Jawapan Ronaldo Ketika Sahabatnya Mengajak Beliau Sertai Ligue 1 Untuk Jadi Seteru Messi

Jose Fonte bergurau mengajak Cristiano Ronaldo untuk menandatangani perjanjian bersama Lille selepas Lionel Messi melengkapkan perpindahannya menyertai PSG.

Messi secara rasminya kini merupakan pemain Paris Saint Germain selepas melengkapkan perpindahan secara percuma dari Barcelona semalam.

Pemenang enam kali gelaran Ballon D’or itu akan memulakan kariernya dalam saingan Ligue 1 musim hadapan, selepas sebelum ini beliau mendominasi La Liga bersama Barcelona.

Ramai yang sudah tidak sabar untuk melihat Messi beraksi dalam saingan Ligue 1, apa lagi beliau akan bergandingan semula bersama sahabatnya, Neymar.

Walau bagaimanapun, Fonte sedar yang jentera serangan PSG akan menjadi sangat merbahaya pada musim hadapan, dengan mereka akan ada gandingan penyerang berkelas dunia yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Messi dan Ronaldo merupakan dua pemain terhebat sepanjang zaman

Beliau kemudiannya terfikir untuk bergurau dengan rakan senegaranya, Cristiano Ronaldo dan terus mesej bintang Juventus itu untuk mengajaknya menyertai Lille.

Beliau mahu Cristiano Ronaldo membantu Lille berdepan dengan Messi dan rakan sepasukannya yang baru, dan menambah keasyikkan peminat untuk menonton saingan Ligue 1.

Pemain pertahanan Portugal itu mendedahkan kepada talkSPORT bahawa:

” Saya rasa sangat hebat. Saya rasa hebat kerana ia sangat menakjubkan untuk melihat pemain seperti Lionel Messi bermain dalam saingan bola sepak Perancis, dalam liga kami.”

“Ia sangat mengujakan. Jelas sekali ia tentang persaingan, ia akan menjadi lebih sukar untuk kami, tapi kami bersedia untuk berdepan dengannya. Saya mesej Cristiano Ronaldo untuk ajak dia sertai Lille, dia hanya balas, ‘ha ha ha’.

“Bayangkan kami berjaya catatkan clean sheet bila berdepan dengan Messi, Neymar dan Mbappe, ia akan menunjukkan kami lebih hebat dari apa yang telah kami lakukan.”

“Front three yang sungguh menakjubkan. Adakah mereka akan akan bantu pertahanan? Saya tak tahu. Ia sangat menakjubkan untuk melihat persaingan yang semakin sengit dalam saingan liga selepas ini.”

“Saya mahu menyentuh aspek lain dalam hal ini. Saya cuma mahu fahamkan lagi tentang Financial Fair Play di Perancis.”

“Setiap kelab akan mengehadkan perbelanjaan mereka. Mereka tak boleh beli terlalu ramai pemain, mereka tak boleh ada ramai pemain yang dapat gaji besar, tapi PSG sekarang nampak macam mereka mengikut peraturan baru yang kami tak tahu.”

Lionel Messi telah menandatangani perjanjian selama dua tahun bersama Paris Saint Germain, menjadikan beliau akan tinggal di ibu kota Perancis itu sehingga 2023.

Beliau juga turut diberikan tawaran lanjutan kontrak selama satu tahun seandainya mahu terus bersama PSG selepas tamat dua tahun perjanjian asal.

Pelbagai laporan yang menyatakan tentang kontrak Messi bersama PSG dan ada yang melaporkan bahawa Messi akan menerima €35 juta setahun (lepas cukai).

Ia bermaksud Messi akan menerima €2.91 juta sebulan atau lebih tepat lagi €729,000 seminggu, kurang dari apa yang beliau terima ketika bersama Barca, namun lebih tinggi dari tawaran baru Barcelona sebelum ini.

Media Argentina, TyC Sports telah mendedahkan tentang apa lagi yang terkandung dalam kontrak Messi bersama Paris Saint Germain.

Mereka menyatakan yang Messi akan lebih mengutamakan skuad kebangsaan Argentina jika ada perlawanan rasmi atau perlawanan persahabatan berbanding kelab.

Selepas kejayaan beliau membantu skuad kebangsaan Argentina untuk memenangi gelaran Copa America pada musim panas lalu, Messi komited untuk terus beri yang terbaik pada negaranya.

Beliau mahu terlibat dengan skuad Piala Dunia dan tentunya Messi akan sedaya upaya untuk membantu skuad kebangsaan Argentina menjulang Piala Dunia tahun hadapan.

Beliau juga menetapkan syarat yang PSG sama sekali tidak boleh menghalangnya jika beliau dipanggil untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Argentina.

Tambahan lagi, kedua-dua pihak telah bersetuju yang staff dari skuad kebangsaan Argentina akan dapat kebenaran untuk menggunakan segala kemudahan yang ada pada PSG.

Messi akan menjadi pemain Argentina keempat yang ada dalam skuad Paris Saint Germain ketika ini bersama Angel Di Maria, Leandro Paredes dan Mauro Icardi.

Sumber: SB

BACA:  Pengurus Al Nassr Bergurau Biawak, Pilihan Utamanya Messi Bukan Ronaldo