Inter Milan Beli Nainggolan Dari AS Roma Dengan Harga €38 Juta

Pemain tengah AS Roma, Radja Nainggolan sah sertai Inter Milan dalam perjanjian bernilai €38 juta seperti dilaporkan kedua-dua buah kelab.

Nainggolan menandatangani kontrak selama 4 tahun untuk bersama Inter Milan sehingga tahun 2022. Beliau berpindah ke Inter Milan selepas melakukan 203 penampilan dalam Serie A bersama Roma. Beliau pernah bermain untuk Cagliari dan menyertai Roma pada tahun 2014 secara pinjaman sebelum Roma mendapatkan khidmat beliau secara tetap.

Radja Nainggolan tiba di Milan untuk melakukan pemeriksaan perubatan sambil disambut ratusan peminat Inter yang teruja

Pemain kelahiran Belgium ini mengumumkan persaraan beliau dari pentas antarabangsa selepas dipinggirkan jurulatih Belgium, Roberto Martinez dari mengganggotai skuad Piala Dunia yang kini berada di Russia.

Pemain berusia 30 tahun ini akan kembali bekerjasama dengan bekas pengendali Roma, Luciano Spalletti yang kini menguruskan Inter Milan. Nainggolan dibawa masuk untuk memperkuatkan bahagian tengah Inter Milan yang bakal membuat kemunculan kembali di Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

Inter berjaya mendapatkan slot terakhir Liga Juara-Juara Eropah dengan menduduki tangga ke-4 Serie A musim lepas selepas menewaskan Lazio dalam perlawanan terakhir liga. Inter dilaporkan akan membayar €38 juta(£33.5 juta/$44 juta) kepada Roma untuk memabawa masuk Nainggolan ke San Siro Stadium. Roma juga akan menerima 10% dari penjualan pemain tersebut pada masa depan, sehingga €2 juta.

Inter Milan berjaya mendapatkan Nainggolan pada harga yang berpatutan. Kalau kelab EPL, memang tak dapat harga ni

Ketika berucap kepada Sky Sports Italia, pengurus Inter Milan Luciano Spalletti gembira dengan kemasukan Nainggolan yang disifatkannya bakal menjadi elemen penting di bahagian tengah pasukan musim hadapan.

“Sebaik sahaja Nainggolan diletakkan di pasaran pemain, beliau memilih untuk menyertai Inter Milan. Ia petanda yang bagus buat kami.”

“Beliau mampu bermain dengan baik. Beliau mempunyai karakter untuk berhadapan dengan mana-mana pasukan. Nainggolan seperti seorang ninja. Beliau akan ‘bertarung’ dengan sesiapa sahaja di atas padang.”

Pemain yang mempunyai darah campuran Indonesia ini memiliki 30 penampilan di peringkat antarabangsa bersama Belgium tetapi gagal menambat hati Roberto Martinez untuk berada dalam skuad Piala Dunia Belgium. Keputusan tersebut menyebabkan Nainggolan mengumumkan persaraannya dari pentas antarabangsa buat kali kedua dalam masa kurang dari setahun.

Perpindahan ini bukan sahaja disambut gembira peminat Inter, tetapi juga rakyat Indonesia kerana Nainggolan mempunyai darah campuran orang sana

Ketiadaan nama Nainggolan dalam skuad Belgium dianggap satu keputusan yang mengejutkan memandangkan beliau mengharungi kempen domestik yang baik bersama AS Roma musim lepas. Beliau berjaya membantu Roma mara sehingga ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara dan paling diingati adalah bagaimana mereka menyingkirkan Barcelona selepas ketinggalan 3-0 dalam perlawanan pertama.

Dalam perkembangan lain pula, Roma sudah mula merangka pelan mereka untuk saingan musim depan dengan membawa masuk dua pemain Nerazzurri, Davide Santon dan Nicolo Zaniolo. Kedua-dua pemain tersebut menyertai Roma dengan yuran perpindahan dianggarkan sekitar  €14 juta.

BACA:  Totti: Mo Salah Adalah Antara Pemain Terbaik Dunia Dan Hanya Akan Bertambah Baik