Hermann Rorschach ialah seorang ahli psikoanalisis terkenal dari Switzerland. Dia mungkin bukan peminat bola sepak. Dengan jadual yang sibuk sebagai ahli akademik dan ketua hospital psikiatri, sukar untuk membayangkan dia mempunyai masa untuk menonton perlawanan FC Zurich.
Rorschach terkenal dengan ujian dakwatnya di mana orang diminta untuk mentafsir bentuk abstrak. Sebenarnya tiada jawapan yang betul, semuanya bergantung kepada pandangan individu.
Apa kaitannya dengan Joao Felix?
Mudah saja. Pemain ini seperti ujian dakwat Rorschach. Ia bergantung kepada bagaimana orang melihatnya. Ada melihatmua sebagai pemain berbakat yang belum mendapat peluang terbaik, ada pula yang fikir dia sekadar pemain biasa yang terlalu dibesar-besarkan.
Karier Felix: Perjalanan yang Tidak Menentu
Joao Felix baru saja menyertai AC Milan secara pinjaman dari Chelsea. Ini adalah kelab keempatnya dalam 4 musim. Sebelum ini dia bermain untuk Atletico Madrid dan Barcelona. Dalam tempoh tersebut, dia telah:
✅ Dipinjamkan ke Chelsea tetapi tidak memberi impak besar.
✅ Ditandatangani Chelsea secara tetap tetapi masih gagal menyerlah.
✅ Kini dipinjamkan ke AC Milan.
Pelik, kan? Pemain ini dibeli dengan harga mahal tetapi seolah-olah tidak ada tempat yang sesuai untuknya. Ketika di Portugal, dia pernah dibandingkan dengan Johan Cruyff tetapi kini dia seperti pemain yang tidak dapat mencapai potensinya.
Jadi, soalan utama: Adakah Felix benar-benar berbakat atau sekadar satu gimik dalam bola sepak moden?
Bakat Besar atau Sekadar Nama Besar?
Ramai yang skeptikal. Mereka melihat jumlah wang yang dibelanjakan untuknya – €178 juta jumlah yuran perpindahan tetapi hanya mempunyai 37 gol liga dalam tempoh 5 setengah musim. Rasanya ia tidak berbaloi.
Pada 2021, Roy Keane pernah menggelarnya “scammer“. Ketika itu ramai merasakan ianya keterlaluan tetapi sekarang pandangan itu semakin diterima.
Ada teori yang mengatakan Felix bukanlah pemain berbakat yang gagal tetapi dia mungkin tidak pernah sehebat yang orang sangkakan. Peningkatan mendadaknya adalah bukti bagaimana bola sepak moden lebih dikuasai oleh wang berbanding pembangunan pemain.
Contohnya pada 2019, Atletico Madrid membayar €126 juta kepada Benfica untuk mendapatkan Felix, walaupun dia baru bermain satu musim penuh sebagai pemain profesional. Mungkin lebih baik dia kekal di Portugal lebih lama tetapi dalam dunia bola sepak sekarang wang yang menentukan segalanya.
Dari Atletico ke Chelsea ke Milan: Ke Mana Halanya?
Sejak berpindah ke Atletico, Felix seperti tidak dapat mencari tempat yang sesuai. Gaya permainan semula jadinya tidak sesuai dengan sistem Diego Simeone yang lebih agresif.
Kemudian dia dipinjamkan ke Barcelona, kelab yang diimpikannya sejak kecil. Dia bermain dengan baik tetapi masalah kewangan kelab menyebabkan perpindahan.
Di Chelsea, dia menghadapi pesaing seperti Cole Palmer yang kini menjadi pemain utama. Situasi membuatkan Felix semakin terpinggir.
Lebih daripada itu, perpindahan besarnya ke Atletico telah menjadikannya pemain dengan gaji tinggi. Ini menyukarkan kelab sederhana untuk membawanya masuk seterusnya memberikannya lebih banyak peluang bermain. Dahulu, mungkin kelab seperti Villarreal atau Udinese boleh membina pasukan di sekeliling pemain seperti Felix tetapi kini bola sepak sudah berubah.
Pemain Berbakat yang Terperangkap dalam Zaman yang Salah?
Sesetengah orang melihat Felix sebagai pemain biasa yang bernasib baik mendapat gaji tinggi. Tetapi ada juga yang percaya dia adalah bakat istimewa yang belum mendapat peluang baik.
Felix bukan pemain yang agresif atau rajin bertahan. Dia juga bukan pemain yang akan berlari ke seluruh padang untuk mengejar bola. Tetapi adakah ini penting?
Bayangkan jika Felix bermain di Serie A pada tahun 1990-an. Dia memakai jersi nombor 10, but putih dan stoking separuh terlondeh. Dia seperti Rui Costa, Roberto Mancini atau Francesco Totti – pemain yang tidak perlu bertahan tetapi hanya perlu mencipta magis di atas padang.
Namun, dalam bola sepak moden, pemain perlu menjadi serba boleh. Mungkin inilah sebabnya Felix kelihatan seperti pemain di zaman yang salah.
Harapan Baru di Milan?
Di Milan, Felix menunjukkan tanda-tanda positif. Dia menjaringkan gol dalam debutnya menentang Roma, satu jaringan yang menunjukkan sentuhannya yang lembut dan kreatif. Dia juga bermain selama 84 minit menentang Empoli di posisi kegemarannya iaitu di belakang penyerang utama.
Jurulatih Milan, Sergio Conceicao, memuji Felix selepas perlawanan menentang Roma:
“Dia mempunyai banyak kualiti. Kami semua mengharapkan sesuatu yang hebat daripadanya.”
Tetapi ini bukan kali pertama kita mendengar kata-kata seperti ini. Sebab itu ramai yang skeptikal.
Namun, bagi peminat setia Joao Felix, masih terdapat sedikit harapan.
Mungkin kali ini cerita Felix akan berakhir dengan kejayaan.
Artikel asal dari Jack Lang