Jurgen Klopp Dedah Mengapa Oxlade-Chamberlain Mendap Ketika Menentang Leicester

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, pasti tahu dia sebenarnya melakukan pertaruhan besar apabila membeli Alex Oxlade-Chamberlain pada hari terakhir jendela perpindahan tempoh hari. Mana tidaknya, pemain England tersebut hanya mempunyai kontrak yang berbaki setahun, namun Liverpool masih berani untuk membelanjakan sebanyak £35 juta untuk membawa pemain yang belum membuktikan apa-apa ini ke Anfield.

Oxlade, atau nama manjanya Ox, telah menyertai Arsenal pada usia 18 tahun dan ketika itu, dia merupakan antara pemain muda yang sangat berbakat. Namun selepas enam tahun di Emirates, pembangunan bakat Ox tidak berjalan seperti yang dijangka.

Kini pada usia 24 tahun, Ox sendiri masih belum temui posisi terbaiknya di atas padang. Kebanyakan masanya dia bermain sebagai pemain sayap dan setahun dua ini Wenger cuba menjadikannya sebagai seorang wing back. Akan tetapi, Ox sendiri berasakan bahawa posisi sebenarnya adalah sebagai seorang pemain tengah. Kalau tanya haters, posisi paling sesuai buat Ox pastinya budak milo.

Sejak menyertai Liverpool, Ox dilihat masih mencuba untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Klopp dan dalam perlawanan menentang Leicester dalam Piala Carabao tempoh hari, cara permainan Ox persis seorang pemain tengah Malaysia suatu ketika dahulu di mana dia sering hilang bola dengan mudah, rembatan membabi buta ke arah gol dan juga gagal mengawal nafsu serakah dalam melakukan  crossing.

“Hang jangan malukan aku, nah?” pesan Klopp kepada Ox | Gambar : Independent

Disebabkan prestasinya tersebut, Ox dikecam teruk oleh keyboard warriors. Tambahan pula, sejak Ox menyertai kelab jiran Everton ini, kelab tersebut masih belum menang selepas empat perlawanan. Ada mulut-mulut puaka mengatakan Ox dihantar oleh Wenger untuk menghancurkan Liverpool dari dalam.

Selaku pengurus merangkap bapa angkat kepada para pemain Liverpool, Klopp yang juga dikenali sebagai Ranny Kulop Jerman, bingkas membela anak angkatnya yang terbaharu ini.

“Ox mendapat beberapa peluang keemasan, dan beberapa situasi yang kurang bernasib baik,” kata Klopp kepada Independent, seperti yang diriwayatkan secara mutawatir oleh Givemesport.

“Aku rasa dia sudah melakukan yang terbaik dalam keadaan dia cuba menyesuaikan diri dengan pasukan.

“Lagipun dia ada sedikit masalah di bahagian betis. Bukan cedera ya, tapi sedikit masalah,” tambah Klopp lagi.

“Kami perlu faham keadaan betisnya ini dan cuba elokkannya. Keadaan ini sudah ada sejak perlawanan pertamanya dan aku boleh bayangkan bagaimana rasanya bermain dalam keadaan tak selesa tu.

“Buat masa ni dia masih menemui rentak terbaiknya dan ini membuatkan orang ramai bertanya ‘apa impak yang boleh dia bagi?’

“Tapi aku tak risau langsung pasal tu,” ujar Klopp dengan penuh yakin sambil melakukan tumbukan padu ke udara.

Pada hari ini Liverpool sekali lagi akan bertemu Leicester, dalam perlawanan liga. Selepas mendapat pembelaan daripada ayahanda Klopp, Oxlade Chamberlain pastinya mahu membuktikan bahawa dia adalah pembelian terbaik buat Liverpool, dan dia juga mampu untuk menggoncang dunia seperti Leo Messi, Cristiano Ronaldo dan juga Donald Trump.

Sumber : Givemesport

Baca Juga

Baca Juga