Pemain tengah Real Madrid, Isco berkata beliau berasa dirinya kembali ‘bernyawa’ selepas mencatatkan hatrik pertama dalam kariernya ketika Sepanyol membelasah Argentina 6-1 kelmarin.
Selepas diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan, Isco mengambil kesempatan tersebut dengan mengkritik pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane berkenaan situasi sukar yang dialaminya di peringkat kelab.
Pemain antarabangsa Sepanyol itu menyaksikan waktu permainan beliau di atas padang semakin berkurang musim ini walaupun memainkan peranan penting untuk Real Madrid musim lepas ketika mereka memenangi La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah.
Dalam perlawanan persahabatan antarabangsa tersebut, Argentina turun menentang Sepanyol tanpa khidmat kapten berpengaruh mereka, Lionel Messi yang mengalami kecederaan. Bintang Barcelona itu hanya mampu melihat negara kelahirannya dibelasah dari tempat duduk penonton bersama rakan baiknya, Sergio Aguero.
Sepanyol meneruskan prestasi baik mereka dalam peringkat antarabangsa menjelang saingan Piala Dunia di Russia tidak lama lagi. Dibawah kendalian jurulatih baru, Julen Lopetegui, Sepanyol tidak mengalami sebarang kekalahan dalam 18 perlawanan terakhir mereka.
Ketika bercakap kepada Marca selepas tamat perlawanan, Isco menunjukkan rasa tidak puas hatinya terhadap Zidane kerana tidak memberikan beliau lebih banyak peluang bermain.
“Di Real Madrid, saya tidak mempunyai keyakinan yang sepatutnya pemain miliki. Perlawanan di peringkat antarabangsa memberikan saya ‘nyawa’. Saya mempunyai keyakinan jurulatih di sini.”
“Saya mahu menunjukkan kepada semua yang saya adalah pemain yang bagus. Lopetegui yakin atas kebolehan saya dan memberikan peluang untuk saya bermain dalam kesebelasan utama.”
“Mungkin juga saya adalah punca masalah di Real Madrid. Saya tidak tahu bagaimana untuk memenangi hati Zinedine Zidane.”
Selepas pemain Juventus, Gonzalo Higuain melihat sepakannya sekadar melewati tiang, Diego Costa berjaya membuka jaringan perlawanan untuk Sepanyol pada minit ke-13 sebelum Isco menggandakan kelebihan Sepanyol tidak lama kemudian.
Pemain pertahanan Manchester City, Nicholas Otamendi memberikan harapan kepada Argentina dengan menjaringkan gol melalui tandukan tetapi Isco cepat untuk menutup sisa-sisa perjuangan Argentina dengan gol peribadi ke-2 beliau dalam perlawanan tersebut.
Thiago Alcantara berjaya menjaringkan gol ke-4 Sepanyol dan bekas pemain Liverpool, Iago Aspas turut berada dalam senarai penjaring selepas mudah menolak masuk bola untuk gol ke-5 Sepanyol. Ketika perlawanan berbaki 16 minit, Isco melengkapkan malam penuh gemilang beliau apabila menjaringkan hatrik untuk menjadikan kedudukan akhir 6-1.
Isco enggan berasa terlalu selesa dengan keputusan tersebut dan mengakui Argentina adalah lawan yang sukar walaupun keputusan perlawanan menunjukkan Sepanyol menang dengan selesa.
“Walaupun keputusan menunjukkan kami menang selesa, perlawanan ini bukanlah semudah seperti yang dijangka. Argentina membuatkan keadaan menjadi sukar buat kami. Mereka bermain cukup aggresif.”
“Kami harus ingat perlawanan ini adalah sebahagian dari persiapan kami menjelang Piala Dunia yang akan datang. Kemenangan ini telah memberikan kami keyakinan yang tinggi untuk menghadapi kejohanan besar musim panas nanti.”