Jendela Perpindahan Manchester United: Ditenggelami Oleh Isu Rashford

Marcus Rashford Tinggalkan Manchester United: Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

1. Rashford Tinggalkan Manchester United Selepas 20 Tahun

Buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun, Marcus Rashford bukan lagi pemain Manchester United. Pemain berusia 27 tahun itu telah dipinjamkan ke Aston Villa dalam satu perpindahan yang diumumkan pada minggu lepas. Hubungan panjang antara Rashford dan United akhirnya terhenti.

Keputusan ini dibuat selepas pengurus Ruben Amorim menggugurkan Rashford daripada skuad untuk perlawanan menentang Manchester City pada Disember lepas. Amorim sebelum ini menegaskan Rashford memerlukan permulaan baharu sama ada dengan memperbaiki prestasinay di Carrington atau berpindah ke kelab lain.

2. Krisis Prestasi dan Disiplin

Segalanya bermula selepas Amorim mendengar khabar Rashford telah keluar bersosial di Manchester selepas 48 jam kelab itu mencatat kemenangan 4-0 ke atas Everton pada 1 Disember. Walaupun Rashford menafikan perkara itu, Amorim tetap mengambil tindakan tegas dengan meletakkannya di bangku simpanan ketika menentang Arsenal.

Rashford kemudian langsung tidak diturunkan ketika United tewas kepada Nottingham Forest. Penampilan terakhirnya bersama United adalah pada 12 Disember. Dia digunakan dalam aksi Liga Europa menentang Viktoria Plzen. Dia dikeluarkan selepas hanya 56 minit bermain.

Menurut sumber dalaman, Rashford tidak menunjukkan prestasi baik dalam sesi latihan sebelum perlawanan derby Manchester. Tindakan disiplin Amorim diteruskan apabila Rashford tidak lagi dipanggil untuk berada dalam skuad utama selepas itu.

3. United Bersikap Tegas, Rashford Mahu Cabaran Baru

Rakan sepasukan Rashford memahami keputusan Amorim, begitu juga pihak pengurusan United yang menyokong tindakan pengurus itu.

Sebelum Rashford secara terbuka menyatakan hasratnya untuk mencari cabaran baharu, United sudah pun mencari pilihan untuk melepaskannya pada jendela perpindahan Januari. Gaji tinggi Rashford yang sekitar £325,000 seminggu menjadi halangan besar dalam mencari kelab baru.

United cuba memujuk Rashford untuk menerima potongan gaji bagi memudahkan perpindahannya tetapi pemain itu mahu kontraknya dihormati. Akhirnya Aston Villa bersetuju untuk membayar 75% daripada gajinya. Bayaran itu akan meningkat kepada 90% berdasarkan prestasi semasanya. United masih perlu membayar baki gajinya tetapi tiada yuran pinjaman dikenakan. Villa juga mempunyai pilihan untuk membeli Rashford secara tetap dengan harga £40 juta pada musim panas nanti.

4. Pilihan Perpindahan dan Keputusan Akhir

Sebelum Rashford memilih Aston Villa, beberapa kelab lain turut menunjukkan minat termasuk dari Borussia Dortmund, Juventus dan AC Milan. Pelbagai faktor telah menyukarkan perpindahan tersebut dari berlaku.

Galatasaray adalah satu lagi pilihan dicadangkan oleh United kerana kelab itu sanggup menawarkan bayaran lebih tinggi tetapi Rashford menolak tawaran tersebut. Barcelona juga merupakan destinasi pilihan utamanya namun isu kewangan membuatkan perpindahan itu tidak dapat direalisasikan.

Apabila pilihan dari luar negara semakin berkurang, Rashford akhirnya mempertimbangkan untuk kekal dalam Liga Perdana Inggeris. Aston Villa muncul sebagai pilihan mengejutkan apabila pengurus kelab itu, Unai Emery secara peribadi meminta kelabnya mendapatkan Rashford. Emery percaya pemain itu masih boleh mencapai tahap terbaiknya.

5. Apa Kesan Perpindahan Ini kepada Manchester United?

Dari segi prestasi, pemergian Rashford tidak memberi kesan besar dalam jangka pendek kerana dia sudah tidak beraksi sejak 13 perlawanan lepas. Dari sudut lain,kelab telah melepaskan seorang pemain yang telah menjaringkan 138 gol sepanjang kariernya tanpa mendapatkan pengganti.

Keputusan ini mencetuskan kritikan daripada peminat pada hari terakhir jendela perpindahan lebih-lebih lagi ketika United berada di tangga ke-13 liga selepas tewas 11 dari 24 perlawanan.

Untuk jangka panjang, United mahu membina semula skuadnya dengan melepaskan pemain yang tidak sesuai dengan budaya kelab di bawah Amorim. Perancangan mereka adalah untuk merekrut penyerang utama pada musim panas akan datang.

6. United Fokus pada Penjimatan Wang dan Penggunaan Pemain Muda

Perpindahan Januari United lebih tertumpu pada penjimatan kos dan pembangunan bakat muda. Mereka berjaya mendapatkan Patrick Dorgu sebagai pemain bek kiri dengan bayaran sekitar £33.2 juta. Dorgu, yang berusia 20 tahun menerima gaji lebih rendah berbanding pemain-pemain United sebelum ini. Ia menandakan perubahan pendekatan kelab.

Selain itu, United juga menandatangani Ayden Heaven dari Arsenal sebagai pemain pertahanan tengah muda. United gagal mendapatkan Alphonso Davies dari Bayern Munich kerana gajinya terlalu tinggi dan perlu bersaing dengan Real Madrid.

Antony juga meninggalkan United ke Real Betis secara pinjaman. Betis akan menanggung 84% dari gajinya. Beberapa pemain lain seperti Tyrell Malacia hampir berpindah ke Benfica dan PSV tetapi perjanjian itu gagal diselesaikan.

7. Cabaran Masa Depan Manchester United

Casemiro kekal di United walaupun terdapat spekulasi perpindahannya ke Liga Pro Saudi. Pemain berusia 32 tahun itu jarang diturunkan dan hanya mempunyai 1 tahun baki kontrak. United dalam kebarangkalian besar tidak akan melanjutkan kontraknya.

United juga terbuka untuk menjual pemain seperti Kobbie Mainoo dan Alejandro Garnacho jika kelab itu perlu untuk menstabilkan kewangannya. Garnacho menarik minat Napoli dan Chelsea tetapi United menolak tawaran £40 juta dari Napoli.

Dalam kes Rashford, dia bukan satu-satunya pemain yang digugurkan daripada skuad perlawanan derby Manchester. Garnacho turut mengalami situasi sama tetapi berjaya membuktikan dirinya dan kembali ke dalam pasukan. Rashford pula tidak berjaya meyakinkan Amorim dan kini perlu membina semula kariernya jauh dari kelab yang pernah menjadi rumahnya selama 20 tahun.

Baca Juga

Baca Juga