Jose Mourinho Menyampah Tengok Aksi Bruno Fernandes Bersama Portugal

Bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho, semalam telah mengecam pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes kerana beraksi di bawah kemampuan yang sebenar dan tidak menyerlah dalam kempen Kejohanan Eropah setakat ini.

Mourinho yang kini merupakan pengurus Roma berkata Bruno telah menjadi ghaib di Eurp 2020, dan hanya berada di padang tetapi tidak bermain.

Dia juga mengatakan bahawa Fernandes sebenarnya mempunyai potensi yang banyak tetapi tidak menunjukkan kebolehan yang sama seperti ketika dia bermain di peringkat kelab untuk United.

Walaubagaimanapun, pengurus berbangsa Portugis itu masih berharap Bruno akan menyinar dalam perlawanan terakhir Portugal menentang Perancis hari ni.

“Portugal ni kalau di waktu terbaik diorang boleh kalahkan sesiapa sahaja,” ujar Mourinho kepada talkSPORT.

“Tapi kita kena bermain dengan 11 pemain, dalam dua perlawanan setakat ni Bruno ada di atas padang tapi tak bermain.

“Aku harap dia muncul lah lawan Perancis nanti, sebab dia adalah seorang pemain yang berbakat besar.

“Dia boleh pass, dia boleh jaringkan gol. Dia boleh dapatkan penalti, dia boleh jaringkan penalti, dia boleh jaringkan gol dari sepakan percuma.

“Banyak benda yang dia boleh buat, tapi realitinya dalam dua perlawanan ni dia macam tak bermain langsung.

“Portugal ada tiga pemain serangan yang padu – Bernardo Silva, Cristiano Ronaldo dan Diogo Jota.

“Kita perlukan perhubungan, tapi setakat ni Bruno tak main lagi.”

Secara keseluruhannya, Bruno telah muncul dalam kesebelasan utama Portugal dalam kedua-dua perlawanan tetapi dikeluarkan pada minit ke-63 ketika menentang Jerman di mana mereka tewas 2-4.

Setakat ini juga, Bruno sekadar merekodkan hanya satu cubaan tepat dalam kejohanan ini.

Portugal akan mara ke peringkat kalah mati jika mereka mampu mengelakkan kekalahan kepada pasukan Perancis hari ini. Malah mereka akan menduduki tangga teratas kumpulan F jika mereka menang, dan Jerman gagal mengutip tiga mata penuh.

Tapi itu lah, Jerman lawan Hungary je. Bukan lawan England yang power tu pun.

“Perlawanan sebelum ini Hungary lawan juara dunia Perancis tapi diorang seri 1-1,” ujar pengurus Portugal Fernando Santos kepada wartawan.

“Ramai orang yang buat tak endah kat Hungary tapi sekarang ni diorang akan bermain menentang Jerman.

“Kita tahu apa yang kita perlukan adalah menang, tapi sebelum ni, kalah kepada Jerman tu pun sebab kitorang juga. Patut boleh menang tu.

“Kita nak lupakan semua tu dan kita nak berharap kepada diri sendiri untuk mara.”

Andai gagal mara ke pusingan berikutnya, Portugal bakal menjadi juara bertahan yang paling kelakar dalam sejarah kejohanan ini hampir 20 tahun yang lalu.

Untuk rekod, sejak 1996, terdapat tiga pasukan juara bertahan yang gagal melepasi peringkat kumpulan.

Pada tahun 1996, Denmark sebagai juara Euro 1992, sekadar menamatkan perlawanan di peringkat kumpulan pada di kedudukan ketiga kumpulan D, di belakang Croatia dan Portugal.

Manakala juara Euro 1996, Jerman pula tersingkir awal pada Euro 2000 selepas berada di tangga terbawah kumpulan A, di belakang Portugal selaku juara kumpulan, diikuti Romania dan England. Pada tahun tersebut, Jerman dibarisi ramai pemain yang sudah berusia dan hampir bersara.

Kali terakhir juara bertahan gagal melepasi peringkat kumpulan adalah pada edisi Euro 2008, di mana Greece – juara mengejut Euro 2004, gagal mengutip sebarang mata dan hanya menjaringkan 1 gol sepanjang tiga perlawanan, sekaligus terperosok di dasar kumpulan di bawah Sepanyol, Russia dan Sweden.

Tetapi, dalam kisah Portugal pada tahun ini, agak mustahil untuk mereka gagal layak ke pusingan kalah mati kerana mereka masih berpeluang untuk layak sebagai pasukan di tangga ketiga terbaik – sekiranya mereka tewas di tangan Perancis.

Lagipun, Portugal sudahpun merekodkan 5 jaringan gol. Maka mungkin kita akan lihat lebih banyak lagi aksi kelakar Bruno dan Jota nanti.

Berita : goal.com

BACA:  Ronaldo Bengang Dengan Fernando Santos Selepas Tertomos Di Kaki Serbia