Jendela Perpindahan Januari di La Liga: Tenang Tanpa Kejutan Besar

Pasaran perpindahan Januari di La Liga kali ini berlangsung dengan tenang tanpa banyak perpindahan besar. Perbelanjaan kelab-kelab Sepanyol jauh lebih rendah berbanding liga utama lain. Real Betis menjadi kelab paling aktif melalui pembelian Cucho Hernandez dari Columbus Crew.

Betis Buat Kejutan di Saat Akhir

Perpindahan terbesar di La Liga berlaku tepat sebelum tarikh akhir apabila Real Betis menandatangani Cucho Hernandez dengan harga €13 juta. Kehadiran penyerang Colombia itu akan disambut baik di Estadio Benito Villamarin tetapi pada masa yang sama, kehilangan Hernandez pasti dirasai oleh Columbus Crew di MLS.

Perpindahan itu tidak akan tersenarai dalam 25 perpindahan terbesar pada bulan ini di liga utama Eropah. Ini menunjukkan betapa perlahan dan sederhana jendela perpindahan Januari di La Liga berbanding liga lain.

Perbelanjaan Kelab La Liga Rendah

Real Betis menjadi kelab paling banyak berbelanja. Jumlah keseluruhan perbelanjaan 20 kelab di La Liga adalah €26.1 juta. Berdasarkan data Transfermarkt, angka itu hanya meletakkan La Liga di tempat ke-16 dalam senarai liga paling aktif. La Liga berada di bawah divisyen kedua Bundesliga Jerman dan jauh di belakang liga Belgium, Belanda, Turki dan Rusia.

Sebagai perbandingan, secara keseluruhan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) membelanjakan £403 juta. Manchester City sahaja menghabiskan £178 juta dalam tempoh sebulan. Malah Ipswich Town, kelab yang sedang berjuang mengelak penyingkiran ke Championship, membelanjakan jumlah yang hampir sama dengan kesemja kelab di La Liga hanya untuk mendapatkan Jaden Philogene (€23.7 juta).

Barcelona Berdepan Isu Pendaftaran Pemain

Jendela perpindahan di Sepanyol bermula dengan kontroversi apabila La Liga menarik balik pendaftaran Dani Olmo dari Barcelona. Namun kelab Catalan itu berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk membolehkan Olmo terus bermain sementara isunya diselesaikan.

Sementara itu di ibu pejabat La Liga di Madrid, media dijemput untuk menyaksikan saat akhir perpindahan tetapi suasana di sana tidak pernah sibuk. Walaupun beberapa wartawan mengharapkan kejutan saat akhir namun kebanyakan orang bersetuju bahawa tiada perpindahan besar akan berlaku.

Di tingkat atas, pegawai La Liga sibuk memastikan kelab-kelab memenuhi had gaji sebelum mendaftarkan pemain baharu. Beberapa perpindahan menarik tetap berlaku pada saat akhir termasuk:

  • Girona meminjam Arthur Melo dari Juventus.
  • Las Palmas mendapatkan Stefan Bajcetic dari Liverpool secara pinjaman.
  • Villarreal mengambil Tajon Buchanan dari Juventus secara pinjaman.
  • Getafe menandatangani Juan Bernat secara percuma selepas Villarreal membatalkan pinjamannya dari PSG.

Kelab Besar La Liga Tidak Berbelanja Besar

Walaupun perpindahan Januari agak perlahan, kelab-kelab La Liga masih mempunyai wang. Pada musim panas lalu, mereka telah membelanjakan €557.19 juta, menjadikan La Liga liga ke-5 paling banyak berbelanja di dunia. Namun jumlah itu masih jauh di belakang Liga Perdana Inggeris yang membelanjakan €2.33 bilion.

Real Madrid, Barcelona dan Atletico Madrid tidak banyak berbelanja pada Januari lepas. Barcelona menumpukan kepada memperbaharui kontrak Ronald Araujo, Pedri dan Gavi. Barceloan juga sempat berbincang dengan ejen Marcus Rashford, tetapi akhirnya pemain itu menyertai Aston Villa secara pinjaman.

