Ini Janji Elliott Sekiranya Berjaya Menjaringkan Gol Untuk Liverpool

Bintang muda Liverpool, Harvey Elliott telah berjanji bahawa beliau akan memotong rambutnya sebaik berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan rasmi untuk Liverpool.

Elliott merupakan prospek masa depan terbaik untuk pasukan pada ketika ini dengan aksi dan persembahan yang telah beliau pamerkan.

Beliau telah membuat lapan penampilan untuk skuad senior Liverpool sejak ketibaannya dari Fulham pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Bintang muda handal itu kini baru sahaja berusia 17 tahun dan beliau sering mempamerkan aksi sangat mantap ketika diberi peluang untuk turun beraksi.

Beliau seorang pemain yang sangat lincah dan mempunyai gaya yang tersendiri. Elliott memiliki rambut yang panjang dan diikat seperti ekor di belakang kepalanya.

Seandainya beliau gagal untuk menjaringkan sebarang gol buat Liverpool dalam tempoh lima tahun ini, tidak tahu lah bagaimana mahu Elliott menguruskan rambutnya.

Elliott telah mengumumkan secara rasmi bahawa beliau akan memotong rambutnya sebaik berjaya untuk menjaringkan gol sulungnya untuk skuad senior Liverpool.

“Saya telah menguruskan rambut ini selama hampir dua tahun.”

Jelas pemain sayap muda itu kepada The Athletic.

“Ketika zaman persekolahan, saya tidak boleh membela rambut panjang dan mengikatnya seperti ini, setiap kali saya melakukannya saya pasti dimarahi oleh guru. Saya tidak boleh melawan dengan peraturan.”

“Ianya bukanlah gaya potongan rambut yang terkenal. Sesetengah orang mungkin terfikir juga mengapa saya memilih gaya seperti ini. Tetapi saya memang sangat sukakanya.”

“Sama seperti Jurgen Klopp, kadang kala saya datang dengan rambut berikat dan beliau hanya akan melihat saya lalu ketawakan saya.”

“Saya sudah berjanji dengan rakan sepasukan yang lain, ketika saya menjaringkan gol profesional yang pertama nanti, saya akan memotong rambut saya.”

“Awalnya saya mahu memotong dan mencuba rambut baru untuk tahun baru, tetapi saya memutuskan untuk mengubah fikiran saya. Saya mahu melakukan sesuatu yang lebih diingati.”

“Saya cuma berharap saya tidak akan menunggu terlalu lama. Saya tidak sabar untuk memulakan musim baru.”

Elliott menyertai Liverpool dari Fulham dan telah membuat penampilan untuk kelab dari London itu ketika berusia 16 tahun 30 hari. Ini menjadikan beliau sebagai pemain paling muda melakukan debut dalam sejarah Premier League.

Lapan penampilan beliau lebih banyak beraksi untuk perlawanan Piala domestik dan beliau turut turun beraksi ketika the reds menewaskan Palace 4-0 pada Jun lalu.

Elliott kemudian telah ditawarkan kontrak profesional baru untuknya dua minggu selepas dari perlawanan itu.

Beliau awal-awal sudah berjaya menambat hati peminat Liverpool selepas menolak tawaran untuk bertemu ketua pasukan Real Madrid, Sergio Ramos.

Madrid telah menunjukkan minat untuk menandatangani beliau dan cuba memancing Elliott untuk menyertai mereka.

Elliott turut diberi peluang untuk melawat sekitar stadium Bernabeu, Madrid melakukan hal itu hanya untuk meyakinkan beliau agar bersetuju untuk berhijrah ke sana.

Mereka membentangkan karpet merah dan menawarkan untuk menemukan Elliott dengan Sergio Ramos.

Walau bagaimanapun, Elliott telah menolak tawaran dari Los Blancos itu kerana tidak bersetuju dengan tindakan Ramos yang seolah sengaja mencederakan Mo Salah ketika perlawanan akhir liga Juara-juara pada tahun 2018.

“Ye, betul itu.”

“Saya membatalkan perjumpaan dengan Ramos kerana tidak suka dengan apa yang beliau lakukan dekat Mo Salah.”

Jelas peminat Liverpool sejak kecil itu lagi.

BACA:  Kecederaan Harvey Elliott Merencatkan Perancangan Gareth Southgate