Jose Mourinho Kenyang Makan Duit Pampasan RM489 Juta Sejak 2007

Jose Mourinho secara rasminya telah dilantik sebagai pengurus Tottenham Hotspur menggantikan Mauricio Pachettino yang telah dipecat tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal kepada bekas pemainnya.

Kepulangan Mourinho ke Premier League sememangnya menjadi satu berita baik buat media kerana pengurus berbangsa Portugal ini sangat lantang dan celupar mulutnya mengalahkan Kak Bedah.

Seperti biasa pada musim pertama, Mourinho akan lebih sopan dan beradab dalam berbicara dan tidak lagi menunjukkan belang sebenar beliau dengan ayat-ayat provokasi.

Pada 20 November 2019 Mourinho dilantik dan pada 19 April 2021 Mourinho telah dipecat dan tidak sempat masuk musim ketiga untuk memulakan sindrom musim ketiga.

“Kelab hari ini mengumumkan bahawa Jose Mourinho dan staf kejurulatihan beliau, Joao Sacramento, Nuno Santos, Carlos Lalin dan Giovanni Cerra telah dilucutkan dari tugasan mereka.”

“Jose dan staf kejurulatihan beliau telah bersama kami melalui saat yang getir dan mencabar sebagai sebuah kelab. Jose adalah seorang profesional sejati yang menunjukkan ketahanan yang luar biasa selama wabak ini.”

“Secara peribadi saya sangat senang bekerja dengan dia dan menyesal bahawa semuanya tidak berjalan lancar seperti yang kita berdua bayangkan. Dia akan sentiasa diterima di sini dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada dia dan staf pelatihnya atas sumbangan mereka.”

“Ryan Mason akan mengabil alih latihan pasukan utama hari ini dan kemas kini akan menyusul”

Itulah kata-kata akhir Spurs kepada Mourinho dan pemecatan yang terlalu awal ini akan memberi pampasan yang lumayan buat Mourinho. Kena pecat ni dah macam jadi kerja pulak.

Topik perbincangan kita kali ini berapakah pendapatan diraih Mourinho sejak menjadi pengurus Chelsea hingga kini dan berapakah pampasan yang dinikmati selepas dipecat?

Chelsea – 2004

Pada tahun 2004, Jose Mourinho mula memperkenalkan dirinya di Premier League bersama Chelsea dan melaungkan bahawa beliau adalah ‘The Special One’

Menurut laporan CNN gaji tahunan Mourinho pada ketika itu adalah £5 juta (+-RM25 juta nilai sekarang) setahun. Namun jodoh beliau bersama Chelsea tidak lama.

Selepas mengecap pelbagai kegemilangan dan membawa Chelsea di mata dunia, pada tahun ke-3 Mourinho mula tidak sebulu dengan Roman Abramovich dan mengambil jalan perpisahan.

Selepas 10 tahun pemecatan beliau, James Whaling dari The Mirror mendedahkan Chelsea telah membayar pampasan sebanyak £23.1 juta kepada Mourinho dan tim kejurulatihan beliau.

Trofi

Premier League: 2004–05, 2005–06
FA Cup: 2006–07
Football League Cup: 2004–05, 2006–07
FA Community Shield: 2005

Inter Milan – 2008

Pada tahun 2008 Mourinho meneruskan kerjayanya bersama Inter Milan menggantikan Roberto Mancinic dan selama dua tahun Mourinho telah meraih pelbagai kejayaan.

Mourinho membawa Inter Milan meraih treble pada musim 2009/10 dengan menjurai Serie A, Coppa Italia dan UEFA Champions League kejayaan ini menarik minat Real Madrid.

Di Inter Milan Mourinho menerima gaji £8.3 juta setahun dan menjadi manusia paling tinggi menerima bayaran dalam sejarah bola sepak.

Trofi

Serie A: 2008–09, 2009–10
Coppa Italia: 2009–10
Supercoppa Italiana: 2008
UEFA Champions League: 2009–10

Real Madrid – 2010

Pada May 2010, Mourinho telah dilantik sebagai pengurus Real Madrid dengan kontrak selama 4 tahun menggantikan Manuel Pellegrini dan menjadi pengurus ke-11 Real Madrid dalam tempo 7 tahun.

