Jawapan Kepada Kenapa FIFA Mahukan Piala Dunia Dianjurkan Setiap Dua Tahun

Tidak dapat disangkal lagi bahawa Piala Dunia adalah kejohanan sukan yang paling mendapat tempat di dalam dunia yang fana ini. Setiap empat tahun, berbillion manusia akan terpacak sama ada di stadium ataupun di kaca televisyen untuk menonton perlawanan demi perlawanan sehingga satu pasukan menjulang piala yang berwarna keemasan itu.

Bermula sejak tahun 1930, pasukan yang bertanding dalam piala yang paling berprestij ini semakin lama semakin bertambah. Dengan 13 pasukan memulakan tradisi bola sepak paling agung di dunia ini, jumlah ini bertambah kepada 16 pasukan pada tahun 1934.

Jumlah pasukan yang bertanding saling turun naik antara 15 dan 16 antara tahun tersebut sehingga 1978. Pada edisi 1982, FIFA membuat pembaharuan dengan memberikan peluang kepada 24 pasukan untuk merebut piala ini. Jumlah ini kemudiannya ditambah pada edisi 1998 kepada 32 pasukan, dan bermula pada kempen 2026 yang akan diadakan di Amerika Utara, jumlah pasukan yang bertanding dinaikkan kepada 48 pasukan.

FIFA tidak pernah berdiam diri dalam melakukan pembaharuan kepada Piala Dunia dan yang terbaru, bukan sahaja senarai pasukan yang ditambah, malah badan bola sepak dunia ini juga turut mengkaji untuk menganjurkan kempen piala termasyhur ini setiap dua tahun sekali!

Udah rupa macam Sukan SEA buat dua tahun sekali.

Arsene Wenger, selaku Ketua Pembangunan Bola Sepak Global, telah menjadi wajah muka depan untuk membawa cadangan ini kepada ahli gabungan FIFA. Setakat ini, daripada 211 ahli gabungan yang berdaftar dengan badan bola sepak dunia itu, 166 bersetuju supaya kajian dijalankan untuk menyokong perubahan kalendar bola sepak dunia ini.

Persoalannya sekali lagi, kenapa tiba-tiba FIFA pertimbangkan untuk membawa perubahan ini?

Segalanya bermula pada bulan Mei 2021, apabila perwakilan dari Arab Saudi secara rasminya telah meminta FIFA untuk menganjurkan Piala Dunia setiap dua tahun sekali bagi kategori lelaki dan wanita.

Cadangan tersebut meminta satu kajian kebolehlaksanaan dijalankan untuk mengkaji impak dan kesan kepada berlangsungnya kedua-dua kejohanan ini setiap dua tahun sekali.

Presiden FIFA, Gianni Infantino, sebelum ini telah menyatakan bahawa dia mahukan Piala Dunia yang lebih besar, dan hasratnya ini telah tercapai pada Piala Dunia 2026 nanti. Pada masa yang sama, dia juga turut mahukan kuasa kewangan dan impak komersial kepada perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan, yang kini terlalu dibayangi oleh pertandingan di peringkat kelab.

Dengan kata lain, bola sepak peringkat kelab dilihat lebih menguntungkan berbanding bola sepak antarabangsa dan perkara ini jelas tidak disukai oleh FIFA.

Lagi pula, dengan penganjuran dua tahun sekali, semakin banyak negara yang berpeluang untuk menjadi tuan rumah, seperti Arab Saudi, China, England, Maghribi dan banyak lagi.

Tambahan lagi, setiap dua tahun, FIFA bakal menjana keuntungan yang besar menerusi penajaan berbillion dollar daripada syarikat-syarikat terkemuka dunia, dan menurut FIFA, hasil ini akan turut dibahagikan kepada ahli gabungan mereka sekali.

Jika penganjuran ini menjadi kenyataan, maka kalendar bola sepak juga akan turut berubah.

Buat masa ini, nisbah pembahagian waktu perlawanan adalah 80-20, dengan bola sepak peringkat kelab memiliki lebih ruang dan waktu penyiaran. Status quo yang digunakapakai sekarang adalah lima kali berehatnya liga bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan – September, Oktober, November dan Mac.

Kalendar pasukan kebangsaan adalah sepanjang Oktober. Gambar : Independent.

Untuk idea yang baru ini, FIFA mencadangkan dua pilihan – sebulan penuh bulan Oktober, atau bulan Oktober dan Mac.

Dalam bahasa yang muda, sepanjang bulan Oktober, atau sebahagian bulan Oktober dan Mac, para pemain akan fokus bersama pasukan kebangsaan untuk bermain dalam pusingan kelayakan ke Piala Dunia. Ini juga bermaksud liga domestik akan berehat selama sebulan atau dua kali dua hingga tiga minggu sepanjang 12 bulan untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.

