Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dalam nada yang marah selepas pasukannya tidak dibenarkan melakukan pertukaran pemain sejurus sebelum Willian menjaringkan gol penyamaan buat Chelsea untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1.
Klopp pada ketika itu sedang dalam proses memasukkan Adam Lallana apabila Willian menjaringkan gol pada minit ke-85 perlawanan. Pemain Chelsea itu berjaya memperdayakan penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet melalui tendangan yang seakan-akan hantaran dan terus menerjah jaring.
Willian turut menjaringkan 2 gol ketika Chelsea menewaskan Qarabag 4-0 dalam aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu.
Klopp ketika ditemuramah BT Sport berkata marah dengan keputusan pengadil yang gagal memberikan kebenaran untuknya memasukkan Lallana ke dalam padang bagi menukar taktikal.
“Saya amat marah kerana kami mahu menukar sistem pasukan tetapi pengadil tidak memberikan peluang untuk kami melakukannya. Saya tidak tahu apa yang ada dalam fikiran pengadil pada waktu tersebut. Saya tidak faham mengapa pengadil memberitahu saya kami mengambil masa terlalu panjang untuk menukar pemain.”
“Bagaimana kami boleh mengambil masa yang panjang? Kami tidak mahu membazirkan masa kerana kami mahu menukar sistem pasukan ketika itu, jadi saya agak marah apabila Chelsea menjaringkan gol.”
Gol penyamaan Willian menghancurkan harapan Mohamed Salah untuk menewaskan bekas kelabnya selepas pemain antarabangsa Egypt itu menjaringkan gol pendahuluan buat Liverpool pada minit ke-65 melalui sepakan jarak dekat, menewaskan Thibout Courtois.
Gol tersebut juga adalah gol ke-10 beliau dalam 13 perlawanan Liga Perdana Inggeris yang mana satu pencapaian yang menakjubkan bagi seorang pemain yang baru dibeli. Salah juga berpeluang untuk memenangi perlawanan tersebut pada minit-minit terakhir perlawanan, tetapi rembatannya berjaya diselamatkan Courtois.
Dengan keputusan seri tersebut, Chelsea meneruskan rentetan perlawanan tanpa kalah mereka di Anfield kepada 7 perlawanan, dimana kali terakhir mereka tewas adalah pada tahun 2013.
Salah merupakan pemain tumpuan dalam perlawanan tersebut dimana beliau buat pertama kali turun menentang kelab lamanya selepas meninggalkan Stamford Bridge untuk menyertai AS Roma pada musim panas 2016.
Pemain berusia 25 tahun ini hanya mampu mengumpul 17 perlawanan sepanjang dua tahun bersama Chelsea, tetapi Salah hari ini bukanlah Salah yang peminat Chelsea kenali dahulu.
Kredit buat Salah kerana tidak meraikan jaringannya sebagai tanda hormat kepada bekas majikannya. Jaringan Salah pada perlawanan tersebut juga menjadikan beliau pemain paling banyak menjaringkan gol dalam satu musim sejak Luis Suarez mencipta 31 gol pada musim 2013-2014.
Jurgen Klopp pula masih lagi kecewa dengan apa yang berlaku pada lewat perlawanan kerana pasukannya bermain dengan sangat baik hampir keseluruhan perlawanan dan berhak memenangi 3 mata.
“Semuanya berlangsung dengan baik sehinggalah Willian melakukan hantaran tersebut. Kami bermain dengan baik hampir keseluruhan perlawanan jadi untuk tidak memenangi 3 mata adalah agak janggal. Tetapi perkara tersebut sudah berlalu. Kami akan kembali dengan lebih baik selepas ini. Dunia hari ini adalah ganjil dan saya masih boleh menerima satu mata daripada perlawanan menentang Chelsea.”
“Perlawanan tersebut berlangsung dengan baik, dan sengit. Ia satu pertembungan yang sukar menentang skuad Chelsea yang kuat.”
Antonio Conte pula bersyukur kerana berjaya meraih sesuatu dari perlawanan tersebut memandangkan pasukannya tidak mendapat rehat yang cukup selepas beraksi pertengahan minggu lalu.
“Saya rasa kami gembira dengan apa yang berlaku. Kedua-dua pasukan bermain dengan intensiti yang tinggi sejak wilsel ditiupkan. Ia adalah perlawanan yang sukar selepas kami terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh dan tiada rehat buat pemain saya. Ditambah pula kami perlu bermain di Anfield, satu tempat yang agak sukar.”
“Kami tidak bernasib baik apabila melepaskan gol ketika pasukan sedang bermain dengan baik. Walaupun demikian, saya gembira untuk melihat respon yang bagus dari pemain saya dimana mereka kembali melawan kerana tidak mahu mencatatkan keputusan yang buruk menentag Liverpool.”