Ini Alasan Mengapa Son Heung Min Memilih Untuk Tidak Berkahwin Sekarang

Bintang sensasi Tottenham Hotspur, Son-Heung Min merupakan antara pemain berprofil tinggi yang beraksi di pentas premier league.

Beliau menunjukkan peningkatan yang mengagumkan dalam aksinya sejak mula menyertai Tottenham dari Bayern Leverkusen pada tahun 2015.

Kerja keras, dedikasi, semangat juang yang tinggi dan cara pemikiran lelaki bujang yang sungguh matang membawanya ke puncak tertinggi dalam karier bola sepak beliau.

Beliau merupakan nadi penting dalam pasukan Tottenham Hotspur yang kini sedang melalui kesukaran.

Son juga dipuji oleh ramai peminat atas usaha, kerja keras serta mentaliti yang beliau pamerkan dalam membantu pasukannya.

Dua musim terakhir ini adalah musim terbaik untuk Son-Heung Min, selain menjadi nadi penting untuk skuad Tottenham, beliau juga merupakan nadi penting dalam skuad kebangsaan Korea Selatan.

Tetapi mungkin ramai tidak tahu bahawa pemain berusia 28 tahun itu tidak akan berkahwin sehingga beliau bersara dari dunia bola sepak.

Dalam satu sesi temu bual bersama The Guardian, Son bercakap tentang bagaimana ayahnya mengajar beliau tentang apa yang perlu dilakukan selepas berumah tangga.

Beliau menceritakan nasihat ayahnya selepas berkahwin, beliau harus meletakkan keluarga di kedudukan pertama dalam kehidupannya dan bola sepak bukan lagi keutamaan.

“Ayah saya pernah katakan ini dan saya bersetuju tanpa sebarang bantahan.”

Jelas Son.

“Ketika kamu berkahwin, pertama sekali kamu harus pentingkan keluarga, isteri dan anak, kemudian baru bola sepak. Saya sekarang mahu pastikan sementara saya berada di puncak, bola sepak harus menjadi keutamaan saya. Kita tidak akan tahu berapa lama kita mampu bertahan untuk berada di puncak.”

“Ketika kamu bersara, atau ketika kamu sudah menjangkau usia 33 ke 34 tahun, kamu sebenarnya masih berpeluang untuk menghabiskan masa bersama keluarga kamu.”

Son mempunyai personaliti yang hebat serta bakat atas padang yang sangat mengagumkan, dan itulah hal yang membuatkan dirinya digemari oleh peminat dari kelab dan negaranya.

Beliau berjaya menjaringkan 11 gol dan mencatatkan 11 assist untuk Spurs musim ini dan membantu pasukannya menamatkan saingan liga di tempat keenam.

Son juga berjaya memanfaatkan waktu penggantungan saingan bola sepak yang digantung sebelum ini untuk menghabiskan latihan ketenteraan wajibnya.

Pegawai pelatih ketenteraan di Korea turut bangga dan teruja dengan apa yang dipamerkan oleh Son dan meletakkannya dalam kalangan lima pelatih terbaik dari kalangan 157 orang pada Mei lalu.

“Dia menerima anugerah Pilsung, yang mana ianya merupakan satu dari lima anugerah untuk pelatih terbaik.”

Jelas pegawai pelatih ketenteraan laut Korea Selatan.

“Kesemua penilaian dilakukan dengan adil dan penuh ketegasan dan pelatih yang melatih beliau sangat kagum dengan apa yang telah beliau persembahkan.”

BACA:  Son Kembali Sertai Sesi Latihan Spurs, Namun Beliau Kelihatan Sangat Muram