Jonathan Goldstein: “Maresca Lakukan Kerja Hebat, Dia Akan Kekal Hingga Akhir Musim”

Chelsea Beri Sokongan Penuh Kepada Enzo Maresca

Pemilik bersama Chelsea, Jonathan Goldstein menegaskan bahawa Enzo Maresca sedang “melakukan kerja yang hebat” dan akan “100%” kekal sebagai ketua jurulatih sehingga akhir musim ini.

Maresca baru sahaja dilantik pada Jun lalu dengan kontrak 5 tahun serta pilihan untuk sambung ke tahun keenam. Namun penyokong semakin kecewa dengan prestasi pasukan yang hambar, di mana Chelsea hanya menang 2 daripada 9 perlawanan terakhir di Liga Perdana Inggeris.

Ketika kekalahan 3-0 kepada Brighton & Hove Albion pada Jumaat lalu, penyokong Chelsea yang hadir di stadium melaungkan nama bekas pemilik kelab, Roman Abramovich serta menyanyikan lagu “kami mahu Chelsea kami semula.”

Goldstein yang merupakan sebahagian daripada pembelian kelab daripada Abramovich pada 2022, mengakui bahawa prestasi Chelsea kebelakangan ini tidak memuaskan. Namun, dia serta pemilik lain masih “sangat optimistik” dengan masa depan Chelsra di bawah bimbingan Maresca.

“Dia sedang melakukan kerja yang hebat,” kata Goldstein kepada Bloomberg TV.

“Chelsea memulakan musim dengan baik tetapi 6 minggu terakhir agak mencabar dalam mencari rentak yang lebih baik.

“Tetapi jelas sekali, Enzo telah melakukan tugas yang baik dalam menyatukan pasukan dan menggilap bakat pemain.”

Apabila wartawan menyatakan bahawa Chelsea kini berada di tempat ke-6 dalam Liga Perdana Inggeris, Goldstein menjawab:

“Kami sangat optimistik untuk baki musim ini dan bagaimana ia akan berkembang.”

Maresca merupakan ketua jurulatih ke-3 sejak pengambilalihan Chelsea oleh Todd Boehly dan Clearlake Capital. Sebelum ini, Graham Potter hanya bertahan selama 7 bulan manakala Mauricio Pochettino pula meninggalkan kelab selepas semusim.

Ketika ditanya sama ada Maresca akan kekal dalam jawatannya sehingga akhir musim, Goldstein memberi jaminan: “Seratus peratus.”

Chelsea akan kembali beraksi pada Sabtu ini dalam perlawanan penting menentang Aston Villa. Villa juga merupakan pasukan yang turut memburu slot ke Liga Juara-Juara.

BACA:  [VIDEO] Perang Minda Bermula, Twitter Chelsea Muat Naik Video Gerrard Tergelincir