Cadangan kedua kalendar bola sepak antarabangsa oleh FIFA. Gambar : Independent

Dengan cara ini, menurut FIFA, kalendar perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan dilihat lebih teratur dan lebih mudah untuk disusun. Mereka juga mengatakan bahawa dengan strategi ini akan mengurangkan jumlah perjalanan seseorang pemain.

Sebagai perbandingan, sepanjang tahun 2014-2018, Leo Messi terpaksa bermusafir sejauh 301,747km – berulang alik dari Eropah ke Argentina, namun dengan cadangan yang baru ini, Messi hanya berkelana sejauh 137,037km.

Kemudian, para pemain masih akan dapat menikmati waktu rehat mandatori selama 25 hari selepas Piala Dunia.

Pada masa yang sama, FIFA juga telah mengira bahawa perlawanan pusingan kelayakan akan mengambil masa yang lebih singkat dengan sekitar enam pusingan sahaja, sekaligus bermaksud para pemain akan mendapat rehat yang lebih panjang.

Para pengurus, di peringkat kelab dan pasukan kebangsaan, akan dapat bersama pemain mereka untuk waktu yang lebih panjang daripada sekarang dengan kurang sedikit gangguan perancangan mereka untuk menghadapi perlawanan masing-masing.

Cadangan ini telah ditentang hebat oleh badan bola sepak Eropah, UEFA dan presidennya, Aleksander Ceferin, telah mengatakan bahawa cadangan ini akan membunuh bola sepak.

Ceferin telah memanggil 55 ahli gabungan badan bola sepak Eropah tersebut pada hari Rabu lalu dan menegaskan bahawa UEFA tidak akan mengubah penganjuran Kejohanan Eropah kepada dua kali setahun seperti Piala Dunia.

“Mungkin ia akan nampak bagus untuk UEFA, dari segi kewangan, tetapi kita boleh bunuh bola sepak kalau cenggitu haaa,” ujar Ceferin.

“Kita menyeksa para pemain. Aku tak rasa kelab akan lepaskan pemain mereka dan ini akan timbulkan masalah nanti.

“Aku ada sembang dengan Zvonimir Boban (bekas pemain Croatia dan kini memegang jawatan penting dalam UEFA), dan dia kata yang selalunya pemain sukar nak pulih daripada Piala Dunia atau Euro sehingga November. Bayangkan kalau benda ni berlaku setiap tahun?”

Lebih tegas lagi, Ceferin turut mengatakan bahawa jika rancangan Piala Dunia dua tahun sekali ini diteruskan, ada kemungkinan UEFA tidak akan menghantar wakil mereka dan memboikot kejohanan terbesar dunia ini.

“Kita boleh putuskan untuk tidak sertai kejohanan tu (Piala Dunia),” kata Ceferin lagi.

“Apa yang aku tahu, geng Amerika Selatan pun fikir macam kami.

“Jadi, semoga berjayalah dengan Piala Dunia macam tu. Aku rasa memang takkan jadi sebab memang berlawanan dengan prinsip bola sepak.

“Untuk bermain dalam kejohanan pada setiap musim panas, bagi pemain, memang makan dirilah jawab dia.”

Wenger walaubagaimanapun berkata keputusan akhir akan dijalankan secara demokratik dan akan ditentukan oleh kesemua ahli gabungan. Dengan sebahagian besar daripada perwakilan bersetuju untuk mengkaji kebolehlaksanaan ini, keputusan akhir diharapkan dapat diumumkan pada bulan Disember nanti.

Ketika ditanya sama ada FIFA akan berdepan tentangan global tentang isu ini, bekas pengurus Arsenal itu menjawab;

“Kalau orang lain ada idea yang lebih bernas, aku sedia mendengar.

“Sebarang cadangan amatlah dialu-alukan. Tapi aku yakin yang kita dapat yakinkan semua orang bahawa ini adalah penyelesaian terbaik.”

Selain UEFA, cadangan ini turut ditentang oleh Liga Perdana Inggeris di mana mereka telah mengeluarkan kenyataan membantah penganjuran Piala Dunia setiap dua tahun.

“Pihak liga akan bekerjasama dengan pemegang taruh untuk menghalang pihak pentadbir bola sepak untuk mengambil keputusan sebelah pihak yang akan mendatangkan bahaya kepada bola sepak domestik yang merupakan asa kepada industri kita dan juga merupakan yang paling penting buat kelab, para pemain dan penyokong di seluruh Eropah dan dunia.”

Rujukan : Independent, ESPN, Guardian

BACA:  Pembahagian Slot Baru Piala Dunia 2026 Mengikut Konfiderasi Bola Sepak Benua