Jose Mourinho: Rahsia Liverpool dalam Kocek Aku

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho percaya beliau tahu apa ancaman yang bakal dibawa Liverpool kepada pasukannya menjelang pertemuan penting hujung minggu ini di Anfield.

Dalam ayat mudahnya, Mourinho sudah mengetahui corak permainan skuad kendalian Jurgen Klopp dan sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku dalam perlawanan tersebut.

Manchester United kini berada di tangga kedua Liga Perdana Inggeris, 7 mata di hadapan Liverpool yang berada di tangga ketujuh selepas mengharungi 7 perlawanan setakat ini.

Walaupun mengetahui sejarah permusuhan diantara Manchester United dan Liverpool, Mourinho percaya beliau tidak akan terkejut dengan apa yang bakal berlaku dalam perlawanan nanti memandangkan informasi mengenai pemain dan corak permainan Liverpool sudah berada dalam kocek beliau.

oh! Apple Pen. Imej : Reuters

Berucap kepada pemberita menjelang pertemuan menentang Liverpool, Mourinho dipetik berkata,

“Saya sudah mengetahui kualiti setiap pemain dalam keseluruhan pasukan mereka. Secara logiknya, kualiti pemain yang dimiliki Liverpool berkait rapat dengan kualiti pengurus mereka.”

“Saya sudah mengetahui corak permainan mereka sejak musim lepas lagi. Kini saya lebih mengetahuinya kerana saya sudah melakukan kajian terhadap pasukan Liverpool sejak dua minggu lepas lagi. Saya menganalisa dan mengkaji corak permainan mereka dengan lebih dalam lagi. Saya kenal Liverpool macam mana.”

Persengketaan Liverpool dan Manchester United dalam saingan bolasepak Inggeris telah berlaku berpuluh tahun lamanya dengan pertemuan tersebut lebih dikenali sebagai ‘North-West Derby’.

Walaupun perlawanan menentang Liverpool penting dalam usaha mereka untuk terus menekan Manchester City, Mourinho pantas untuk memberitahu setiap perlawanan dalam liga mempunyai kepentingan yang sama dan tiada perlawanan yang harus dilayan lebih dari yang lain.

Misi mahu menang Mourinho. Imej : goal.com

“Jika perlawanan besar adalah perlawanan menentang Manchester City, Liverpool atau Chelsea, ini bermakna kami hanya mempunyai 6 perlawanan besar setiap musim. Mentaliti yang ingin saya terapkan dalam setiap pemain adalah untuk melayan setiap perlawanan seperti perlawanan besar.”

“Sebagai sebuah kelab yang besar, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memenangi kejuaraan seperti Liga Perdana Inggeris. Setiap perlawanan dalam liga adalah sama dan menawarkan mata yang sama. Kecuali jika anda tiba pada satu peringkat dimana 2 atau 3 pasukan bersaing untuk merebut objektif yang sama. Setiap perlawanan adalah penting dan setiap mata juga penting.”

Bola Sepak Cantik Bukan Cara Mourinho

Peminat bolasepak sering dahagakan corak permainan yang cantik. Mereka mahu bolasepak dimainkan dengan penuh seni dicampur dengan serangan bertali arus ke arah pihak lawan.

Sejujurnya, walaupun Mourinho terkenal dengan corak permainan negatif, pasukan Manchester United yang dibimbing beliau sekarang adalah pasukan yang dibentuk dengan acuan DNA Manchester United yang sebenar berbanding pasukan tahun-tahun sebelumnya.

Pendapat yang sama turut dikongsi legenda Red Devils, Gary Neville yang kini bekerja sebagai penganalisa bolasepak di Skysports. Beliau dipetik berkata,

Klopp main menyerang. Mourinho tidak bermain cantik.

“Skuad Mourinho mungkin bermain corak bolasepak yang sedikit berbeza berbanding pasukan Manchester United yang lama, tetapi apa yang saya mahu tekankan adalah pasukan ini amat sesuai dengan profil Manchester United sekarang. Pemain yang beliau tandatangani mempunyai karakter dan personaliti yang bagus untuk pasukan.”

“Sepanjang tahun-tahun sebelum ini, kita telah melihat beberapa pasukan bermain bolasepak lebih baik dari Manchester United seperti Barcelona dan Arsenal. Pasukan Arsenal di bawah kendalian Arsene Wenger selama bertahun-tahun bermain bolasepak yang cantik tetapi United tidak tewas ketika bertemu mereka. Cara paling betul bermain bolasepak adalah bermain secara aggresif, pandai mencipta ruang dan paling penting sekali anda tidak ditewaskan.”

“Pasukan Manchester United 2-3 tahun sebelum ini mungkin lemah dari segi fizikal, tetapi tengoklah sekarang. Pasukan lawan tentu tidak mahu melawan mereka. Pemain Manchester United sekarang lebih fizikal, laju, aggresif, dan lebih kuat. Ianya mungkin kedengaran seperti tipikal pasukan British tetapi itulah DNA Manchester United. Pasukan yang ada sekarang lebih kuat dari dahulu.”

Baca Juga

Baca Juga