dan jelas menunjukkan hubungan yang tidak berapa baik di antara Pogba dan Mourinho.

BACA:  Manchester United Tamatkan Perjanjian Dengan TeamViewer, Penaja Baharu Dicari