Di Real Madrid, walaupun kecederaan Antonio Rudiger menyebabkan Carlo Ancelotti kekurangan pemain pertahanan tengah, kelab itu tetap tidak membuat sebarang pembelian. Mereka hanya bercakap dengan Liverpool mengenai Trent Alexander-Arnold tetapi ia lebih kepada perancangan jangka panjang untuk mendapatkannya secara percuma pada musim panas nanti.

Atletico Madrid juga tenang dalam pasaran kali ini selepas membelanjakan €200 juta pada musim panas lalu.

Real Betis Paling Aktif, Sevilla dan Valencia Juga Berbelanja

Walaupun dalam situasi kewangan yang rapuh, Real Betis menjadi kelab paling aktif dengan pembelian Cucho Hernandez dan meminham Antony dari Manchester United. Betis menanggung sebahagian besar gaji pemain Brazil itu.

Namun, Betis juga menjual pemain muda Assane Diao ke Como di Serie A dengan harga €12 juta dan meminjamkan beberapa pemainnya untuk mengimbangi kewangan mereka.

Sevilla turut membuat beberapa pembelian, termasuk:

  • Akor Adams (penyerang Nigeria) dari Montpellier – €5.5 juta.
  • Ruben Vargas (penyerang Switzerland) dari Augsburg – €2.5 juta.

Untuk memastikan mereka tidak melanggar had gaji, Sevilla menjual Gonzalo Montiel ke River Plate dan meminjamkan Kelechi Iheanacho ke Middlesbrough. Middlesbrough membayar sepenuhnya gaji Iheanacho sepanjang musim ini.

Valencia juga aktif dalam pasaran kali ini kerana mereka berada di kedudukan tercorot. Pemilik kelab, Peter Lim meluluskan 3 pemain baharu secara pinjaman:

  • Umar Sadiq dari Real Sociedad.
  • Max Aarons dari Bournemouth.
  • Ivan Jaime dari Porto.

Perpindahan Mengejut: Juma Bah ke Manchester City

Salah satu perpindahan paling menarik melibatkan pemain muda Juma Bah. Bah berpindah dari Valladolid ke Manchester City dengan harga €6 juta. Lebih mengejutkan, pemain berusia 18 tahun itu sendiri membayar klausa pelepasannya untuk menebus kontraknya dan berhijrah ke England. Valladolid kecewa kerana mereka berharap untuk mendapatkan harga lebih tinggi bagi pemain berbakat dari Sierra Leone itu.

Mengapa Kelab La Liga Tidak Berbelanja Besar?

Walaupun beberapa pemain terkenal seperti Marco Asensio (PSG), Joao Felix dan Alvaro Morata dikatakan bakal berpindah, tiada kelab La Liga yang mampu menampung gaji tinggi mereka.

Pegawai kelab Sepanyol mengakui betapa sukarnya bersaing dengan kelab EPL walaupun dengan pasukan seperti Brighton dan Bournemouth. La Liga juga mempunyai sistem had gaji yang ketat menyebabkan banyak kelab tidak boleh membeli pemain baharu tanpa menjual pemain terlebih dahulu.

Presiden La Liga, Javier Tebas mempertahankan sistem ketat itu dengan alasan pengurusan kewangan yang berhemah sangat penting untuk kejayaan jangka panjang. Kejayaan kelab Sepanyol dalam pertandingan Eropah seperti Liga Juara-Juara dan Liga Europa membuktikan mereka masih mampu bersaing di peringkat tertinggi walaupun tidak berbelanja besar.

Kesimpulan

Walaupun jendela perpindahan Januari kali ini agak sunyi, masih ada kemungkinan drama akan berlaku dalam beberapa minggu akan datang terutama melibatkan kes Dani Olmo. Namun buat masa ini, kelab-kelab La Liga memilih untuk lebih berjimat, membuktikan bahawa kejayaan dalam bola sepak tidak semestinya bergantung kepada perbelanjaan besar.

Artikel asal dari Dermot Corringan

BACA:  Barca Dan Man Utd Berkongsi Jaringan Dalam Perlawanan Epik