Jurgen Klopp: Liverpool Tidak Akan Menang Liga Jika Bermain Taktik ‘Parking Bas’ Mourinho

Pertembungan hujung minggu lalu menyaksikan Liverpool gagal menembusi barisan pertahanan Manchester United yang degil bertahan hampir keseluruhan perlawanan.

Keputusan seri in bermakna The Reds semakin jauh ditinggalkan pendahulu liga tetapi Jurgen Klopp tetap yakin dengan kemampuan skuad bimbingannya untuk kembali bangkit.

Bekas jurulatih Dortmund itu turut mempertahankan corak permainan Liverpool selepas sekali lagi mencatatkan keputusan seri bertemu Manchester United di bawah kendalian Jose Mourinho dan beranggapan mereka tidak akan memenangi Liga Perdana Inggeris jika mengguna pakai taktik yang diterapkan Special One.

Pada pertembungan tersebut, Liverpool terpaksa berpuas hati dengan 1 mata sahaja selepas dikecewakan barisan pertahanan Manchester United yang meletakkan bas sebesar-besarnya di depan pintu gol mereka.

Parking Bas dan Tidak mampu menjaringkan gol mana yang akan berjaya?

Keputusan tersebut tentu sekali bukan keputusan yang mahu dilihat pengurus Liverpool dan penyokong tuan rumah, tetapi itulah sasaran utama pasukan pelawat sebelum perlawanan bermula.

Taktik bertahan Manchester United menyaksikan mereka hanya mampu mencatatkan satu percubaan tepat ke arah pintu gol Liverpool dengan misi utama mereka adalah untuk tidak melepaskan sebarang jaringan ke dalam gawang mereka.

Keputusan seri itu menjadikan Liverpool kini ketinggalan 9 mata di belakang Manchester City selepas 8 perlawanan, dan kemungkinan besar terpaksa melupakan hasrat mereka untuk mengakhiri penantian untuk memenagi Liga Perdana Inggeris selepas 27 tahun.

Pengurus kelahiran Jerman itu berpendapat meniru corak permainan Jose Mourinho untuk memenangi liga tidak akan membuahkan hasil kepada Liverpool.

Mourinho pakar ‘Parking Bas’. Imej : BR

“Semua orang dapat melihat apa yang Manchester United cuba lakukan Sabtu lalu. Kenapa saya harus berbicara mengenai taktikal mereka yang hanya mahu bermain bertahan ? Itu bukan kerja saya.”

“Tentu sekali Jose tahu apa yang patut dan harus dilakukan. Saya tiada masalah mengenainya. Taktik beliau menjadikan keadaan lebih payah buat kami tetapi saya tidak akan merungut dan berkata, ‘Woi, main bukaklah sikit’. Bukan itu caranya.”

“Manchester United juga mahu memenangi liga dan saya dengan yakin berkata Liverpool tidak akan memenangi liga dengan bermain taktik Mourinho walaupun selepas 125 tahun. Kami tidak akan bertahan sahaja untuk keseluruhan perlawanan kerana itu bukan cara Liverpool.”

Liverpool tidak mampu menewaskan De Gea seorang apatah lagi satu pasukan Man Utd. Imej : Reuters

Walaupun kini semakin jauh ditinggalkan skuad Pep Guardiola yang selesa mendahului carta liga, Klopp jelas tidak mahu mengalah dan kekal optimis untuk mengejar Manchester City.

“Kami akan mencuba segala-galanya dan kami akan menjadi pencabar mereka. Pasukan ini tidak akan menghadapi masalah untuk kekal bersaing bagi tahun-tahun yang mendatang.”

“Kami telah membuktikan kami mempunyai keinginan yang besar dan berani. Saya percaya pasukan ini telah melakukan perkara yang betul pada masa yang tepat, tetapi nasib masih tidak menyebelahi kami.”

“Saya harus menerima dan belajar dari apa yang telah berlaku. Jika kamu mempersoalkan pasukan Liverpool sekarang ini, pergi tonton 90 minit beberapa perlawanan kami sebelum ini dan beritahu saya adakah pasukan ini tidak cukup bagus untuk memenangi Liga Perdana Inggeris.”

Imbas kembali rangkuman perlawanan Liverpool menentang Manchester United yang berkeseduhan 0-0.

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga