Jumlah Perbelanjaan Untuk Menonton Piala Dunia di Qatar

Piala Dunia musim sejuk 2022 akan bermula pada 21 November 2022 di mana pasukan tuan rumah, Qatar, akan menentang pasukan dari benua Amerika Selatan, Ecuador. Pada keesokan harinya bakal juara, England, pula akan mendapat kemenangan pertama apabila turun menentang Iran.

Memandangkan di Malaysia terdapat ramai penyokong pasukan dari liga bola sepak Inggeris, maka secara automatiknya ramai jugalah yang menyokong pasukan Tiga Singa ni, kan?

Jadi awak semua tak rasa nak tengok England julang Piala Dunia depan mata ke?

Kalau nak, kami dah bantu awak semua untuk merangka perbelanjaan untuk menonton Piala Dunia di Qatar.

Persediaan Untuk ke Piala Dunia

Persediaan di sini bukanlah bermaksud persediaan pasukan kerana kita tahu pasukan negara kita tidak layak ke Piala Dunia 2022. Tetapi persediaan dimaksudkan adalah dari segi wang ringgit atau Riyal Qatar.

Berikut adalah nilai anggaran kasar untuk berbelanja di negara Arab tersebut nanti.

Harga tiket perlawanan: Harga paling murah untuk perlawanan peringkat kumpulan adalah USD 68 (RM 321).

Harga tiket penerbangan: Mengikut carian di Google, tiket paling murah pada musim Piala Dunia adalah RM4519 untuk pergi dan balik dengan menaiki Malaysia Airlines, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Penginapan: Secara purata, kadar bayaran untuk penginapan di Qatar adalah USD 600 (RM2850) untuk sehari bagi bilik hotel, dan USD 1500 (RM 7085) sehari bagi sewaan rumah tumpangan atau biasanya disebut homestay. Walaubagaimanapun, pihak penganjur juga turut menyediakan kem penyokong di padang pasir dengan kadar anggaran harga sekitar USD 50 (RM200) sehari.

Makan: Harga makanan ada pelbagai, seperti di Malaysia. Tetapi nak sedap dan sentiasa kenyang sepanjang hari, pengunjung perlu sediakan sekitar USD 50 (RM240) untuk makan sehari.

Pengangkutan: Kadar harian untuk menggunakan sistem keretapi seperti LRT di Qatar adalah USD 1.65 (RM2) sehari.

Pecahan Harga Tiket

Kalau nak ikutkan, ada beberapa senarai harga tiket yang boleh dibeli oleh para penyokong untuk menyaksikan Piala Dunia di depan mata. Pecahan harga tiket adalah seperti berikut:

Perlawanan pembukaan: USD 302 – USD 618 (RM1480 – RM2920)

Peringkat kumpulan: USD 68 – USD 219 (RM321 – RM 1040)

Pusingan 16-pasukan: USD96 – USD 274 (RM 460 – RM1300)

Suku akhir: USD 206 – USD 425 (RM980 – RM2010)

Separuh akhir: USD 357 – USD 955 (RM1690 – RM4510)

Penentuan tempat ketiga: USD 206 – USD 425 (RM980 – RM2010)

Perlawanan akhir: USD 604 – USD 1606 (RM2860 – RM7590)

Nota: Julat harga yang berbeza ini semestinya mengikut kedudukan kerusi di dalam stadium. Tiket paling murah adalah tiket yang paling atas di dalam stadium dan penonton mungkin terpaksa menggunakan teropong untuk melihat pemain di atas padang. Bagi penyokong yang bapanya merupakan menteri atau ahli politik, semestinya mereka mampu untuk membeli tiket paling mahal dan paling dekat dengan padang.

Bagi penyokong yang negaranya bermain di Piala Dunia, mereka boleh memohon Tiket Penyokong mengikut persatuan bola sepak negara masing-masing untuk perlawanan 1 sehingga perlawanan 48. Harga tiket pula adalah sekitar USD 68 sehingga USD 1767 (RM321 – RM8344).

Pakej Tiket Empat Stadium

Pihak penganjur (baca: bukan MFL) turut menyediakan pakej istimewa bagi mereka yang ingin mengunjungi satu perlawanan di mana-mana empat stadium pilihan. Kadar harga pukalnya adalah sekitar USD 274 sehingga USD 1277 (RM 1300 – RM6030).

Senarai Stadium di Piala Dunia Qatar

Bagi memudahkan awak semua, kami kongsikan senarai stadium yang akan digunakan sepanjang Piala Dunia musim sejuk nanti.

Stadium Lusail

Kapasiti: 80,000
Lokasi: Lusail
Jumlah perlawanan:

– 5 perlawanan peringkat kumpulan
– 1 perlawanan pusingan 16 pasukan
– 1 perlawnaan suku akhir
– 1 perlawanan separuh akhir
– perlawanan akhir

Stadium Lusail. Gambar: Stadiumguide.com

Stadium Al-Bayt

Kapasiti : 60,000
Lokasi: Al-Khor
Jumlah perlawanan:

– 5 perlawanan peringkat kumpulan (termasuk perlawanan pembukaan)
– 1 perlawanan pusingan 16 pasukan
– 1 perlawanan suku akhir
– 1 perlawanan separuh akhir

Stadium Al Bayt. Gambar: Stadiumguide.com

Stadium Al Janoub

Kapasiti: 40,000
Lokasi: Al Wakrah
Jumlah perlawanan:

– 5 perlawanan peringkat kumpulan
– 1 perlawanan pusingan 16 pasukan

Stadium Al Janoub. Gambar: Stadiumguide

Stadium Ahmad bin Ali

Kapasiti: 40,000
Lokasi: Al Rayyan
Jumlah perlawnaan:

–  5 perlawanan peringkat kumpulan
– 1 perlawanan pusingan 16 pasukan

Stadium Ahmad bin Ali. Gambar: AFC

Stadium Antarabangsa Khalifa

Kapasiti: 40,000
Lokasi: Doha
Jumlah perlawanan:

– 5 perlawanan peringkat kumpulan
– 1 perlawanan pusingan 16 pasukan
– Perlawanan penentuan tempat ketiga

Stadium Mia Khalifa. Gambar: Stadiumguide

Stadium Kota Pendidikan

Kapasiti: 40,000
Lokasi: Doha
Jumlah perlawanan:

– 5 perlawanan peringkat kumpulan
– 1 perlawanan pusingan 16 pasukan
– 1 perlawanan suku akhir

Stadium Kota Pendidikan. Gambar: Stadiumguide

Stadium 974

Kapasiti: 40,000
Lokasi: Doha
Jumlah perlawanan:

– 5 perlawanan peringkat kumpulan
– 1 perlawanan pusingan 16 pasukan

Stadium 974. Gambar: Stadiumguide

Stadium Al Thumama

Kapasiti: 40,000
Lokasi: Doha
Jumlah perlawanan:

–  5 perlawanan peringkat kumpulan
– 1 perlawanan pusingan 16 pasukan
– 1 perlawanan suku akhir

Dah kenal stadium, kan? Maka awak semua boleh pilih stadium mana yang awak nak pergi. Lagi pula negara Qatar ni tidaklah besar mana. Dengan keluasan 11,571 kilometer persegi, negara ini lebih kurang sama besar dengan negeri Terengganu yang berkeluasan 12,598 kilometer persegi.

Jadi bayangkan, stadium yang paling jauh jaraknya pun hanyalah bagaikan Besut dan Kemaman, maka awak semua pasti sempat nak kunjungi empat perlawanan dalam masa satu hari. Lagi pula, kerajaan di sana menyediakan sistem pengangkutan keretapi, bukannya perlu memandu di lebuh raya seperti LPT2 atau jalan pantai yang mempunyai dua lorong sahaja.

Kesimpulan

Jadi secara kesimpulannya, berikut adalah anggaran jumlah perbelanjaan untuk menonton England menjulang Piala Dunia di Qatar mengikut pakej adalah seperti berikut:

Pakej Menteri/Ahli Parlimen:

3 perlawanan peringkat kumpulan – RM3120
1 perlawanan pusingan 16 pasukan – RM1300
1 perlawanan suku akhir – RM2010
1 perlawanan separuh akhir – RM4510
1 perlawanan akhir – RM7590
Penginapan 30 hari di hotel – RM85,500
Makan di tempat sedap selama 30 hari – RM6000
Tiket penerbangan kelas ekonomi – RM4500
Jumlah keseluruhan – RM114,530

Pakej Buat Personal Loan Sebab Nak Tunjuk Kaya di Instagram/Facebook

3 perlawanan peringkat kumpulan – RM963
1 perlawanan pusingan 16 pasukan – RM460
1 perlawanan suku akhir – RM980
1 perlawanan separuh akhir – RM1690
1 perlawanan akhir – RM2860
Penginapan 30 hari di kem penyokong – RM6000
Makan di tempat sedap selama 30 hari – RM6000
Tiket penerbangan kelas ekonomi – RM4500
Jumlah keseluruhan – RM23,453

Pakej Tengok Dengan kawan di Mamak

Nescafe Ais – RM3.00 x 7 perlawanan = RM21.00
Maggi goreng telur mata – RM8.00 x 7 perlawanan = RM56.00
Air kosong – RM0.20 x 7 perlawanan = RM1.40
Rokok – Pau member punya
Jumlah keseluruhan – RM78.40

Pakej Bini Garang Tak Bagi Keluar

Pilihan 1 : Bil Astro – RM120 sebulan(Tak boleh tengok di TV kalau perlawanan serentak dengan Gegar Vaganza)
Pilihan 2 : Tiada modal dikeluarkan (Tonton di RTM)
Pilihan 3 : Topup RM30 (Tonton di laman penstriman haram yang entah pape)

Sumber anggaran harga: Wego.com

BACA:  Harry Redknapp Membebel Kerana Tidak Tahan Dengan Permainan Boring England