Jordi Amat Lebih Baik Bermain di Eropah Berbanding JDT – Sekjen PSSI

Sekjen Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Yunus Nusi amat berharap untuk Jordi Amat terus kekal bermain di Eropah daripada beraksi di Malaysia dan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sekjen ini adalah singkatan kepada Sekretaris Jenderal atau dalam bahasa Melayunya adalah Setiausaha Agung.

Kenyataan daripada Setiausaha Agung PSSI ini hadir selepas Tengku Makhota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail yang juga pemilik JDT telah mengumumkan bahawa Jordi Amat akan beraksi di Liga Super Malaysia.

Kontrak Jordi Amat yang berkelana di Eropah bersama kelab Belgium, KAS Eupen telah pun tamat pada akhir musim lalu dan bebas untuk menyertai mana-mana pasukan.

“Harapan kami Jordi Amat akan terus beraksi di Eropah walaupun dipandang tinggi oleh pasukan dari Malaysia.”kata Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi.

“Sehingga kini, Jordi Amat tidak menyatakan secara rasmi bahawa dia akan bermain di kelab Malaysia.”

Jordi Amat merupakan pemain naturalisasi yang disyorkan oleh jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong untuk terus memperkasakan Timnas yang juga layak ke Piala Asia.

PSSI kini sedang dalam proses menguruskan naturalisasi Jordi Amat bersama dua lagi pemain Eropah, Sandy Walsh dan Shayne Pattynama.

“Kami telah mengingatkan Jordi Amat bahawa lebih baik dia bermain di Eropah dalam konteks masa depannya apabila dia sudah berada dalam pasukan kebangsaan Indonesia.” tambah Yunus Nusi.

Apabila proses naturalisasi bermula, Shin Tae-yong bersama Pengarah Teknikal PSSI, Indra Sjafri dan PSSI melihat Jordi Amat merupakan pemain berkelas Eropah.

Musim lalu, Jordi Amat bermain untuk KAS Eupen di peringkat teratas Liga Belgium. Pemain pertahanan berusia 30 tahun itu memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya.

“Pada pandangan Shin Tae-yong dan Indra Sjafri dan PSSI. Dia bagus kerana berada di Eropah.” Ujar Yunus Nusi lagi.

Yunus Nusi masih lagi menunggu pengumuman rasmi Jordi Amat menyertai JDT untuk menyatakan lagi pendirian bagi pihak PSSI.

“Kami akan terus berkomunikasi sehingga ada kepastian sama ada dia akan bermain di Malaysia atau tidak. Sehingga kini ia masih belum dapat dipastikan,” katanya lagi.

Jordi Amat masih membisu berhubung berita menyertai JDT. Sebilangan netizen Indonesia amat marah dan meminta PSSI menghentikan proses naturalisasi pemain Sepanyol itu.

Pendukung dan Warganet Timnas Marah

Berita perpindahan Jordi Amat ke JDT yang masih belum rasmi sudah cukup untuk membuatkan pendukung dan warganet Timnas Indonesia marah dan tuduhan paling popular sudah pasti ‘maling’ atau pencuri.

Rata-rata mereka tidak bersetuju dengan keputusan calon pemain naturalisasi skuad Garuda yang mendonia itu untuk beraksi di Liga Malaysia. Musuh bola sepak zaman berzaman.

Netizen Indonesia berpendapat karier bola sepak Jordi Amat akan merosot jika bermain di Malaysia setelah berpengkalan di Eropah sejak sekian lama.

Malah ada yang bertanggapan projek naturalisasi Jordi Amat bukan projek PSSI, tetapi sebaliknya adalah projek JDT.

Mereka mahukan Jordi Amat untuk terus kekal di Eropah, agar tidak menjejaskan prestasi pemain pertahanan itu ketika bersama skuad kebangsaan Indonesia.

Kerana pilihan Jordi Amat ke JDT, ramai yang meminta agar PSSI membatalkan sahaja proses naturalisasi Jordi Amat.

Jordi Amat dianggap hanya akan memanfaatkan pasport Indonesia yang bakal dimilikinya untuk bermain dengan kelab serba mewah dari Malaysia itu.

Anggota Eksekutif (Exco) PSSI, Hasani Abdulgani bagaimana pun berkata pihaknya tidak dapat memenuhi tuntutan netizen untuk menhentikan proses naturalisasi Jordi Amat, kecuali jika ia diminta oleh Ketua Jurulatih, Shin Tae-yong.

Menurut PSSI sebelum ini proses naturalisasi Jordi Amat telah hampir selesai dan dipercayai akan dibenarkan beraksi bersama skuad kebangsaan Indonesia pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada September nanti.

“Kami mengurus naturalisasi itu karena ada permintaan dari coach Shin Tae-yong.” kata Hasani kepada Bola.com.

“Jadi, kalau coach Shin Tae-yong kata tidak perlu [Jordi Amat] dan harus diberhentikan [proses naturalisasi], [maka] kami berhentikan proses Jordi Amat.”

“Tapi, sampai hari ini, Shin Tae-yong tidak mengadu tentang masalah itu. Jadi kalau netizen tidak bersetuju [Jordi Amat ke JDT], saya tidak berhak ikut campur kerana itu hak penyokong.” jelasnya.

Mengenai permintaan pendukung dan netizen yang mahukan proses naturalisasi Jordi Amat dihentikan hanya akan terjadi jika Shin Tae-Yong yang tidak lagi mahukan Jordi Amat namun Shin Tae-Yong setakat ini masih berdiam diri.

“Saya tidak mau menyangkal netizen. Itu hak netizen. Tapi, kalau konteksnya mereka minta naturalisasi Jordi Amat dihentikan, yang boleh menghentikannya kalau ada permintaan dari Shin Tae-yong.”

“Jika netizen minta tangguh/hentikan naturalisasi Jordi Amat, saya tidak boleh. Saya bergerak berdasarkan permintaan dari jurulatih.” tambahnya lagi.

Keributan terjadi hanya kerana Jordi Amat mahu berkelana di Malaysia dan diusia 30 tahun mula memasuki usia awak senja bagi pemain bola sepak untuk saingan tertinggi Eropah.

Siapa Jordi Amat?

Jordi Amat menyertai akademi dan sistem pembangunan pemain muda Espanyol pada umur 7 tahun pada tahun 1999 sehingga 2009.

Pada usia 18 tahun, Jordi Amat telah bermain perlawanan La Liga pertama bersama skuad utama dan menamatkan musim pertama dengan 26 penampilan di La Liga dan Espanyol berada ditangga kelapan.

Jordi Amat dipinjamkan ke Rayo Vellacona pada musim 2012/13 dan menjadi pilihan untuk kesebelasan utama sepanjang musim.

Pada Jun 2013 Jordi Amat menyertai Swansea dan melanjut kontrak selama setahun pada 2015 untuk terus kekal bersama Swansea sehingga 2018 dan pernah dipinjamkan ke Real Betis selama semusim.

Jordi Amat telah kembali ke Rayo Vellecano pada 2018 dan dipinjam ke K.A.S Eupen selama setahun sebelum diikat secara tetap pada penghujung musim.

Bersama Eupen dari 2019 kini sudah tiba penamatnya dan Jordi Amat mahu meneruskan kariernya bersama JDT.

Jordi Amat pernah mewakili pasukan kebangsaan Sepanyol bawah 16, 17, 18, 19, 20 dan 21 dan pernah membuat dua penampilan bersama skuad kebangsaan Catalonia.

BACA:  Netizen Indonesia Desak Kerajaan Batalkan Naturalisasi Jordi Amat Scam Sertai JDT