Jurgen Klinsmann Tuduh Pengadil Rompak Kemenangan Korea Selatan

Rumah sudah siap, pahat masih berbunyi itulah yang boleh diibaratkan kepada pengurus Korea Selatan,Jurgen Klinsmann yang telah menuduh pengadil perlawanan telah merompak kemenangan Korea Selatan ke atas Malaysia dalam perlawanan terakhir kumpulan E Piala Asia 2023.

Walaupun sekadar seri, Korea Selatan tetap layak ke pusingan 16 terbaik tetapi selaku naib kumpulan E sahaja di mana Bahrain yang menewaskan Jordan muncul juara kumpulan.

Aksi kebangkitan luar biasa Malaysia nyata menyentap ego pengendali dari Jerman itu dan pada satu ketika Malaysia mendahului 2-1 sebelum kedudukan menjadi 3-2 buat Korea Selatan.

Gol saat akhir Romel Morales mengikat kembali kedudukan yang membuatkan Jurgen Klinsmaan menggeleng kepala tersengih seperti kerang busuk dan Son Heung Min hampir menangis lagi.

Selepas perlawanan Jurgen Klinsmann dalam sidang akhbar telah meluahkan kekecewaannya dengan mutu pengadilan pengadil dan menuduh pengadil telah membantu jaringan Malaysia dan menafikan kemenangan Korea Selatan.

Jurgen Klinsmann telah mengecam pengadil kerana memberikan penalti kepada Malaysia untuk gol kedua yang disempurnakan Arif Aiman yang dia rasa tidak sepatutnya diberikan.

Kemudian Klinsmann menjelaskan bahawa satu lagi gol Malaysia, gol penyamaan dari Faisal Halim berlaku ketika pemain Korea Selatan, In Beom sudah dikasari oleh Darren Lok.

“Ia perlawanan yang menarik dan menghiburkan dengan enam gol terhasil. Namun saya agak bengang bagaimana 2 gol Malaysia terhasil.”

“Penalti yang diberikan kepada Malaysia adalah bukan penalti. Satu lagi gol mereka sepatutnya dibatalkan, kerana ia adalah satu kekasaran ke atas In Beom.”

“Jadi dua keputusan pengadil yang tidak tepat punca mereka mendapat 2 gol. Namun harus diakui kami harus melakukan lebih baik. Kami sepatutnya memenangi perlawanan ini.”jelas pengurus dari Jerman itu lagi.”

Gol jahat dari Faisal Halim itu terhasil selepas Darren Lok berjaya mencuri bola dari kaki In Beom dengan satu jolokan kaki ke kaki dan Video Assistant Referee (VAR) telah membuat penilaian mendalam dan memakan masa sebelum gol itu disahkan kerana tiada kecurangan dari Darren Lok.

Manakala penalti yang diperolehi Malaysia pula tercetus selepas Seol Youn Woo menyepak kaki Arif Aiman ketika mahu mengeluarkan bola dan insiden ini jelas. Selepas diteliti VAR pengadil sendiri pergi ke tepi padang untuk pemeriksaan lebih mendalam sebelum disahkan penalti.

Namun Jurgen Klinsmann tidak pula mempertikaikan penalti yang diperoleh Korea Selatan selepas Junior Eldstal melakukan kekasaran ke atas Oh Hyun Gyu yang boleh dianggap lemah tetapi tetap ada sentuhan.

Baca Juga

Baca Juga