Ibrahima Konate Menunjukkan Kekuatan Fizikalnya Yang Sungguh Dasyat

Usaha Liverpool untuk menyapu bersih semua Piala musim ini semakin menampakkan hasil selepas kejayaan mereka melayakan diri ke peringkat suku akhir saingan FA Cup.

Anak-anak buah Jurgen Klopp itu berjaya layak ke peringkat suku akhir selepas kejayaan mereka menewaskan Norwich City 2-1 awal pagi tadi.

Jurgen Klopp menukar barisan kesebelasan utamanya dalam perlawanan ini, dengan hanya Jordan Henderson sahaja pemain dari skuad ketika menjuarai saingan Carabao Cup kemarin berada dalam kesebelasan utama.

Bintang Jepun, Takumi Minamino berjaya menjadi wira kemenangan Liverpool dalam perlawanan ini, selepas kejayaan beliau menjaringkan kedua-dua gol mereka.

Gol pertama beliau terhasil selepas beliau bijak mencari ruang di dalam kotak penalti, yang membolehkan Divock Origi untuk mengumpan bola kepadanya.

Sebaik menerima bola umpanan cantik dari Divock Origi, Minamino segera melepaskan rembatan padu untuk menewaskan Tim Krul.

Gol kedua beliau pula berjaya dihasilkan selepas bola sepakan penjuru hantaran dari Kostas Tsimikas sampai ke kaki Minamino, dengan pemain kebangsaan Jepun itu segera melepaskan half volley padu untuk meledak gol kedua kelab.

Dua gol jaringan dari Takumi Minamino berjaya membantu Liverpool untuk mendahului aksi babak pertama dengan keputusan 2-0.

Masuk aksi babak kedua, Norwich City berjaya mempamerkan aksi persembahan terbaik mereka, dan hasilnya mereka berjaya memperoleh gol pertama menerusi Lukas Rupp.

Rupp melepaskan rembatan rendah untuk menewaskan Alisson Becker, seterusnya menghidupkan peluang untuk Norwich City melakukan comeback dalam perlawanan ini.

The Canaries mencipta begitu banyak peluang dan kesempatan dalam usaha mereka memburu gol penyamaan, namun malangnya barisan pertahanan Liverpool, dan Alisson Becker sendiri terlalu cemerlang untuk ditewaskan.

Selepas melalui hujung minggu yang menggembirakan, Jurgen Klopp memutuskan untuk memberi rehat yang cukup kepada beberapa orang pemain utamanya.

Namun aksi dari para pemain simpanan beliau juga tidak kurang hebatnya dan ia sudah cukup untuk membuktikan yang Liverpool kini ada skuad depth yang sungguh menakjubkan.

Penjaring gol dalam perlawanan ini, Takumi Minamino membuktikan sekali lagi yang beliau layak untuk beraksi bersama The Reds dan turut mempunyai kualiti penyudah yang boleh dibanggakan.

Divock Origi yang sebelum ini hangat dikaitkan bakal meninggalkan kelab juga masih kekal pamer aksi terbaiknya dan tidak keterlaluan untuk menganggap beliau sudah menjadi legenda di hati peminat.

Walau bagaimanapun, antara pemain yang paling menonjol dalam perlawanan ini dan aksinya sejak beberapa perlawanan terakhir ini adalah Ibrahima Konate.

Pemain muda dari Perancis itu sekali lagi membuktikan yang beliau merupakan antara prospek pertahanan terhebat dunia di masa hadapan.

Terdapat satu detik dalam perlawanan ini, yang mana Ibrahima Konate menunjukkan kekuatan fizikal beliau yang sungguh menakjubkan dalam melindungi gawang gol Liverpool.

Beliau mengawal pemain penyerang lawan hanya dengan menggunakan otak dan ditambah dengan kekuatan fizikal beliau yang menakjubkan.

Beliau ketika itu diasak oleh Jonathan Rowe yang menerima bola umpanan dari rakan sepasukannya, Konate kemudiannya memintas pemain penyerang Norwich itu dengan menggunakan kekuatan fizikal beliau.

Dari luar kotak penalti, beliau membiarkan bola bergolek menuju keluar sambil badannya menghalang Rowe dari memintas beliau dan memenangi semula bola tersebut.

Rowe nampak berusaha sehabis daya untuk cuba melepaskan diri dari kawalan Konate, namun beliau terlalu lemah untuk menewaskan bintang Perancis itu.

Harus diakui yang teknik Ibrahima Konate itu sebenarnya sangat bijak dan beliau benar-benar memanfaatkan kekuatan fizikalnya untuk bertahan.

Bola itu perlahan-lahan sahaja bergolek keluar padang, namun Rowe nampak berpeluh-peluh cuba untuk bersaing dengan Konate.

Selepas bola keluar, Ibrahima Konate kemudiannya menyerahkan bola kepada Alisson Becker untuk tendangan gol sambil beliau menunjukkan isyarat ibu jadi menandakan beliau sudah menjalankan tugasnya dengan sempurna.

Kekuatan skuad Liverpool musim ini bukan hanya ada pada barisan pemain utama mereka, tetapi juga pada pemain simpanan mereka.

Skuad depth yang Liverpool miliki pada ketika ini diakui antara yang terhebat pernah mereka miliki sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hal ini akan benar-benar sangat membantu Jurgen Klopp untuk bersaing dalam semua pertandingan dan memenangi segala yang boleh dimenangi oleh mereka.

Dengan memiliki skuad utama yang menakjubkan, ditambah pula barisan skuad depth yang dasyat, tak mustahil akan ada Piala seterusnya untuk Liverpool pada musim ini.

Sumber: GMS

BACA:  Aksi Zlatan Ibrahimovic 'Koyak' Dengan Ibrahima Konate