Hudson Odoi Tidak Menolak Akan Tukar Kerakyatan Walau Sudah Buat Penampilan Bersama England

Callum Hudson-Odoi memberi gambaran yang beliau mungkin akan menukar status kewarganegaraannya di masa hadapan.

Pemain sayap yang ketika ini berusia 20 tahun itu menjadi pemain termuda yang melakukan debut bersama skuad kebangsaan England, dalam perlawanan kompetetif ketika bertemu Czech Republic pada tahun 2019 lalu.

Beliau secara keseluruhannya telah turun beraksi sebanyak tiga kali untuk skuad senior The Three Lions.

Kali terakhir beliau bermain untuk negaranya di peringkat senior adalah ketika kelayakan Euro 2020 bertemu Kosovo.

Walau bagaimanapun, sejak dari itu, nama beliau sudah tidak mendapat tempat dalam senarai pilihan pengurus England, Gareth Southgate.

Dan selepas beliau tidak disenaraikan dalam senarai 26 pemain yang akan beraksi dalam saingan Euro nanti, Hudson-Odoi telah memberi gambaran yang beliau mungkin akan menukar status kewarganegaraannya.

Bintang Chelsea itu sama sekali tidak menolak kebarang kalian untuk beliau menukar status kewarganegaraannya dari England kepada Ghana ketika ditanya tentang perancangan masa depannya.

Dalam satu sesi temu bual terbaru bersama Joy Sports, ketika beliau sedang menikmati percutiannya di Ghana, beliau telah menyatakan:

“Saya rasa jelas ketika kamu masih muda, kamu ada kesempatan untuk bermain bersama England dalam tempoh bertahun-tahun, dari bawah 15 ke bawah 16 dan seterusnya.”

“Ketika mereka secara terang-terangan memberi saya kesempatan untuk bermain di negara yang saya sudah duduki, ia sesuatu yang memang sudah ada dalam fikiran saya, saya sudah tetapkan untuk bermain bersama England.”

“Jadi ia memang sudah ada gambaran jelas kalau nak pilih England atau Ghana, dan pada akhirnya, saya pernah kata yang saya ada orang yang betul sekitar saya yang selalu menasihati saya. Apa yang betul apa yang salah. England datang dan saya jawab ya, biarkan saya bermain untuk negara saya.”

“Tapi masa sama saya tahu Ghana juga negara saya, jadi kita akan lihat, kita tunggu saja. Kamu tidak akan tahu.”

Ketika ini, Hudson-Odoi masih dibenarkan untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan Ghana jika beliau mahu, mengikut peraturan rasmi FIFA.

FIFA telah menetapkan peraturan yang mana seorang pemain dibenarkan untuk menukar kewarganegaraan sekiranya mereka tidak membuat lebih dari tiga penampilan bersama skuad senior negaranya sebelum usia 21 tahun.

Pemain sayap Chelsea itu sudah membuat tiga penampilan bersama skuad senior England iaitu ketika bertemu Czech Republic, Montenegro dan Kosovo pada 2019.

Beliau bagaimanapun perlu menanti tiga tahun untuk membuat permohonan mengikut tarikh penampilan terakhirnya bertemu Kosovo pada November 2019.

Yang mana beliau secara rasminya boleh bermain untuk Ghana di acara Piala Dunia 2022 nanti jika Odoi benar-benar mahu menukar kerakyatannya.

Terdapat beberapa pemain lain yang pernah membuat penampilan bersama skuad kebangsaan England tidak kira bersama skuad remaja mahupun senior telah dikaitkan bakal menukar kewarganegaraan mereka.

Bahkan, pada awal tahun lalu, pemain muda Bayern Munich, Jamal Musiala telah memutuskan untuk mewakili Jerman berbanding England, dan telah dipanggil menyertai skuad senior buat pertama kalinya pada Mac lalu.

Pada Oktober tahun lalu, Aaron Wan Bissaka juga telah memberi bayangan yang beliau mungkin akan menukar status kewarganegaraannya dari England kepada DR Congo dengan menukar pengenalan diri di media sosial miliknya.

Gareth Southgate masih belum berkesempatan untuk memberikan debut rasmi kepada Wan Bissaka untuk bersama skuad kebangsaan England.

Beliau lebih memilih untuk memanggil pemain yang lebih berperanan ketika menyerang seperti Trent Alexander Arnold, Reece James dan Kieran Trippier.

Dek kerana sering diketepikan, maka kerana itulah Wan Bissaka membuang bendera England yang ada di pengenalan beliau dan menukarkannya kepada bendera DR Congo.

Persatuan bola sepak Jamaica turut menawarkan kerakyatan kepada beberapa pemain berprofil tinggi seperti Demarai Gray, Isaac Hayden dan Nathan Redmond.

Bahkan, pada awal tahun ini, terdapat laporan yang menyatakan bahawa Andre Gray, Liam Moore dan Mason Holgate turut disebut oleh Jamaica untuk dipanggil sertai skuad kebangsaan mereka.

Kemar Roofe, Ivan Toney dan pertahanan Norwich City, Max Aarons turut ditawarkan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Jamaica.

Penyerang West Ham United, Michail Antonio telah memutuskan masa depan beliau di peringkat antarabangsa dengan memilih untuk beraksi bersama Jamaica.

Mungkinkah Hudson-Odoi akan ada kesempatan lagi untuk bersama skuad kebangsaan England? Atau beliau sudah boleh perlahan-lahan sertai skuad kebangsaan Ghana?

BACA:  Bayern Munich Aktifkan Klausa Pelepasan Pavard, Turut Berminat Dapatkan Hudson-Odoi