Jadon Sancho Diragui Oleh Rakan Sepasukannya Sendiri Di Old Trafford

Jadon Sancho telah diragui oleh rakan sepasukannya sendiri secara peribadi selepas melihat permulaan perlahan beliau di Old Trafford pada ketika ini.

Bekas bintang Borussia Dortmund itu gagal untuk menjaringkan gol atau mencatatkan assists dari 10 penampilan beliau dalam semua pertandingan untuk Manchester United.

Aksi beliau sentiasa menjadi perhatian para peminat kerana melihatkan kepada nilai beliau ditandatangani oleh kelab dari Borussia Dortmund pada musim panas baru-baru ini.

The Mirror telah melaporkan tentang dakwaan yang dilakukan oleh Duncan Castles di The Transfer Window Podcast, yang ada pemain United lain merasakan Sancho gagal untuk menyesuaikan diri dengan saingan Premier League.

Apa yang lebih mengejutkan lagi adalah, rakan sepasukan baru Sancho itu dilaporkan turut mempersoalkan tentang sikap dan usaha yang beliau tunjukkan ketika sesi latihan.

Pemain berusia 21 tahun itu dianggap sebagai prospek masa hadapan bola sepak Inggeris, selepas pemain muda England itu mempamerkan aksi persembahan mantap sejak beberapa musim sebelum ini.

Beliau berjaya menjaringkan 50 gol dan turut mencatatkan 64 assist dari 137 penampilan untuk Borussia Dortmund sebelum menyertai Manchester United.

Sayangnya, beliau gagal untuk mengekalkan tahap persembahan yang sama sejak menjadi pemain Manchester United dan aksi beliau sering dikritik pada ketika ini.

Beliau turut hanya membuat tiga penampilan sahaja sebagai kesebelasan utama setan merah sepanjang musim ini.

Kebanyakan dari aksi beliau pada musim ini adalah dengan dimasukkan sebagai pemain gantian, dan sering dimasukkan di hujung-hujung minit permainan.

Gareth Southgate sendiri masih meletakkan sepenuh kepercayaan pada Sancho, walaupun bekas bintang Dortmund itu gagal bersinar di Old Trafford.

Beliau tetap memanggil Sancho untuk sertai skuadnya untuk aksi perlawanan kelayakan Piala Dunia bertemu Andorra dan Hungary pada rehat antarabangsa baru-baru ini.

Ekoran dari pengumuman barisan pemainnya, Southgate menjelaskan bahawa:

“Adakah dia berhak untuk disenaraikan ke dalam skuad berdasarkan persembahan dia sejak beberapa minggu kebelakangan ini? Jadi ia mungkin tidak, tapi saya rasa kita sudah menggunakan khidmat dia sejak beberapa waktu kebelakangan ini, kita percaya dia boleh sampai ke tahap yang tertinggi.”

“Saya berminat untuk meluangkan sedikit masa berbual dengan dia dan bantu dia selesaikan apa masalah dia bersama Manchester United, dan saya rasa untuk dia tahu yang kami semua masih percayakan dia pada tahap ini merupakan motivasi yang cukup baik untuk dia.”

“Bundesliga jelas sekali merupakan sesuatu yang berbeza, Dortmund merupakan kelab yang besar, tapi Manchester United merupakan antara kelab terbesar dalam dunia bola sepak.”

“Terdapat beberapa hal perlu disesuaikan untuk itu, ada juga masalah penyesuaian berkait liga, kamu tak akan mungkin dapat jaringkan gol atau catatkan assists yang banyak dalam liga ini, seperti ketika kamu beraksi dalam saingan Bundesliga.”

Sementara itu, legenda Manchester United, Gary Neville langsung tidak meletakkan kesalahan di atas bahu Sancho, dan menegaskan yang kekurangan impak dari penandatanganan baru kelab itu berpunca dari aksi hambar keseluruhan pasukan.

“Sancho pada ketika ini, dia sebenarnya mangsa kepada persembahan buruk seluruh pasukan.”

Jelas Neville kepada Sky Sports.

Sancho dan rakan sepasukannya ketika ini sedang berdepan dengan jadual yang sangat mengerikan dan dengan persembahan semasa mereka, ia bakal menjadi satu hal yang sangat sukar.

Mereka akan turun beraksi bertemu Atalanta dalam saingan Champions League pada pertengahan minggu ini, sebelum melayan kunjungan Liverpool ke bumi Old Trafford pada hujung minggu nanti.

Ia merupakan deretan perlawanan yang sukar untuk ditempuhi oleh Manchester United, dan melihat kepada skuad mereka, sebenarnya tiada masalah untuk setan merah melalui semua perlawanan itu dengan tenang.

Namun persembahan tidak menentu mereka pada ketika ini membuatkan para penyokong goyang dengan jadual perlawanan yang bakal mereka hadapi selepas ini.

Duncan Castles bagaimanapun tidak mendedahkan siapa individu yang meragui Sancho, namun selepas 10 perlawanan, bintang England itu seharusnya sudah mampu untuk lakukan sesuatu, dan membuktikan kepada kelab nilai mega yang mereka bayar untuk dapatkan khidmatnya sebenarnya sangat berbaloi.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Manchester United Mara Ke Separuh Akhir