Pemain tengah Mancester City, Ilkay Gundogan telah memuji pembaharuan yang dibawa pengurusnya, Pep Guardiola kepada pasukan Manchester City selepas mencipta rekod baru dalam sejarah Liga Perdana Inggeris iaitu kutipan mata tertinggi selepas 11 perlawanan.
Kemenangan yang dicatatkan The Cititzens ke atas Arsenal hujung minggu lalu meletakkan mereka 8 mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester United dan pada masa yang sama telah menjaringkan 52 gol dalam semua pertandingan.
Gundogan berkata kejayaan yang diraih Manchester City musim ini adalah disebabkan kebijaksanaan Guardiola merancang taktikal bagi setiap perlawanan. Beliau turut menambah Guardiola telah menjadikan City sebuah pasukan yang amat menarik untuk disaksikan.
Walaubagaimanapun, pemain berasal dari Jerman ini memberi amaran kepada rakan sepasukannya untuk tidak tidak terlalu selesa kerana perjalanan liga masih lagi panjang dan segalanya boleh terjadi.
“Mungkin Pep punca utama kami beraksi cemerlang. Beliau menemui segala penyelesaian apabila bertemu pasukan lawan dan beliau juga seorang yang amat menitik beratkan segala informasi yang ada. Cara Pep telah menjadikan permainan kami lebih mudah.”
“Corak permainan kami begitu menonjol sekarang. Kami sangat menarik, sangat laju dan kerap mencipta peluang untuk menjaringkan gol. Kami adalah pasukan yang amat menarik untuk ditonton pada masa sekarang.”
“Mungkin tempoh rehat aksi antarabangsa ini hadir tepat pada waktunya kerana beberapa perlawanan kami yang lepas berlangsung dengan sangat sengit jika dibandingkan dengan perlawanan pada permulaan musim. Tambahan pula, kualiti pasukan lawan juga lebih tinggi.”
“Sekarang, saya berharap semua pemain mampu kembali ke kelab dalam keadaan cergas selepas beraksi bersama negara masing-masing dan selepas itu segalanya akan bermula dari awal kembali.”
Selepas menghabiskan musim pada kedudukan ke-3 musim lepas, skuad Guardiola telah meningkatkan permainan mereka ke tahap yang baru dan Guardiola berpendapat penyudah pasukan yang lebih tajam adalah punca mereka beraksi begitu baik. Beliau dipetik berkata:
“Kami kini lebih berbahaya di hadapan gol. Penyerang kami mampu menjaringkan gol setiap kali mendapat peluang. Corak permainan kami yang gemar melakukan hantaran menjadi sebab kami mampu mendominasi pasukan lawan.”
“Pada satu peringkat dalam perlawanan, pasukan lawan mesti melakukan sesuatu dan pada ketika itu, terdapat lebih banyak ruang buat kami untuk menjaringkan gol.”
Liga kini akan berhenti rehat selama dua minggu untuk meberi ruang kepada perlawanan antarabangsa. Guardiola pastinya berharap pemain utama City seperti David Silva, Sergio Aguero dan Kevin De Bruyne mampu kembali ke Etihad tanpa mengutip sebarang kecederaan.
Ini kerana selepas ini, mereka bakal mengharungi beberapa perlawanan yang getir dalam usaha merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.
City bakal menempuhi perlawanan sukar pada bulan Disember apabila mereka bakal bertemu pencabar utama liga, Manchester United dan seminggu kemudian, Tottenham Hotspurs pula menanti mereka.