Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata sistem yang diterapkannya dalam pasukan boleh membenarkannya menggunakan dua penyerang dalam waktu yang sama. Zlatan Ibrahimovic baru sahaja pulih dari kecederaan dan terdapat keraguan sama ada Ibrahimovic dan Romelu Lukaku wajar diletakkan bermain bersama.
Bagaimanapun, Mourinho menafikan sebarang masalah untuk dua pemain ini bermain bersama kerana sistem yang diamalkan beliau dalam pasukan Manchester United membolehkan dua penyerang dimainkan dalam satu masa.
Berita rasmi dari kem Red Devils Jumaat lalu mendedahkan pemain berasal dari Sweden, Ibrahimovic sudah pulih dari kecederaannya selepas berehat hampir 7 bulan. Zlatan Ibrahimovic juga telah diturunkan bermain apabila Manchester United menerima kunjungan Newcastle United di Old Trafford.
Kepulangan Ibrahimovic dalam pasukan bakal memeningkan Mourinho untuk memilihi siapa yang lebih layak mengetui jentera serangan. Lukaku telah beraksi cemerlang sejak menyertai Red Devils Ogos lalu dan menjadi titik penting dalam bahagian serangan Manchester United.
Soalan telah diajukan kepada Mourinho adakah beliau akan menggunakan sistem penggiliran untuk posisi penyerang, tetapi beliau telah menjawab tiada sebarang masalah untuk Lukaku dan Ibrahimovic berkongsi satu padang dalam masa yang sama.
“Ibrahimovic mampu beraksi dimana-mana, dan musim ini kami sudah beberapa kali menggunakan sistem dua penyerang. Kami bermain dengan dua penyerang beberapa kali terutamanya ketika bermain dengan 3 pemain pertahanan tengah. Dengan adanya 2 wing-back, ia membenarkan pasukan untuk menurunkan penyerang kedua.”
“Kami sudah bersedia untuk menurunkan kedua-dua pemain ini bermain sekali. Kami telah melakukan persediaan sejak pra-musim lagi ketika kami mula menjalani latihan untuk bermain sistem 3 pemain pertahanan. Jadi kami sudah bersedia.”
Peminat mungkin akan dapat melihat gandingan Lukaku dan Ibrahimovic mengetuai jentera serangan Red Devils tidak lama lagi tetapi perlawanan hujung minggu ini menentang Newcastle adalah terlalu awal untuk itu.
Ibrahimovic yang kini sudah berusia 36 tahun masih lagi belum bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama menurut Mourinho.
“Untuk permulaan, saya akan meletakkan beliau di bangku simpanan dan itulah tempatnya buat masa ini. Itulah tempat Ibrahimovic bakal berada dalam perlawanan Sabtu ini menentang Newcastle.”
Selain Ibrahimovic, dua lagi pemain utama Manchester United, Paul Pogba dan Marcos Rojo sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan masing-masing dan Pogba serta Zlatan sudah diturunkan bermain dalam perlawanan menentang Newcastle.
Mourinho pastinya berharap dengan kepulangan pemain-pemain ini mampu meningkatkan tahap permainan pasukan dalam usaha mereka mengurangkan perbezaan mata dengan pendahulu liga, Manchester City.
The Citizens kini selesa mendahului carta kedudukan Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan 8 mata dihadapan pencabar terdekat iaitu Manchester United.