Jamie Carragher Hentam Permainan Liverpool, Moreno Main Macam Budak-Budak

Bekas pemain Liverpool, Jamie Carragher tidak gembira dengan persembahan yang ditampilkan bekas pasukannya selepas Liverpool melepaskan kelebihan 3 gol untuk seri 3-3 menentang Sevilla dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah semalam.

Legenda Liverpool ini berang dengan persembahan skuad kendalian Jurgen Klopp dan menggelarkan aksi mereka sebagai naif terutamanya bek kiri pasukan Liverpool, Alberto Moreno yang banyak melakukan kesilapan budak sekolah pada separuh masa kedua.

Liverpool beraksi cemerlang dalam separuh masa pertama. Penyerang antarabangsa Brazil, Roberto Firmino berjaya menjaringkan dua gol dan Sadio Mane turut mencatat nama selaku penjaring gol selepas menanduk masuk bola hasil sepakan sudut. The Reds dilihat mempunyai kelebihan gol yang selesa selepas tamat separuh masa pertama.

Walaubagaimanapun, pasukan Sevilla tersentak dari lamunan untuk kembali bernafas pada separuh masa kedua. Dua jaringan pantas dari Wissam Ben Yedder membuatkan peminat Liverpool tidak mampu duduk diam dan kelebihan tiga gol mereka hilang serta-merta.

Akhirnya, pada waktu kecederaan, Sevilla berjaya melengkapkan ‘comeback’ mereka melalui jaringan Guido Pizarro untuk menggembirakan penyokong tuan rumah dan mereka berjaya mendapatkan satu mata yang berharga dalam usaha untuk layak ke peringkat kalah mati.

Carragher yang kini bekerja sebagai penganalisa bolasepak di stesen televisyen Sky berkata melihat permainan Liverpool dalam perlawanan tersebut adalah seperti melihat budak-budak bermain bolasepak. Dipetik berkata kepada Viasport, beliau mahu menghamburkan sumpah seranah apabila melihat aksi pasukan Liverpool pada separuh masa kedua.

“Persoalan paling utama dalam perlawanan tersebut adalah samada barisan pertahanan Liverpool mampu menyerap atmosfera stadium Sevilla. Sebelum perlawanan bermula, saya rasa jawapannya adalah tidak, tetapi saya tidak menyangka ia akan menjadi seburuk ini, terutamanya pada separuh masa kedua.”

“Saya tidak melihat Liverpool mampu keluar dari perlawanan ini tanpa dibolosi tetapi untuk melihat pasukan ini melepaskan 3 gol selepas mendahului 3-0 adalah seperti melihat sekumpulan budak-budak bermain bolasepak.”

“Apabila beraksi di Sevilla, kamu harus menutup mulut penyokong tuan rumah. Liverpool berjaya melakukannya dengan menjaringkan 3 gol pada separuh masa pertama. Tetapi separuh masa kedua, Sevilla bermain cukup cemerlang. Barisan pertahanan Liverpool memberikan sepakan percuma mudah kepada pihak lawan yang menaikkan moral penyokong tuan rumah dan pemain Sevilla. Pemain Liverpool juga menerima kad kuning mudah dari pengadil dan dua gol Sevilla hadir menerusi sepakan bola mati.”

“Satu kesalahan paling teruk yang diberikan pertahanan Liverpool dalam kotak penalti adalah dari Alberto Moreno. Saya seperti tidak percaya pemain yang bermain pada tahap Liga Juara-Juara mampu membuat keputusan seteruk itu.”

Walaupun Moreno telah menerima pujian hasil persembahan baik kebelakangan ini, Carragher masih lagi gagal untuk mempercayai kemampuan bekas pemain Sevilla ini mengisi posis bek kiri Liverpool secara tetap.

“Morena menerima banyak pujian musim ini tetapi beliau telah bersama Liverpool hampir 4 tahun. Saya tidak fikir persembahan yang ditampilkannya dalam 7 perlawanan sebelum ini mampu mengubah pendapat saya terhadapnya sebagai seorang pemain.”

Liverpool masih lagi berpeluang untuk layak ke pusingan kalah mati walaupun gagal mengutip mata penuh dalam perlawanan semalam.

Jurgen Klopp hanya perlu memastikan pasukan kendaliannya mengutip 1 mata apabila Liverpool menentang Spartak Moscow di Anfield 2 minggu lagi untuk menempah tempat ke pusingan seterusnya.

Walaubagaimanapun, jika mereka kalah perlawanan tersebut, Liverpool mungkin boleh tersingkir dari pertandingan ini.

Baca Juga

Baca Juga