JDT Juara Piala FA 2022

Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengesahkan mereka selaku juara Piala FA 2022 selepas mudah menundukkan Terengganu FC yang tidak berapa mahu melawan dengan jaringan 3-1.

Saingan Piala FA telah kembali semula pada tahun ini selepas kejohanan itu diisytiharkan ‘batal dan tidak sah’ kerana pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada tahun 2020.

Pada tahun 2021 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan bahawa Piala FA tiada dalam perancangan kalendar Liga Malaysia musim 2021.

Kini Piala FA yang menyediakan slot ke ke Liga Juara-Juara AFC atau Piala AFC musim berikutnya kepada pasukan juara kembali semula memeriahkan liga Malaysia.

JDT dan Terengganu berentap pada aksi perlawanan akhir yang dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil sama tarikh dengan konsert Dewa 19 berlangsung di kawasan yang berhampiran.

Perlawanan pada awalnya dijangka sengit kerana Terengganu dilihat pasukan yang mampu memberi cabaran kepada JDT yang memburu kejuaraan kedua selepas pertama kali meraihnya pada 2016.

Terengganu pula mengejar kejuaraan ketiga selepas kali terakhir menjuarai dan mara ke final Piala FA adalah pada tahun 2011 selepas menewaskan Kelantan melalui jaringan sendiri Daud Su.

JDT lebih dominan sejak awal permainan dan membuatkan Terengganu bergelut ketika memegang bola mahukan tanpa bola dengan melakukan pressing awal di final third.

JDT mendapat peluang pertama menerusi percubaan Arif Aiman yang terkena tiang. Dia dibiarkan bebas di bahagian sayap.

Kedua dua pasukan kemudian cuba menembusi kubu pertahanan antara satu sama lain. Namun bergelut dengan kreativiti.

Selepas 20 minit aksi, Kipre mendapat peluang keemasan menerusi peluang 1 lawan 1 namun tidak dapat disudahkan dengan sebaiknya.

Pada minit ke-36, Arif Aiman akhirnya meletakkan JDT di hadapan menerusi satu potongan ke dalam dan melepaskan percubaan lencong aras rendah.

Minit ke-38, Lowry mendapat peluang free header. Namun percubaannya sedikit tersasar dengan penjaga gol Terengganu sudah terpaku tidak dapat berbuat apa apa daripada situasi point blank header.

Separuh masa pertama berakhir dengan JDT mendahului Terengganu 1 gol di hadapan.

Bermula separuh masa kedua, Fernando Forestierri memiliki peluang untuk melepaskan rembatan pada awal 3 minit pertama. Namun dia terlalu banyak berpusing dan kehilangan ruang yang dia mahukan.

Pada awal 15 minit separuh masa kedua, Terengganu banyak melakukan hantaran lemah dan tak tepat.

Ketika perlawanan melepasi tempoh sejam perlawanan, JDT memiliki peluang terbaik apabila Forestieri menyungkit bola untuk melepaskan Bergson yang keseorangan.

Dalam situasi 1 lawan 1, penjaga gol Terengganu, Rahadiazli telah menjatuhkan penyerang itu. Pengadil tiada pilihan selain memberikan penalti buat JDT.

Bergson sendiri yang mengambilnya dan tenang menyudahkannya untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Pada minit ke-76, Terengganu merapatkan jurang gol yang berpunca daripada kesilapan pertahanan JDT dan kemudian Farizal Marlias gagal menyelamatkan bola.

Kipre merembat bola dan terkena pipi Farizal terus masuk.

Ketika Terengganu berkira kira mahu menjadikan gol itu pembakar semangat, penjaga gol mereka Rahadiazli sekali lagi melakukan goalkeeping error. Kali ini dia cuba sweeping bola di tengah padang dalam keadaan ada 2 pertahanan yang berada di kedudukan last man.

Rahadiazli gagal dan bola dirampas Sumareh.

Sumareh yang hampir kehilangan bola berjaya menolak kepada Bergson yang dengan licik melakukan lob. Gol yang cantik dan berbaloi untuk mendapat kad kuning kerana meraikannya.

Dengan perlawanan berbaki 12 dan ketinggalan 3-1 tiada tanda-tanda yang ditunjukkan Terengganu untuk mencipta kebangkitan apabila mempamerkan permainan yang semakin longlai dan tidak bertenaga.

Terengganu terus mati kutu hingga ke wisel penamat untuk membolehkan JDT meraih kejuaraan kedua mereka menyamai pencapaian yang dilakukan oleh Perak, Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu sendiri sejak Piala FA wujud pada tahun 1990.

Selangor dan Kedah merupakan pemenang paling banyak masing-masing dengan 5 gelaran, manakala Sri Pahang dan KL City pula meraih 3 gelaran.

Dengan prestasi semasa dan mendatang, JDT pasti dapat memotong dan menjadi pasukan memenangi Piala FA terbanyak dalam tempoh beberapa tahun lagi.

BACA:  Gol Kedua Perak vs JDT Tidak Sah?