Jose Mourinho Berang Dengan Layanan England Terhadap Phil Jones

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho tidak gembira dengan layanan England terhadapa Phil Jones, dan mendakwa Jones telah menerima 6 suntikan ubat tahan sakit untuk bermain ketika perlawanan England menentang Jerman tempoh hari.

Mourinho telah mengesahkan Jones bakal terlepas perlawanan menentang Newcastle hujung minggu ini, selepas mengalami kecederaan lama yang dialaminya pada bahagian betis kembali berulang dan memaksa beliau dikeluarkan pada minit ke-25 dalam perlawanan persahabatan England-Jerman yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Pemain pertahanan Manchester United ini telah bermain dalam keadaan sakit ketika menentang Chelsea dan Tottenham sebelum ini, tetapi Mourinho jelas terkejut dengan keputusan Gareth Southgate dan pasukan perubatan England untuk membenarkan Jones bermain walaupun sedar pemain ini masih belum sembuh sepenuhnya,

Dalam perlawanan persahabatan lalu, beberapa pemain utama Englang terpaksa menarik diri dari menyertai skuad England untuk pertemuan menentang Brazil dan Jerman kerana faktor kecederaan.

6 suntikan untuk Jones

Keadaan ini memaksa pengurus England memanggil beberapa pemain baru dan muda dalam skuadnya untuk menghadapi perlawanan tersebut. Skuad muda England telah beraksi baik dalam kedua-dua perlawanan persahabatan walaupun gagal meraih kemenangan dan menjaringkan sebarang gol.

Penarikan diri pemain utama England telah menimbulkan kembali konflik antara kelab dan negara. Mourinho dipetik berkata kepada pemberita menjelang perlawanan menentang Newcastle:

“Saya sudah menjadi pengurus sejak tahun 2000, dan sepanjang 17 tahun ini, saya tidak pernah mempunyai pemain yang menerima suntikan tahan sakit untuk bermain dalam perlawanan persahabatan. Tidak pernah. Saya bukan seorang malaikat kerana saya juga pernah mempunyai pemain yang terpaksa menerima suntikan bagi membolehkan mereka bermain dalam perlawanan yang penting.”

“Untuk menerima 6 suntikan tahan sakit bagi perlawanan persahabatan, saya tidak pernah bertemu situasi sedemikian rupa dan Jones terpaksa mengharunginya. Jones telah disuntik sebelum perlawanan berlangsung, dan selepas 15 minit, beliau terpaksa dikeluarkan dan terpaksa diketepikan untuk perlawanan kami minggu ini.”

6 suntikan terlalu mustahil

Sumber terdekat dengan kem pasukan kebangsaan England menegaskan Jones telah menerima suntikan yang selari dengan amalan perubatan tetapi mengesahkan Jones ada menerima beberapa suntikan sebelum perlawanan bermula. Mourinho turut ditanya adakah beliau sudah berhubung dengan Southgate untuk membincangkan situasi ini dan beliau membalas:

“Tidak, saya hanya memberitahu fakta mengenai apa yang telah berlaku. Beliau telah disuntik pada tengahari hari perlawanan, dan Jones tidak berasa selesa ketika melakukan sesi memanaskan badan. Di antara sesi memanaskan badan dan sebelum perlawanan bermula, Jones telah menerima 5 lagi suntikan untuk membolehkan beliau bermain dalam perlawanan persahabatan.”

Walaupun kecewa dengan kecederaan yang dialami Jones, Mourinho mungkin boleh menarik sedikit nafas lega kerana dua pemain bintangnya, Paul Pogba dan Zlatan Ibrahimovic sudah boleh diturunkan bermain dan Pogba khususnya hampir pasti diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Newcastle.

Baca Juga

Baca Juga