Intan Sarah Pamer Aksi Masterclass Bantu Melaka Menjuarai Saingan MPFL

Intan Sarah Anisah berjaya memimpin skuad Melaka untuk menjuarai saingan Cuckoo Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2022 selepas menewaskan Selangor MBSJ 3-2.

Kedua-dua Melaka dan Selangor MBSJ telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam perlawanan akhir hari ini.

Selangor MBSJ hanya memerlukan keputusan seri sahaja untuk muncul Juara memandangkan mereka mendahului carta saingan liga dengan kelebihan satu mata mengatasi Melaka.

Pertemuan antara kedua-dua pasukan sebelum ini memperlihatkan bagaimana Selangor MBSJ berjaya menewaskan Melaka 2-1 dan Intan Sarah Anisah yakin pertemuan kedua akan memihak kepada mereka.

Minggu lalu, ketika Intan ditemu bual oleh wartawan Semuanya Bola, beliau telah ditanya tentang harapannya untuk aksi bertemu Selangor MBSJ.

Memandangkan mereka tewas dalam pertembungan sebelum ini, maka Intan Sarah yakin Melaka tidak akan ulang kesilapan sama.

“Kami nak comeback balik hari Rabu nanti lah, sebab tengok point pun tak jauh sangat, kiranya siapa menang, dia lah akan menang liga ni. Insyaallah.”

Intan Sarah turut meminta para penyokong agar datang ke stadium untuk memberi sokongan kepada skuad Melaka dan hal itu jelas membuktikan beliau benar-benar bertekad mahu menewaskan Selangor MBSJ.

“Hello kepada Ultras Taming Sari dan kepada penyokong Melaka ayuh lah datang ke Stadium Panasonic hari Rabu ini menyaksikan perlawanan terakhir Melaka menentang Selangor MBSJ.”

“So sokongan korang semangat kami.”

Jelas Intan Sarah dalam satu video yang dimuat naik oleh laman instagram Melaka.

Melaka berjaya rampas kemenangan ketika perlawanan berbaki 30 saat sebelum ditamatkan

Farahiyah Muhamad Ridzuan berjaya membuka tirai jaringan untuk skuad Selangor MBSJ mendahului perlawanan pada awal aksi babak pertama.

Siti Asnidah Zamri kemudiannya berjaya memadam gol pendahuluan tersebut dengan beliau mencatat nama sebagai penjaring gol untuk Melaka.

Asnida meledak gol menerusi sepakan penalti yang mana para pemain Selangor jelas tak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan yang menghadiahkan sepakan penalti tersebut kepada pasukan Melaka.

Pengadil mendakwa bola terkena tangan pemain Selangor MBSJ di dalam kotak penalti, dengan para pemain mengaku bola terkena tangan namun insiden itu berlaku di luar kotak.

Pengadil tetap dengan keputusannya dengan sepakan penalti tetap diberikan kepada Melaka.

Melaka kemudiannya berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-17 permainan hasil gol sendiri jaringan Norhawa Md Yasin.

Nur Shazreen Munazli muncul penyelamatan skuad Selangor MBSJ dengan beliau berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk ikat kedudukan 2-2.

Melaka kemudiannya bermain tanpa penjaga gol dengan kesemua pemain naik atas melancarkan serangan untuk mencari gol pendahuluan.

Para pemain Selangor sekadar bertahan untuk menunggu wisel penamat dibunyikan kerana mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul Juara.

Usaha Melaka menyerang dengan menggunakan semua pemain membuahkan hasil selepas Syafiqah Zainal Abidin meledak gol kemenangan pada minit terakhir permainan.

Skuad Selangor jelas kecewa dengan kekalahan tersebut, kerana mereka hanya 30 detik sahaja lagi dipisahkan dari kejuaraan.

Intan Sarah Anisah wira kemenangan Melaka

Skuad Selangor hari ini bergelut untuk memperoleh gol kerana kekebalan Intan Sarah Anisah menjadi pertahanan Melaka.

Beliau tidak kerap naik ke atas kerana mahu memastikan segala serangan dari pasukan Selangor dapat dipatahkan dengan Intan sesekali turut ada naik ke atas untuk melakukan counter attack.

Harus diakui yang beliaulah satu-satunya sebab mengapa gawang gol Melaka terselamat dan hanya dua kali sahaja dibolosi dalam perlawanan ini.

Intan Sarah menggunakan segala kelebihan yang beliau miliki untuk mematahkan serangan lawan dengan beliau menggunakan kekuatan fizikal, kepantasan, dan kebijaksanaan beliau untuk menghalang jentera serangan Selangor.

Aksi masterclasses Intan Sarah Anisah jelas menjadi punca mengapa Melaka mampu untuk menewaskan Selangor MBSJ, seterusnya menjuarai saingan Cuckoo Malaysia Premier Futsal League musim ini.

Selepas tamat perlawanan, ketika ditemu bual oleh wartawan Semuanya Bola, beliau mendedahkan bahawa:

“So basically diorang cakap saya ni semangat diorang lah, jadi kalau saya menunjukkan yang saya tak bersemangat dalam padang, diorang pun akan jatuh, so saya akan tunjukkan dekat diorang and jadi benteng terakhir untuk back up diorang lah.”

“Jadi kitorang sempat bertahan, walaupun kitorang dah seri tadi, dan kalau kitorang seri kitorang kalah, tapi kitorang berjaya jaringkan gol 30 saat terakhir, so itu adalah moment terbaiklah, sebab hari tu pun kitorang kalah pun sebab gol 40 saat terakhir, jadi orang cakap ini revenge lah.”

Jelas Intan Sarah kepada wartawan Semuanya Bola.

Kemenangan ini tentunya sangat manis untuk skuad Melaka terutama Intan Sarah memandangkan beliau berjaya menjulang kejuaraan sama dua musim berturut-turut.

Baca Juga

Baca Juga