Johnson Cemerlang, Spurs Raih Kemenangan Ketiga Berturut-turut

Tottenham Teruskan Kebangkitan, Kalahkan Ipswich 4-1

Kebangkitan Tottenham Hotspur sejak awal Februari berterusan di Portman Road apabila pasukan kendalian Ange Postecoglou menewaskan Ipswich Town yang bermain dengan penuh semangat dan kerja keras.

Kemenangan 4-1 ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut Spurs di Liga Perdana, satu peningkatan yang telah diramalkan oleh Postecoglou apabila para pemain kembali daripada kecederaan.

Brennan Johnson yang membuat penampilan pertamanya selepas sebulan tersisih akibat kecederaan betis, menjaringkan 2 gol pada babak pertama. Djed Spence dan Dejan Kulusevski pula menambah jaringan pada lewat separuh masa kedua untuk melengkapkan kemenangan.

Pengaruh Spence Semakin Meningkat

Sangat sesuai apabila Djed Spence menjadi penjaring gol ke-3 Spurs dalam perlawanan ini yang memastikan kemenangan pasukannya. Ia merupakan gol pertamanya dalam Liga Perdana

Spence sekali lagi memberikan persembahan yang mantap untuk Tottenham. Ketika pasukannya mula kelihatan gelisah, dia meluru ke bahagian kiri, bertukar hantaran dengan James Maddison sebelum percubaannya terkena Luke Woolfenden dan menerjah gawang. Kemenangan ke-3 berturut-turut dalam liga pun disahkan.

Tidak dinafikan Spence adalah pemain terbaik Spurs sejak beberapa minggu kebelakangan ini, ketika mereka mula mengubah musim mereka. Sebelum ini dia sering diletakkan di posisi bek kiri tetapi perlawanan ini, kali pertamanya dia bermula di posisi bek kanan sejak Boxing Day. Perubahan itu membolehkan Pedro Porro mendapat rehat yang diperlukan, sementara Destiny Udogie membuat penampilan pertamanya dalam tempoh 2 bulan selepas pulih daripada kecederaan hamstring.

Sebelum ini, Porro dan Udogie dianggap sebagai pilihan utama di posisi pertahanan sayap Spurs tetapi kini sukar untuk membayangkan kesebelasan utama Tottenham tanpa Spence. Keupayaannya mengawal bola dan kepantasan semula jadinya semakin terserlah dalam setiap perlawanan. Walaupun baru sahaja menembusi kesebelasan utama kira-kira 2 bulan lalu, dia kini menjadi pemain yang sangat diperlukan.

Spurs Rindukan Ketajaman Johnson

Brennan Johnson mungkin bukan pemain yang paling menonjol dalam senarai kecederaan Spurs sepanjang musim sejuk, tetapi perlawanan ini jelas menunjukkan betapa mereka merindui sentuhannya sepanjang sebulan dia diketepikan akibat kecederaan betis.

Ini adalah penampilan pertamanya sejak 12 Januari dan dia memberikan apa yang Spurs perlukan dalam separuh masa pertama yang sengit: 2 gol yang dijaringkan dengan baik.

Gol pertamanya adalah klasik Johnson, jenis jaringan yang sudah menjadi kepakarannya sejak menyertai Spurs pada 2023. Dia berlari ke far post untuk menyambut hantaran rendah Son Heung-min dari sebelah kiri. Tiada pemain Spurs lain yang sehebat Johnson dalam melakukan larian seperti ini.

Gol keduanya sekali lagi berpunca daripada aksi Son yang memecut di sebelah kiri, melepasi Ben Godfrey. Kali ini Son menghantar bola ke dalam kotak penalti dan Johnson dengan tenang melepaskan rembatan kaki kiri ke dalam gawang.

Dengan 2 gol ini, Johnson memberikan kelebihan 2-0 kepada Spurs melalui 2 serangan pertama mereka dalam perlawanan ini. Itulah ketajaman yang sering hilang dalam permainan Spurs musim ini. Walaupun permainannya secara keseluruhan mungkin tidak sehebat beberapa pemain lain, Johnson tahu bagaimana untuk menjaringkan gol. Itulah sebabnya dia kini telah menjaringkan 14 gol dalam semua pertandingan musim ini.

Tel Gagal Menyerlah di Bahagian Serangan

Pada minggu lepas terdapat perdebatan dalam kalangan penyokong Spurs mengenai prestasi Mathys Tel ketika menentang Manchester United. Dalam penampilan pertamanya, dia berjaya melepaskan 7 percubaan dan sentiasa aktif, walaupun ketajamannya masih kurang.

Namun kali ini, Tel kelihatan sukar untuk menyesuaikan diri. Sekali lagi dia diberikan tugas sebagai penyerang utama.tetapi dia gagal memberi impak. Dia jarang melakukan larian ke belakang pertahanan lawan, Son lebih kerap mengambil peranan itu. Dalam masa yang sama dia juga tidak berupaya untuk turun ke bawah dan menahan bola dengan baik. Dia kerap kehilangan penguasaan bola apabila diasak oleh Jacob Greaves.

Tel kelihatan lebih sesuai bermain bersama Dominic Solanke atau Richarlison, yang lebih berperanan sebagai penyerang utama konvensional. Namun.buat masa ini, dia diminta untuk mengisi peranan tersebut secara bersendirian dan itu bukanlah gaya permainannya.

Aksi terakhirnya dalam perlawanan ini, dia cuba mengetuai satu serangan balas tetapi hantaran yang dihantarnya kepada Dejan Kulusevski terlalu kuat dan keluar dari padang.

Jelas kelihatan bahawa Tel kekurangan keyakinan dan selepas itu dia segera digantikan dengan Dane Scarlett selepas itu.

BACA:  Siapakah Yang Dimaksudkan Wenger Sebagai 'Penguasa' Kepada Diving Dalam Bolasepak Hari Ini?