Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berang dengan keputusan pengadil perlawanan, Craig Pawson yang menghadiahkan penalti yang penuh kontroversi kepada pasukan lawan ketika pasukannya diikat 1-1 oleh Everton di gelanggang sendiri semalam. Everton berjaya mencuri 1 mata di Anfield walaupun terpaksa bertahan hampir keseluruhan perlawanan.
Dalam perlawanan tersebut, penyerang antarabangsa Egypt Mohamed Salah meneruskan persembahan cemerlangnya dengan menjaringkan gol pendahuluan buat Liverpool yang juga gol ke-13 beliau dalam Liga Perdana Inggeris setakat musim ini.
Walaubagaimanapun, di saat peminat Liverpool merasakan 3 mata bakal dimiliki, pengadil perlawanan menghadiahkan penalti pada minit ke-77 kepada Everton dan Wayne Rooney dengan tenang menyempurnakan penalti tersebut.
Klopp jelas berang dan tidak dapat meneriman hakikat dengan keputusan tersebut yang dirasakan tidak adil kerana pemain Liverpool, Dejan Lovren tidak melakukan sebarang terjahan kepada pemain lawan.
“Saya tidak faham mengapa pengadil melakukan perkara tersebut. Dejan Lovren tidak melakukan sebarang terjahan. Calvert-Lewin cuba memenangi penalti ketika itu dan tangan Lovren berada di belakang. Saya tidak kisah jika kamu berkata itu adalah penalti. Adakah pendapat saya bakal mengubah keputusan perlawanan ?”
“Saya hanya mahu bercakap dengan pihak yang mempunyai pemahaman mengenai bolasepak walaupun sedikit. Saya meminta maaf, saya salah dan kamu betul. Saya tidak berminat untuk menjawab soalan lagi.”
Keputusan Klopp untuk merehatkan pemain utama seperti Philippe Coutinho dan Roberto Firmino jelas memakan diri tetapi bekas pengurus Dortmund ini enggan mengakui kesalahan tersebut, dan menyalahkan taktikal Everton yang hanya mahu bertahan.
“Hanya satu pasukan yang bermain untuk menang selama 95 minit perlawanan berlangsung. Satu lagi pasukan tidak mampu untuk membawa bola ke dalam kotak penalti kami dan tidak mencatatkan sebarang sepakan tepat ke arah gol kecuali penalti tersebut.”
“Secara keseluruhannya persembahan kami agak bagus. Cuma kami tidak menjaringkan gol yang cukup. Saya melihat hanya satu pasukan sahaja yang bermain. Saya hammpir tidak percaya dengan terjahan yang dilakukan pemain lawan sepanjang perlawanan.”
“Kami bermain bersih dan tidak melakukan sebarang kesalahan. Ada satu terjahan yang kotor dilakukan pemain lawan iaitu terjahan yang dilakukan Sigurdsson yang mana itu adalah kesalahan kad merah yang jelas.”
Apabila ditanya mengapa beliau melakukan perubahan drastik terhadap pasukan Liverpool di mana Firmino dan Coutinho beraksi cemerlang bermula dari bangku simpanan, beliau menjawab:
“21 hari, 7 perlawanan. Kami boleh terus menekan pemain kami untuk terus beraksi sehingga mereka cedera dan selepas itu, pihak media akan berkata pasukan Liverpool tidak mempunyai skuad yang cukup. Pemain yang dpilih menggantikan Firmino dan Coutinho melakukan tugas mereka dengan baik sekali.”
Video di bawah menyatakan Big Sam setuju dengan keputusan pengadil kerana tolakan dari belakang dan Klopp pula menyatakan tidak walaupun semua orang berkata itu penalti.