James Rodriguez Gembira Bersama Bayern, Tidak Fikir Mengenai Kepulangan Ke Real Madrid

Pemain tengah Bayern Munich, James Rodriguez berkata keputusan yang diambil beliau musim panas lalu untuk meninggalkan Real Madrid adalah sukar buatnya, tetapi kini beliau berazam untuk mengatur masa depannya bersama Bayern Munich.

James menyertai Bayern Munich secara pinjaman dari Real Madrid musim panas lalu selepas kerap kali dipinggirkan Zinedine Zidane untuk beraksi dalam kesebelasan utama. Beliau sering diletakkan di bangku simpanan dan masuk sebagai pemain gantian sahaja.

Tenggelam di bawah bayangan CR7 musim lepas

Pemain antarabangsa Colombia ini mengakui beliau berasa amat berat untuk meninggalkan Real Madrid ketika itu, tetapi keputusan tersebut perlu dibuat demi kebaikan masa depannya. James kini sedang menikmati bolasepak bersama Bayern Munich dan berada dalam prestasi yang amat baik.

James mengakui beliau pada mulanya agak sukar untuk menerima kenyataan dipinggirkan dari pasukan utama walaupu berjaya membuktikan diri setiap kali diturunkan bermain.

Walaubagaimanapun, beliau gembira dengan keputusannya untuk berhijrah ke Jerman secara pinjaman selama dua musim. James turut berkata apabila tempoh pinjamannya tamat, beliau sendiri yang akan membuat keputusan mengenai masa depannya, bukan Real Madrid ataupun Bayern Munich.

James mahu masa depannya ditentukan beliau sendiri

“Saya tidak tahu sama ada Real Madrid merindui saya atau tidak. Saya melakukan kerja saya di sana dengan baik dan sepenuh jiwa. Saya seorang yang bersemangat dan semua orang mengetahui apabila saya bermain baik, saya mampu mengubah keputusan perlawanan.”

“Setiap individu yang rapat dengan saya memberikan sokongan yang baik, seperti bekas isteri dan ibu saya. Mereka memberikan sokongan kepada saya dan saya amat bersyukur dengan perkara ini.”

“Buat masa sekarang, saya hanya menumpukan perhatian saya kepada Bayern Munich. Tiada siapa tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.”

“Buat masa sekarang Bayern adalah kelab saya. Dan ianya bergantung sepenuhnya kepada saya sama ada mahu terus kekal atau berpindah keluar.”

Apabila ditanya mengenai perpindahan keluar beliau dari Real Madrid musim panas lalu, James memberitahu beliau sedar masanya sudah tamat di Santiago Bernabeau dan perlu berpindah keluar demi kebaikan kariernya.

Prestasi cemerlang ketika Piala Dunia 2014 membuatkan Real Madrid berbelanja besar untuk mendapatkan James.

“Saya sudah mengetahui yang saya mahu meninggalkan Real Madrid. Perlawanan terakhir saya menentang Sevilla adalah detik dimana saya mengucapkan terima kasih kepada semua peminat. Ianya sangat sukar buat saya,”

Sejak menyertai Bayern Munich, James telah menemui kembali sentuhan terbaiknya dan sering beraksi dalam kesebelasan utama pasukan. Beliau masih mendapat kepercayaan sepenuhnya pengurus Bayern yang baru, Jupp Heynckes walaupun dibawa masuk oleh pengurus sebelum ini, Carlo Ancelotti.

BACA:  Legenda Liverpool Kini Antara Calon Ganti Ancelotti Di Real Madrid