Icardi: Inter Lebih Berhak Untuk Layak Berbanding Tottenham

Kapten Inter Milan, Mauro Icardi percaya pasukannya lebih berhak untuk layak ke pusingan kalah mati berbanding Tottenham Hotspurs selepas hanya mampu seri 1-1 dengan PSV Eindhoven dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan B, Inter Milan memerlukan kemenangan di tempat sendiri untuk mengesahkan tempat mereka di pusingan seterusnya. Walau bagaimanapun, impian mereka untuk layak berkecai apabila Spurs berjaya meraih satu mata di Nou Camp manakala mereka diikat PSV di hadapan penyokong sendiri.

Jaringan dari Icardi tidak cukup untuk Inter layak ke pusingan kalah mati

Pemain sayap Mexico, Hirving Lozano terlebih dahulu meletakkan PSV di hadapan dan meletakkan Inter dalam tekanan. Inter yang dibimbing Luciano Spalletti melancarkan serangan bertali arus selepas itu dan akhirnya mereka berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-73 menerusi jaringan Icardi.

Jaringan tersebut juga merupakan gol ke-4 Icardi dalam pertandingan tersebut musim ini. Pada asalnya, peminat Inter beranggapan keputusan tersebut sudah cukup untuk pasukan mereka layak ke pusingan kalah mati tetapi jaringan Lucas Moura pada penghujung permainan mengubah segalanya.

Spurs berjaya mencuri satu mata di Nou Camp menyebabkan kedua-dua pasukan terikat dengan 8 mata dalam kumpulan B.

Lucas Moura merobek hati ratusan ribu peminat Inter di Indonesia dengan jaringannya pada minit ke-85 di Nou Camp

Icardi yang mempunyai peluang keemasan dalam minit kecederaan üntuk memenangi perlawanan nyata tidak gembira dengan apa yang berlaku dan percaya Inter Milan lebih layak untuk mara ke pusingan kalah mati.

“Kami perlu menang. Kami melepaskan gol pada separuh masa pertama. Selepas itu, kami kerap masuk ke dalam kawasan pasukan lawan tetapi gagal mencari dua gol yang diperlukan.”

“Inter Milan berhak untuk layak kerana kami telah membuktikan yang pasukan ini mampu bersaing dengan mana-mana pasukan.”

Inter dan Spurs mempunyai rekod ‘head-to-head’ dan perbezaan jaringan yang sama tetapi anak buah Pochettino menjaringkan gol lebih banyak dan ia sudah cukup untuk memberikan kelebihan kepada pasukan dari England itu.

Inter Milan akan menyertai pasukan ternama seperti Napoli untuk bersaing dalam Europa League selepas ini.

BACA:  Gareth Bale Beri Bayangan Bakal Berpindah Selepas Diketepikan Menentang Liverpool