Ini Bukan Heavy Metal Football Tapi Seperti Gitar Bass

Gary Neville kembali lagi dengan kritikan pedas berdesing dan berdengung apabila menyifatkan permainan Liverpool bukan lagi sebagai Heavy Metal Football seperti yang diagungkan sebelum ini tetapi seperti gitar bass.

Bekas pemain Manchester United itu berkata, peminat, pemain dan jurulatih Liverpool sepatutnya risau lagi bimbang dengan kekalahan mereka kepada Arsenal.

Kebimbangan disuarakan Gary Neville kerana dia masih memandang tinggi kepada Liverpool namun kehilangan mata lagi dan hanya empat mata dari zon penyingkiran.

Bercakap dalam podcastnya selepas perlawanan, Gary Neville berkata:

“Bagi Liverpool, adakah ini satu kesilapan atau adakah ini sedikit penurunan dari segi situasi mereka pada masa ini?”

“Pada separuh masa pertama, saya fikir mereka bertindak balas dengan sangat baik kepada permulaan yang sangat elektrik.”

“Tetapi saya fikir separuh masa kedua Liverpool agak membimbangkan. Mereka kelihatan seperti menjadi bayangan kepada diri mereka sendiri.”

Aksi tidak konsisten Liverpool ketika bersama bola dan tanpa bola menjadi punca kepada kesenduan ini.

“Secara amnya, prestasi mereka pada separuh masa kedua akan menjadi kebimbangan bagi Jurgen Klopp.”

“Bukan sahaja prestasi ketika memegang bola dan cara mereka bermain, tetapi juga ketika tanpa bola, keupayaan mereka untuk dapat merampas bola dan menekan, dan mengganggu lawan.”

Kemudian Gary Neville membuka sejarah kedatangan Jurgen Klopp ke England yang membawa tema dan prinsip Heavy Metal Football yang kini semakin menghilang.

Neville meneruskan:

“Kami tahu bahawa Jurgen Klopp datang ke negara ini dengan bola sepak heavy metal menjadi premis dan prinsip sebenar, tetapi itu bukan bola sepak heavy metal (menentang Arsenal), itu seperti gitar bes.”

“Mereka benar-benar lesu pada separuh masa kedua. Saya akan bimbang jika saya adalah peminat, jurulatih atau pemain Liverpool pada separuh masa kedua itu.”

Senang cerita bagi Neville, Liverpool kini semakin kehilangan falsafah permainan mereka yang saban perlawanan semakin tidak menjadi. Pressing mereka kini hancur.

“Ia adalah tenaga dan selera dalam permainan yang mereka miliki sejak beberapa tahun kebelakangan ini dari segi percubaan untuk bertahan dan menekan (itulah yang menjadi isu).”

“Mereka kelihatan dua atau tiga ela, dan dua atau tiga ela dalam bola sepak adalah segala-galanya. Jika anda berada satu ela dari pemain bertaraf dunia, itu terlalu banyak.”

Selain Gary Neville, Robbie Savage juga telah pernah mempersoalkan benda yang sama pada bulan Ogos yang lalu, di mana Heavy Metal Football yang di bawa Jurgen Klopp?

“Apakah yang telah berlaku kepada bola sepak heavy metal Jurgen Klopp?”

“Di manakah rentak kejam itu, keinginan yang tidak pernah puas untuk memenangi bola dengan garisan tinggi di atas padang, tekanan tanpa henti yang menyebabkan lawan berkampung di bahagian mereka sendiri?”

Pada ketika itu, Savage melahirkan kebimbangan akan kehilangan Sadio Mane dan juga pengarah sukan, Michael Edward yang mahir dalam mendapatkan pemain berDNA heavy metal mengikut acuan Klopp.

“Sama seperti Luis Diaz dan Darwin Nunez adalah pemain yang menarik yang akan membuktikan nilai yang baik dalam jangka masa panjang, saya bimbang Liverpool kehilangan Sadio Mane – golnya, pergerakannya, keupayaannya untuk meregangkan pertahanan lawan.”

“Edwards menempa reputasi sebagai pakar perunding dan ‘penyelesai’ tawaran klinikal. Legasinya mengalir melalui tulang belakang pasukan, daripada penjaga gol Alisson ke Van Dijk, Fabinho dan Mo Salah.”

Ketika ini segalanya tidak menjadi buat Liverpool, selepas hampir sebulan liga berehat atas kemangkatan baginda ratu dan rehat cuti antarabangsa tiada peningkatan dari Liverpool dan sepertinya semakin teruk.

BACA:  Klopp: Jangan Pandang Rendah Chelsea Dalam Perebutan Kejuaraan Liga Perdana Inggeris