Jangan Samakan Selangor Dengan Kelantan

Kuala Lumpur: “Jangan samakan Selangor dengan Kelantan,” kata Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC) Mohd Faizal Wahid yang menyifatkan hampir 20 syarat diletakkan pengasas produk kecantikan D’Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dianggap mustahil.

Katanya, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memiliki sistem dan perlembagaan sendiri yang jelas sukar untuk dipenuhi, malah baginya situasi skuad Merah Kuning tidak ‘setenat’ Kelantan.

“Sebenarnya kami tiada masalah jika benar ada syarikat korporat yang sanggup membantu. Kehadiran penaja ini baik demi kesinambungan untuk bersaing dalam liga.

“Tapi, syarat diberikan itu sedikit pelik kerana Selangor ada perlembagaan sendiri yang tidak mudah ditukar sewenang-wenangnya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

terlajak-gol-jangan-samakan-selangor-dengan-kelantan
Warna Baru Jersi Selangor jika di taja D’Herbs?

Menerusi laporan akhbar ini semalam, syarikat kosmetik terkenal itu meletakkan beberapa syarat, antaranya mengecat Stadium Shah Alam dengan warna hijau di samping mahu pemain Selangor melakukan gaya tagline ‘terlajak gol’ setiap kali menghasilkan jaringan.

Bagaimanapun, usahawan yang terkenal dengan tagline ‘Terlajak Laris’ itu mengakui belum membuat sebarang keputusan kerana syarat dikemukakan kepada pengurus pasukan, Amirudin Shari perlu diperhalusi terlebih dulu.

“Selangor sudah sinonim dengan merah dan kuning, cuba bayangkan jika warna itu ditukar, ia jelas mengubah tradisi pasukan yang selama ini menjadi identiti Red Giants.

“Bukan stadium saja bertukar warna, jersi juga mahu ditukarkan kepada hijau dan kami yang berdiri sebagai pemain ke-12 di belakang pasukan tak setuju dengan syarat itu.

“Bahkan, Selangor masih belum terdesak seperti Kelantan yang amat memerlukan sumber kewangan. Masih banyak penaja lain yang mahu menaja dan saya harap FAS lebih tegas menangani perkara ini,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Baca Juga

Baca Juga