Jose Mourinho Salahkan Sikap Pemain Yang Buruk Sebagai Punca Kekalahan Manchester United

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho kesal dengan sikap pemain Manchester United dan berkata sikap yang ditunjukkan pemain adalah lebih buruk dari perlawanan persahabatan.

Dalam perlawanan Sabtu lalu, Manchester United tewas 2-1 di tangan pendatang baru Liga Perdana Inggeris, Huddersfield dan kekalahan tersebut adalah kekalahan pertama Red Devils musim ini selepas 9 perlawanan.

Huddersfield pada satu ketika mendahului perlawanan dengan dua jaringan tanpa balas sebelum Marcus Rashford merapatkan jurang pada separuh masa kedua. Kekalahan tersebut mengakibatkan pasukan Mourinho kini ketinggalan 5 mata di belakang pendahulu liga dan jiran mereka, Manchester City.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Mourinho dalam nada kecewa menyalahkan sikap pemain sebagai punca utama mereka kalah.

“Apabila kami kalah sesuatu perlawanan disebabkan sikap pemain, itu memberi gambaran yang buruk. Saya sudah tidak ingat sikap pemain seteruk ini walaupun dalam perlawanan persahabatan. Kami mungkin mampu menjaringkan gol kedua untuk mendapatkan satu mata dari perlawanan ini tetapi saya rasa kami tidak berhak dapat apa-apa malam ini.”

Manchester United berjaya mencatatkan 7 perlawanan tanpa dibolosi gol dalam 8 perlawanan sebelum ini. Namun demikian, kesilapan dari pembelian terbaru mereka, Victor Lindelof dan Juan Mata mengakibatkan pasukan mereka dibolosi dua gol dalam masa 5 minit, menerusi Aaron Mooy dan Laurent Depoitre.

Walaupun berjaya mencatatkan penguasaan bola sehingga 80%, Manchester United hanya mempunyai 3 sepakan tepat ke arah gol sepanjang perlawanan.

“Jika saya seorang peminat Manchester United, saya tentu akan kecewa dengan kekalahan ini. Saya boleh terima jika pihak lawan mempunyai kualiti yang lebih baik tetapi bukan disebabkan sikap pihak lawan yang lebih baik.”

Mourinho juga bertegas beliau tidak akan sekali-kali mengkritik mana-mana pemain secara umum selepas persembahan yang teruk ditunjukkan sesetengah pemain Manchester United. Victor Lindelof dan Juan Mata antara pemain yang bermain teruk dalam perlawanan tersebut.

“Saya akan mengambil masa untuk menganalisa perlawanan ini dan jika perlu saya akan mengkritik mereka, tetapi bukan secara umum.”

Pemain tengah Manchester United, Ander Herrera ketika bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan berkata pemain Huddersfield lebih bersemangat untuk menang dan aggresif dari pemain Manchester United.

“Kami hilang hampir setiap bola. Perkara sebegini tidak boleh berlaku dalam Liga Perdana Inggeris. Apabila berdepan pasukan yang di atas kertas lebih lemah, kami harus menyamai semangat yang ditunjukkan pihak lawan. Hari ini kami gagal melakukannya. Perkara ini tidak boleh berlaku lagi di masa hadapan.”

Temuramah Ander Herrera tersebut sampai ke pengetahuan Jose Mourinho dan pengurus berasal dari Portugis itu jelas tidak gembira dengan perkataan yang keluar dari mulut Herrera.

Bercakap kepada wartawan dalam sidang media, Mourinho dipetik berkata,

“Apabila pemain bercakap seperti itu, saya fikir pemain tersebut harus pergi ke sidang media dan menerangkan kembali apa yang beliau maksudkan. Sudah tentu, ia mengganggu saya.”

Apabila ditanya lagi adakah keletihan sebagai punca utama Manchester United gagal beraksi baik, Mourinho menegaskan bermain dalam Liga Juara-Juara bukan punca pasukannya bermain buruk.

“Kami gembira untuk bermain dalam Liga Juara-Juara. Pemain kami sudah bertahun-tahun bermain dalam saingan Eropah. Kami juga tahu sesetengah pasukan mempunyai masa sehingga seminggu untuk membuat persediaan bagi perlawan liga. Ini bukan punca utama kami kalah dan saya tidak mahu menggunakan alasan keletihan.”

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga