James McConnell: Pemain Muda Berbakat yang Makin Bersinar di Liverpool

James McConnell: Dari Budak Pemalu kepada Bintang Muda Liverpool

Pada Februari 2023, James McConnell hanya seorang pemain akademi Liverpool yang duduk di kotak pengarah di St James’ Park yang menonton pasukannya menewaskan Newcastle United 2-0. Di barisan hadapan, legenda kelab seperti Kenny Dalglish dan John Barnes turut berada di situ. McConnell yang pemalu enggan memperkenalkan diri walaupun disuruh oleh rakan-rakannya.

Setahun kemudian, Dalglish dan Barnes pasti mengenalinya. Pada usia 19 tahun, McConnell masuk menggantikan Alexis Mac Allister dalam perlawanan akhir Piala Carabao di Wembley. Dia membantu Liverpool menang ke atas Chelsea. Ia menunjukkan bagaimana peningkatannya di bawah Jurgen Klopp dan bagaimana dia terus mendapat kepercayaan Arne Slot sebagai pengendali baharu Liverpool.

Peluang di Bawah Arne Slot

Pada musim ini McConnell tidak bermula dengan baik kerana kecederaan buku lalinya telah menjejaskan separuh pertama kempen. Namun Slot memberi kepercayaannya dengan membariskan McConnell di dalam  kesebelasan utama dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang PSV.

Slot sangat kagum dengan persembahan McConnell sehingga memutuskan untuk tidak meminjamkannya ke kelab lain, walaupun terdapat minat daripada pasukan Championship. Keputusan itu disahkan selepas Tyler Morton mengalami kecederaan bahu menjadikan McConnell pilihan keenam di bahagian tengah Liverpool.

“Dia sentiasa memberi yang terbaik dalam latihan dan sekarang dia mengambil tempat itu buat sementara waktu,” kata Slot.

Perjalanan McConnell ke Liverpool

Dilahirkan di Newcastle, McConnell mula bermain bola sepak dengan kelab tempatan, Cramlington Juniors. Legenda England, Alan Shearer juga pernah bermain di kelab itu. McConnell seorang budak yang pemalu tetapi mempunyai bakat luar biasa. Bekas jurulatihnya, Jason Hodgson menyedari keistimewaannya sejak kecil.

“Dia mempunyai kaki panjang seperti teleskop. Apabila orang sangka dia kehilangan bola, dia masih boleh mengawalnya,” kata Hodgson.

Pada usia 10 tahun, Sunderland cuba mendapatkan McConnell selepas dia menunjukkan prestasi luar biasa dalam satu perlawanan. Walaupun ditawarkan kontrak, keluarganya menolak kerana ingin menghormati Cramlington. Sikap profesional dan disiplin yang diajar oleh ibu bapanya itu telah membantu McConnell berkembang sebagai pemain muda yang matang.

Ketika berusia 15 tahun, Liverpool menawarkan peluang untuk berpindah ke akademi mereka. Kelab itu percaya dia boleh beralih daripada pemain sayap kepada pemain tengah. Keputusan itu terbukti tepat apabila dia meningkat di bawah bimbingan jurulatih akademi Barry Lewtas dan Marc Bridge-Wilkinson.

Meningkat di Bawah Klopp

McConnell mula menarik perhatian pasukan utama semasa jelajah pramusim Liverpool di Singapura pada 2023. Klopp melihat potensi besar dalam dirinya untuk bermain di posisi NO6, menjadi pemain tengah bertahan yang mengawal permainan.

Pada Oktober 2023, McConnell membuat debut dalam Liga Europa menentang Toulouse. Sebulan kemudian dia tampil dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Brentford. Pada awal 2024, ketika Liverpool mengalami krisis kecederaan, Klopp bergantung pada pemain akademi dan McConnell adalah salah seorang darinya.

Dalam kempen Piala FA, dia bermain menentang Norwich City dan Southampton, malah mencipta bantuan gol pertamanya kepada Curtis Jones. Namun, apabila pemain utama kembali pulih peluangnya akan berkurang.

Mentaliti dan Masa Depan

Pada penghujung musim lepas McConnell mengalami kecederaan buku lali sekali lagi namun semangatnya untuk kembali tidak pernah pudar. Dalam satu perlawanan persahabatan akademi, dia meminta untuk bermain 45 minit bagi membina semula kecergasannya. Pegawai kecergasan Liverpool terkejut apabila mendapati statistik lariannya dalam perlawanan itu menyamai rekodnya dalam perlawanan akhir Piala Carabao.

Bekas jurulatihnya, Brightwell, menggambarkan McConnell sebagai “seorang berlian” — bukan sahaja kerana bakatnya tetapi juga kerana keperibadiannya yang rendah hati dan sentiasa mahu belajar.

Dengan Slot kini bertanggungjawab ke atas Liverpool, masa depan McConnell kelihatan cerah. Dia telah membuktikan dirinya sebagai pemain tengah serba boleh yang boleh bermain di beberapa posisi. Dengan kepercayaan yang berterusan daripada kelab, dia mungkin menjadi nama besar yang lahir dari akademi Liverpool.

BACA:  Premier League 2019/20: Liverpool 0-0 Everton