Pemain pertahanan Bayern Munich, Mats Hummels mengkritik kelakuan beberapa pemain muda Jerman dan turut memberitahu Sane beliau tidak akan menerima layanan yang sama seperti yang diterima Thomas Muller dan Mesut Ozil dalam skuad kebangsaan Jerman.
Jurulatih Jerman, Joachim Low mencipta sensasi dan mengejutkan ramai pihak dengan menggugurkan bintang muda Manchester City, Leroy Sane dari skuad 23 pemain yang akan berangkat ke Piala Dunia.
Keputusan untuk menggugurkan Sane dilihat satu tindakan yang berani dari Low memandangkan pemain sayap tersebut baru sahaja mengharungi musim yang cemerlang bersama Manchester City dimana beliau berjaya memungut medal juara Liga Perdana Inggeris di samping memenangi Piala Carabao.
Sane berjaya merekodkan 15 bantuan gol bersama Manchester City dan hanya rakan sepasukannya, Kevin De Bruyne sahaja yang berjaya mencipta assist lebih banyak dengan catatan 16 assists.
Selain membantu Manchester City memungut rekod kutipan mata tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dengan 100 mata, beliau juga telah dinamakan sebagai pemain muda terbaik tahunan PFA.
Walaubagaimanapun, prestasi cemerlang yang dipamerkan Sane musim lepas masih belum cukup untuk meyakinkan Low untuk membawa beliau ke Russia.
Walaupun Low menerima kritikan dari banyak pihak kerana keputusan tersebut, Hummels menyokong keputusan jurulatihnya dan mendakwa Sane tidak sepenting Muller dan Ozil dalam skuad Jerman.
Beliau juga mengkritik kelakuan generasi muda pemain Jerman yang semakin naik kepala saban hari, tidak seperti zaman beliau dahulu.
“Leroy Sane bukan pemain yang penting seperti Thomas Muller atau Mesut Ozil. Kadang kala anda perlu mengambil masa untuk membina kedudukan anda dalam skuad kebangsaan, sama seperti di kelab.”
“Saya juga melihat pemain-pemain muda yang datang dari akademi hari ini, termasuk Bayern Munich, adalah generasi yang berbeza dengan apa yang anda lihat 10 atau 12 tahun yang lalu.”
“Mereka adalah generasi baru. Mereka mempunyai karakter yang berbeza seperti yang anda lihat di laman sosial.”
“Ketika saya bergelar pemain paling muda dalam pasukan, saya sering diarahkan untuk mengalihkan tiang gol. Ia perkara yang normal ketika itu. Hari ini, anda akan dapat melihat pemain berusia 18 tahun tidak faham mengapa mereka perlu melakukan perkara sedemikian.”
“Beberapa minggu pertama saya di Bayern Munich, saya tidak bercakap sepatah perkataan pon dalam bilik persalinan. Saya hanya bercakap dengan Stephan Furstner dan Michael Rensing kerana saya mengenali mereka ketika beraksi bersama dalam skuad simpanan.”
“Kepada pemain lain, saya hanya mengucapkan ‘hello’. Tetapi hari ini, segalanya berlangsung dengan pantas dan selepas seminggu berada dalam pasukan utama, mereka akan berkelakuan seperti telah bermain selama 3 tahun.”