Pada 2013 selepas setahun diberikan lanjutan kontrak sehingga 2016 Mourinho meninggalkan Los Blancos dengan ‘mutual agreement’ atau secara suka sama suka dan tidak melibatkan pampasan.

Kalau dapat pampasan sedap ni ada 3 tahun lagi kontrak.

Trofi

La Liga: 2011–12
Copa del Rey: 2010–11
Supercopa de España: 2012

Kembali Ke Chelsea – 2013

Mourinho membuat kepulangan mengejut ke Chelsea buat kali kedua dengan kontrak selama 4 tahun dan kali ini menurut laporan Guardian, Mourinho menerima gaji sebanyak £8.5 juta setahun.

The Special One masih tidak hilang sentuhannya dan membawa Chelsea kembali bergelar juara Premier League pda musim 2014/15 namun 7 bulan selepas itu beliau dipecat.

Dari pemecatan ini, Mourinho dilaporkan menerima pampasan sebanyak £8.3 juta sahaja dan sekali bayar.

Trofi

Premier League: 2014–15
Football League Cup: 2014–15

Manchester United – 2016

Satu keputusan yang amat mengejutkan apabila Jose Mourinho menerima tawaran Manchester United bagi menggantikan Louis Van Gaal yang meneruskan kesenduan ke Old Trafford.

USA Today melaporkan bahawa Jose Mourinho menerima bayaran sebanyak £12 juta setahun daripada Setan Merah dan ini tidak termasuk dengan pendapatan diperoleh dari penajaan.

Namun seperti biasa, Mourinho akan membawa perangai pada tahun ketiga dan sekali lagi dipecat dan meraih ganti rugi paling lumayan £19.6 juta sahaja.

Trofi

EFL Cup: 2016–17
FA Community Shield: 2016
UEFA Europa League: 2016–17

Tottenham Hotspur – 2019

Gaji yang diterima oleh Mourinho yang menggantikan Pochettino tidaklah banyak mana pun hanya 2 kali ganda daripada apa yang diterima oleh Pochettino dengan gaji £15 juta setahun.

Sentuhan Jose Mourinho tidak menjadi selepas hampir 18 bulan di Spurs dan rekod buruk terus dicatat mencatatkan rekod cemerlang Mourinho yang akhir membawa kepada pemecatan.

Belum sempat Mourinho membuat perangai sepenuhnya dan baru menampakkan bunga-bunga terus dipecat dan menerima pampasan yang lumayan, £34 juta.

Jose Mourinho dipecat tanpa sempat memberi Spurs apa-apa gelaran walaupun sekadar Mickey Mouse cup. Namun Mourinho berjaya membawa Spurs ke European Super League.

Berapa Gaji dan Pampasan Diterima Mourinho dari 2004 – 2020?

Ini adalah gaji dan pampasan yang diterima Mourinho dari tahun 2004 sehingga 2020

Chelsea

2004 – £5 juta
2005 – £5 juta
2006 – £5 juta
2007 – £23.1 juta (Pampasan)

Inter Milan

2008 – £8.3 juta
2009 – £8.3 juta

Real Madrid

2010 – £12.6 juta
2011 – £12.6 juta
2012 – £12.6 juta

Chelsea

2013 – £8.5 juta
2014 – £8.5 juta
2015 – £8.3 juta (Pampasan)

Manchester United

2016 – £12 juta
2017 – £12 juta
2018 – £12 juta
2019 – £19.6 juta (Pampasan)

Tottenham Hotspur

2020 – £15 juta
2021 – £34 juta (Pampasan)

Secara pukalnya jumlah gaji yang diterima Mourinho dari tahun 2004 hingga 2020 adalah sebanyak £137.4 juta, tak banyak pun kira-kira RM790.64 juta je.

Manakala jumlah pampasan yang diterima dalam tempoh kurang 15 tahun ini ialah £85 juta bersamaan RM489.12juta.

Jumlah pendapatan Mourinho dari tahun 2004 hingga 2020 adalah sebanyak £222.4 juta atau RM1.279 bilion sahaja.

BACA:  Mourinho Diaibkan, Tewas 6-1 Kepada Pasukan Bodo Dari Norway