John Terry Di Ambang Perpindahan Ke Arab Saudi

John Terry semakin hampir merasai pengalaman pertama sebagai pengurus pasukan apabila dikhabarkan bakal menyertai Al Shabab di Saudi Pro League.

Bekas pemain pertahanan Chelsea dan England berusia 42 tahun itu bersara sebagai pemain pada 2018, dan sejak daripada itu memainkan peranan sebagai jurulatih di Leicester dan Aston Villa.

Namun kini Terry ditawarkan untuk mengendalikan pasukannya sendiri dan dikatakan telah bersetuju secara lisan untuk menyertai kelab yang berpengkalan di Riyadh itu.

Menurut laporan The Sun, Terry telah dihubungi oleh Al Shabab sejak sebulan yang lalu dan ditawarkan kontrak selama dua tahun.

Bekas pemain antarabangsa England itu kembali ke Chelsea sebagai pengendali skuad akademi pada Julai, setelah bergelar pembantu jurulatih bersama Leicester pada musim lalu.

Pada masa itu Terry dilantik bersama Dean Smith dan Craig Shakespeare pada April. Tetapi prestasi teruk The Foxes sehingga menamatkan saingan di kedudukan ke-19 Premier League sebelum tersingkir menyebabkan ketiga-tiganya dilepaskan selepas itu.

Walaupun demikian Terry dilihat berjaya meraih pengalaman diperlukan dengan pengalamannya di Chelsea dan Aston Villa.

Walaupun baru sahaja dilantik sebagai jurulatih skuad akademi di Chelsea, The Blies sudah mengesahkan tidak akan menghalang Terry pergi sekiranya itulah kehendaknya.

Al Shabab tidak dilihat sebagai empat kelab terbesar di Arab Saudi, namun kelab itu tetap mempunyai impian dan cita-cita yang tinggi.

Musim ini mereka gagal memenangi kesemua lima perlawanan pertama Saudi Pro League apabila sekadar merekodkan dua keputusan seri dan tiga kekalahan.

Di pertandingan Piala Juara-Juara Arab, Al Shabab berjaya mara ke separuh akhir pertandingan tersebut sebelum disingkirkan Al Hilal.

Pada jendela perpindahan musim panas lalu, Al Shabab membawa masuk bintang Senegal, Habib Diallo yang menjaringkan 20 gol daripada 37 penampilan di Ligue 1 bersama Strasbourg pada musim lalu.

Diallo memecah nilai rekod perpindahan kelab di Al Shabab dan dijangka akan menjadi penggempur utama pasukan itu di bawah kendalian Terry.

Pihak pengurusan tertinggi Al Shabab percaya Terry memiliki kredibiliti sebagai seorang pengurus dan reputasi dimilikinya juga dilihat mampu menarik lebih ramai nama besar untuk menyertai kelab itu pada masa hadalan.

Terry turut berkemungkinan memiliki impak seperti Steven Gerrard yang berjaya memujuk Jordan Henderson, Georginio Wijnaldum, Moussa Dembele dan Jack Hendry ke Al Ettifaq.

BACA:  Jangan Campur Sukan Dengan Politik, Kerajaan UK Selar Peminat Chelsea Laung Nama Abramovich