Jurgen Klopp Dan Mikel Arteta Hampir Bertumbuk

Perlawanan antara Liverpool dan Arsenal telah pun berakhir dengan kemenangan telah berpihak kepada pasukan paling hebat di atas muka bumi ini tidak lain tidak bukan liverpool.

Ternyata Arsenal yang dilihat berada dalam prestasi terbaik mereka ketika ini gagal untuk memberi saingan kepada Liverpool dan kembali ke fitrah mereka iaitu lemah dan lembik.

Insiden kejadian paling menarik perhatian dalam perlawanan ini bukanlah empat gol yang dijaringkan oleh pemain Liverpool tetapi pertelingkahan yang terjadi diantara Jurgen Klopp dan Mikel Arteta.

Pada minit ke-32, situasi tegang ke tahap yang maksima apabila Mikel Arteta nyata hilang akal dan tidak dapat menahan amarahnya dan hampir bertumbuk dengan Jurgen Klopp.

Semua ini berpunca daripada kejahatan yang sangat jelas Sadio Mane ke atas Takehiro Tomiyasu di mana tiada sebarang kad yang dilayangkan kepada Mane.

Ketika perebutan bola diudara Sadio Mane dilihat seperti menghalakan sikunya ke wajah polos Takehiro Tomiyasu sehingga jatuh tergolek ke tanah.

Pertengkaran mulut mula tercetus di tepi padang antara Mikel Arteta dan Jurgen Klopp. Entah apa yang merasuk Arteta apabila dengan argesifnya cuba menyerang Klopp.

Namun Arteta sempat ditarik oleh staf kejurulatihan lalu pengadil perlawanan telah melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pengurus dan perlawanan kembali bersambung.

Lebih kurang enam minit selepas kejadian yang hampir membawa kepada pergocohan dua lelaki itu, Anak Pak Imam Masjid di Senegal, Sadio Mane meletakkan Liverpool di hadapan melalui sundulan sedap.

Sejurus bola tandukan Mane hasil hantaran lintang Trent Alexander Arnold itu menerjah gawang, Jurgen Klopp telah meraikan gol itu dengan gaya luar kebiasaan yang menimbulkan persoalan.

Ramai pasti tertanya-tanya sama ada Klopp menganjing Arteta secara halus apabila dilihat meraikan gol Mane denga nmeletakkan kedua belah tangannya di telinga.

Dah macam gaya keraian gol Harry Maguire ketika menentang Albania di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 bersama England.

Diogo Jota menggandakan kedudukan buat Liverpool selepas tujuh minit permainan bersambung dengan gol yang penuh bergaya.

Kesilapan barisan pertahanan Arsenal dimanfaatkan oleh Jota apabila dengan mudah telah mengayam-ayamkan barisan pertahanan Arsenal termasuklah Aaron Ramsdale.

Ternyata percaturan Mikel Arteta yang cuba untuk menyerang sehabis daya memakan diri dan terus dihukum oleh Liverpool.

Pemain paling sensasi ketika ini, Mohamed Salah tidak mahu melepaskan peluang mencetak nama selaku penjaring apabila menjaringkan gol ketiga Liverpool pada minit ke-73 hasil umpanan Sadio Mane.

Pada minit ke-76, Jurgen Klopp mengeluarkan Diogo Jota dan memasukkan pemain yang berasal dari Jepun, Takumi Minamino.

Hanya seminit sahaja diperlukan Minamino untuk berada di padang apabila menjaringkan gol keempat Liverpool pada minit ke-77 dan Trent Alexander Arnold sekali lagi melakukan assist.

Sentuhan pertama Minamino dalam perlawanan ini terus menghasilkan gol.

Aaron Ramsdale terpaksa bekerja keras menafikan percubaan bahaya dari Liverpool pemain yang dilabel tidak dapat ditewaskan oleh penyokong Arsenal akhirnya terciduk.

Walaupun bolos empat kali dalam perlawanan, ketangkasan Ramsdale tidak boleh dinafikan apabila melakukan lima aksi menyelamat sepanjang perlawanan. Tidak mau kena 7-8 gol.

Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker telah mencatatkan clean sheet yang ke-50 di Premier League bersama Liverpool selepas mengharungi 111 perlawanan.

Kemenangan ini membolehkan Liverpool terus mengekori Chelsea yang mudah menundukkan Leicester City dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal dengan ketinggalan empat mata.

Walaupun tewas Arsenal masih lagi kekal ditangga yang kelima dengan 20 mata.

BACA:  Klopp: 4 Teratas Pencapaian Baik Buat Liverpool