Legenda Liverpool, Paul Ince percaya kehilangan khidmat Philippe Coutinho yang berpindah ke Barcelona tidak begitu dirasai Liverpool sambil menyifatkan ia sebagai perkara terbaik yang boleh terjadi kepada kelab tersebut.
Coutinho menyertai Liverpool dari Inter Milan pada tahun 2013 dan bermain di Anfield selama 5 tahun sebelum impiannya untuk beraksi bersama Barcelona tertunai pada Januari 2018.
Perpindahan Coutinho ke Nou Camp merupakan perpindahan ke-3 termahal dalam sejarah, dengan yuran perpindahan dilaporkan sekitar £142 juta.
Kehilangan Coutinho pada pertengahan musim menjadi perbualan banyak pihak memandangkan Jurgen Klopp tidak membawa masuk mana-mana pemain tengah untuk menggantikan tempat Coutinho ketika itu.
Walaubagaimanapun, Klopp berjaya menutup mulut pihak yang mengkritik beliau dengan membawa Liverpool menamatkan musim di kedudukan 4 teratas disamping membawa The Reds sehingga ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah sebelum dikecewakan Real Madrid.
Berikutan prestasi cemerlang yang dipamerkan Liverpool semenjak pemergian Coutinho, Ince yang pernah mewakili England pada era 90-an dahulu percaya Liverpool merupakan pasukan yang lebih baik tanpa Coutinho dalam pasukan tersebut.
“Ramai menyangka Liverpool akan bergelut selepas pemergian Coutinho ke Barcelona. Saya tidak tahu sama ada Klopp berkongsi pendapat yang sama dengan saya, tetapi saya berpendapat kehilangan Coutinho merupakan perkara terbaik yang mampu berlaku kepada Liverpool kerana mereka terlalu bergantung kepada Coutinho sebelum ini. Semua orang bercakap mengenai Coutinho sahaja.”
“Sebaik sahaja Coutinho meninggalkan Liverpool, masanya tiba untuk pemain lain mengisi peranan yang ditinggalkan oleh Coutinho. Pasukan ini bukan mengenai seorang pemain sahaja seperti yang didakwa banyak pihak.”
“Liverpool melakukan bisnes yang cemerlang dengan mendapatkan Mohamed Salah. Ia merupakan keputusan bisnes terbaik yang pernah dilakukan Liverpool. Saya pernah melihat beliau beraksi untuk AS Roma tahun lepas bersama Edin Dzeko dan Salah merupakan pemain yang menakjubkan.”
“Saya seperti tidak percaya hanya Liverpool berminat untuk mendapatkan Salah. Ia merupakan urusniaga yang sangat cemerlang.”
Ince bermain untuk Liverpool selama dua tahun, bermula tahun 1997 sehingga 1999. Beliau memuji tindakan Liverpool membawa masuk dua pemain tengah yang berkualiti iaitu Naby Keita dan Fabinho tetapi mendakwa kehilangan Emre Can turut memberi tamparan hebat kepada pasukan.
“Naby Keita dari RB Leipzig merupakan pemain yang baik. Saya juga suka dengan Fabinho. Saya rasa Liverpool telah melakukan urusniaga yang baik. Liverpool perlu mendapatkan pemain baru untuk menggantikan tempat Emre Can. Saya sedih melihat Can meninggalkan pasukan ini.”
Walaupun mengharungi musim yang baik, Liverpool jauh ditinggalkan Manchester City dalam perebutan takhta Liga Perdana Inggeris.
Liverpool menamatkan musim 25 mata di belakang skuad Pep Guardiola yang memecahkan rekod dengan memungut 100 mata.
“Liverpool masih lagi ada peluang untuk mencabar Manchester City. Saya rasa Liverpool akan menjadi pasukan yang lebih baik musim hadapan.”
“Ia mungkin sukar kerana City juga akan membeli pemain baru dan mereka memenangi liga dengan kelebihan 18-19 mata. Tetapi pasukan lain mampu menewaskan mereka. Ada cara untuk menewaskan Manchester City.”